BBB,
19 Zulkaedah 1437 = 22 Ogos 2016 (Isnin):
Al-Muhasibi mengakhiri Kitab al-Ri`ayat Li
Huquq Allah, ialah dengan `Kitab Ta`dib al-Murid` bermaksud `Kitab Mengadabkan Murid` sebagai kitab ke 19.
Kitab ini paling ringkas berbanding
dengan 18 kitab sebelumnya. Kitab ini
hanya satu bab dan tidak seperti
kitab-kitab yang lain yang paling minimum
mempunyai dua bab (Kitab al-Tanbih) dan paling banyak dengan 42 kitab
(Kitab al-Riya`). Jumlah bab bagi semua
kitab ialah 123 bab. Bagi Kitab Ta`dib al-Murid bab yang diberi judul –
selepas membicarakan tentang Sirah al-Murid d fi al-Layli wa al-Nahar –
Perjalanan murid pada malam dan siang
dengan bab bermaksud, ``Apa yang Ditakuti Hamba Kepada Dirinya Selepas Menunaikan Konsep Ri`ayah Secara zahir dan Batin.
Tarbiah lebih khusus dari pengajian,
Pengajian melibatkan pembelajaran mengenai keilmuan bagi menguasai ilmu yang
melibatkan kurikulum ilmu, pelajar, guru dan sistem pengajian, manakala
`Tarbiah` selain daripada mempelajari ilmu, ianya melibatkan adab-dan aturan
yang memupuk murid mempelajari ilmu serentak pula dengan terdidik dengan adab. Tarbiah selain dari
ilmu melibatkan aspek akhlak dan adab yang bersifat nilai dan kerohanian. Sudah
tentulah sumber ta`dib ini diambil dari Turath Islam sendiri – Al-Qur`an dan
Al-Hadith.
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai
akhlak yang sangat mulia.`` (Al-Qalam:: 4).
Bahkan Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Mengadabkan daku oleh Tuhanku, maka
eloklah adabku`.
Rasulullah s.a.w. adalah menjadi model bagi
akhlak dan adab.
Al-Muhasibi memilih membicarakan adab-adab
kebiasaan sehari-hari – walaupun kelihatan kecil, tetapi dengannya dapat memupuk
nilai adab yang lebih banyak dan besar.
Menurut Al-Muhasibi kehidupan kita siang
dan malam dengan aturan yang dikenakan Allah antara hidup dan mati (ketika
tidur) seharus mewaspadakan kita dengan
dua situasi pengalaman berkenaan.
Kata Ibn `Abbas, Allah menguji kita supaya
berfikir, Dia mematikan kita pada waktu tidur yang seharusnya kita berwaspada
dan wajib membersih diri dengan akidah yang betul dan menjauhi dari maksiat.
Didikan dan kewaspadaan dapat dicontohi dari amalan Rasulullah yang
pada setiap kali Baginda hendak tidur Baginda membaca, ``Bismika Allahumma
amutu wa uhyi`` . Bermaksud, ``Dengan
nama Engkau Tuhanku aku mati dan aku dihidupkan.``
Menurut Al-Muhasibi diri hendaklah melazimi
taubat dan memperbaharuinya terutama menjelang tidur. Juga mengucap syukur
setiap kali kembali hidup selepas mati (tidur).
Al-Muhasibi memetik Hadith Rasulullah s.a.w. yang membaca setiap selepas
jaga daripada tidur (bermaksud):
``Pujian bagi Allah yang menghidupkan daku
selepas Dia mematikan daku dan Dia tidak mewafatkan daku dalam tidurku.``
Antara adab yang dilakukan oleh Rasulullah
s.,a.w. masuk ke bilik toelat Baginda
membaca bermaksud:
``Dengan
nama Allah aku berlindung dengan Allah dari najis dan kekotoran. Aku
berlindung dari syaitan yang kena rejam.``
Dan apabila baginda keluar Baginda membaca,
bermaksud:
``Pujian bagi Allah yang telah menghilangkan daripadaku
apa yang boleh memberi bencana bagiku
dan mengekalkan daku dengan apa yang memberi manfaat kepadaku.``
Menurut `A`ishah kemudian Baginda mengambil
wudhu` bagi menunaikan solah. Kata `Aishah Baginda menyebut, bermaksud :
``Adalah tidak diterima solat tanpa bersih
.``
Antara adab di dalam pergaulan disebut oleh
Al-Muhasibi ialah memberi salam. Beliau memetik sabda Rasulullah s.a.w.
bersabda (bermaksud):
``Sebarkan salam di kalangan kamu.``
Daripada adab juga di dalam pertemuan
dengan seseorang, khususnya yang
dikenali ialah bertanya khabar. Antara ungkapan oleh `A`ishah r.`anha bahawa beliau berkata:
`Jika seorang berkata, Apa khabar pagi ini ? Maka dia dijawab,
``Baik dan al-hamdulillah,`` Maka dengan
demikian dia telah melahirkanm kesyukuran pada hari itu.`` Kata `A`ishah.
Al-Muhasibi juga menyebut antara adab yang
wajar diamalkan ialah menziarah saudara mara dan kawan-kawan. Menziarah orang
sakit, khususnya dari kalangan kenalan, menunaikan hajat dan menolong mereka
yang di dalam kesempitan dan mengiringi jenazah kenalan bila berlaku kematian.
Demikianlah pengajaran adab yang
diperturunkan oleh al-Muhasibi berasaskan nilai-nilai- Islam yang sewajarnya
menjadi adat dan adab dalam kehidupan masyarakat Islam. Apa yang disebutkan
adalah sebahagian dari nilai-nilai dan akhlak umat Islam. Banyak lagi aturan
dan adab yang boleh ditambah yang
sumbernya terdapat di dalam Al-Qur`an, Al-Hadith dan perjalanan sahabat dan tabi`in.
Dapatlah dikatakan kandungan Kitab Al-Ri`ayat Li Huquq Allah merupakan
adab dan aturan yang lebih luas yang dianjurkan
kepada orang Islam. Iaitu dengan
mengenali nilai-nilai muhlikat (negatif) seperti, riya`, `ujub, ghurur (tertipu daya), takabbur dan hasad dapat dijadikan sempadan
dan dijauhi, sebaliknya mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti muhasabah,
taubah, zuhud, wara`, sabar, benar, takut, taqwa, raja`, ikhlas,
redha, tawakkal dan syukur menjadi amalan di dalam kehidupan sehari-hari. Dengan beramal, beradab dan berakhlak dengan
nilai-nilai keislaman seseorang itu insya
Allah berada di dalam ketenangan dan di dalam ri`yah Allah – Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment