BBB, 22 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 11 Disember
2017M. (Isnin):
Selain daripada Al-Junayd, Al-Shibli dan
Dzu al-Nun al-Mis*ri terdapat ramai lagi
yang mengungkapkan pengalaman tasawuf di dalam bentuk puisi. Antara
mereka ialah:
Sari al-Saqat*i, adalah dicatatkan:
``Dan aku mendengar Ja`far al-Khuldi rahimahu Allah berkata, aku
mendengar Al-Junayd rahimahu Allah Ta`ala berkata. Mengangkat kepadaku oleh
Sari al-Saqat*i secebis catatan, maka katanya, ini seharusnya ditunaikan
jawapan bagi keperluanku. ``Aku membuka cebisan catatan yang padanya tercatat``:
Aku mendengar sendu di desa di kejauhan
mengadu
Adakah engkau tahu apa yang menyebabkan
menangisnya aku ?
Aku menangis bimbang, kiranya engkau
memisahkan daku !
Aku takut engkau memutuskan hubungan dan
meninggalkan daku !
(Al-Luma`,
1380/1960: 307).
Sebagai puisi bersifat konotatif dan
bercabang makna, maka puisi Al-Saqati di atas, walaupun ringkas dan mudah amat
menyentuh rasa. Ianya dapat ditafsirkan sebagai aduan Sari al-Saqati kepada Al-Junayd, bahawa dia bimbang, takut
Allah Ta`ala tidak menerima kasih cinta Ilahinya. Apa lagi lebih keciwa, jika
cintanya ditolak Ilahi. Satu lagi boleh dimaksudkan kebimbangan cinta seorang
manusia ditolak yang dicintainya. Walau bagaimana ungkapan adalah indah dan
berkesan.
Antara sufi yang turut mengungkapkan
pengalaman kesufiannya di dalam puisi ialah Abu al-Husain al-Nuri. Dikatakan
dia menulis surat kepada Abi Sa`id al-Kharraz dan di dalam suratnya dicatat
bayt-bayt puisi berikut, bermaksud:
Seumurku aku tidak menyimpan rahsiaku dan
rahsianya,
Tidak lain kerana menjaga tidak pecah
segala rahsia,
Dan tidaklah kedua kelopak mataku celik
memerhati,
Sehingga kami meyaksi lintasan hati tak
patut diperhati,
Kami tidak mau keraguan timbul di antaranya
dan antaraku,
Menjadi perantara yang tidak menyenangkan
hati kecilku.
(Al-Luma`: 319).
Bermaksud mereka mau memelihara perhubungan
sebaik mungkin dan mau mengelak dari timbulnya sebarang keraguan yang boleh
merosakkan perhubungan antara satu sama lain.
Seorang lagi sufi yang turut sama
menggunakan puisi di dalam meluahkan pengalaman kesufiannya ialah Abu `Ali
al-Rudzbari dengan bayt-bayt berikut bermaksud:
Aku menulis kepadamu dengan genangan
airmata
Sambil itu hatiku menghirup dari cangkir
mesra
Cukuplah dengan tulisan sedang hatiku
enggan
Sedangkan dua mataku memadam apa
dituliskan.
(Al-Luma`:
320).
Nampaknya menjadi kebiasaan bagi sufi dan
juga penulis-penulis surat kiriman, bahawa di dalam menulis . penulis-penulis
di atas turut merakamkan isi hati dengan puisi sebagai pernyataan mesra dan
ingatan. Demikianlah dengan Abu `Ali al-Rudzbari dan beberapa yang lain lagi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment