BBB, 14 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 03 Disember
2017M. (Ahad):
Persidangan Antarabangsa Islam dan Tokoh (2017)
yang berlangsung di UKM pada 21 November 2017 itu telah ditutup dengan rasminya
oleh Dekan Fakulti Islam, UKM, iaitu Profesor Dr. Wan Kamal Mujani pada
petangnya. Sebagaimana disebut selepas setiap sidang berjalan tidak ada diberi
ruang untuk bersoal jawab, maka demikianlah sebelum majlis penutup tiada
sebarang resolusi diambil untuk menjadi panduan dan tindakan.
Profesor Dr. Kamal Mujani bersyukur
persidangan berjalan dengan baik, beliau mengucapkan terima kasih terutama
kepada pembentang-pembentang yang telah membentangkan kertaskerja masing-masing
dan juga berterima kasih kepada semua peserta yang dengan tekun mengikuti
pembentangan dari pagi hingga ke petang. Profesor Dr. Kamal terhutang budi di
atas kerjasama Keluarga Dato` Haron Din yang telah memberi kerjasama, khususnya
Dato` Seri Hassan Din dan anak al-Marhum Dr. Huda bagi menjayakan persidangan.
Demikianlah dengan Dar al-Shifa`, Pusat Islam UKM dan Masjid al-Hasanah.
Kata Profesor Dr. Kamal Mujani, Al-Marhum Tuan
Guru Dato` Dr. Haron Din adalah tokoh terkenal, bukan saja di dalam negara,
tetapi di luar negara, maka wajarlah dia dijadikan tokoh yang dibicarakan pada
persidangan ini agar maklumat mengenainya dapat diketahui dan diingati.
Menurut Profesor Dr. Kamal Mujani, pada tahun
2019 akan diadakan `Nadwah `Ulama` Nusantara di Sarawak, beliau berharap tokoh Dato` Dr.
Haron Din menjadi salah seorang tokoh akan
ditonjol dan dibicarakan tentang pemikiran dan sumbangannya dalam banyak bidang
di dalam nadwah berkenaan. Dato` Dr. Haron Din memang sesuai dan layak diletak
sebagai salah seorang `ulama Nusantara` yang berjasa.
Dato` Dr. Haron Din dapat dikaji dari segi
aliran dan kecenderungan ilmunya, pandangannya tentang bank dan kewangan dari
segi shari`ah, fikiran-fikirannya, konsep perubatan Islamnya, politik
sederhananya, dakwah, amalan kebajikannya dan shakhsiyahnya yang disenangi
semua pihak, walaupun oleh ahli-ahli politik yang tidak sealiran dengannya
Dalam ucapannya Profesor Dr. Kamal juga
mencadangkan kepada Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam UKM agar mengangkat
cadangan supaya diwujukan `Kerusi Dr. Haron Din` di Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam, UKM. Pengwujudan kerusi ini memberi peluang dan
ruang bagi pengkaji-pengkaji membuat kajian terhadap Dato` Dr. Haron Din dari
berbagai bidang. Namun menurutnya untuk mewujudkan kerusi berkenaan memerlukan
peruntukan sekurang-kurangnya RM5 juta, tetapi ini dapat diusahakan, misalnya
mendapat tajaan dari bank-bank yang Dato` Dr. Haron Din pernah menjadi
Penasihat Shari`ahnya secara bersama atau oleh satu bank yang berminat.
Selain daripada itu pihak institusi khusus
seperti Dar al-Shifa` yang diasaskan oleh Dato` Dr. Haron Din, menurutnya dapat
memikirkan apakah kaedah terbaik bagi mengembangkan konsep `Perubatan Islam`
yang dicetuskan oleh Dato` Dr. Haron Din seperti mewujudkan `Yayasan Dar
al-Shifa` , mengadakan kerjasama misalnya dengan mana-mana universiti yang ada
Fakulti Perubatan, mengadakan kerjasama dengan pihak Jabatan Perhutanan
Malaysia (FRIM) bagi mengenalpasti tumbuh-tumbuhan yang ada nilai perubatan
yang dapat digunakan di Dar al-Shifa` dan secara kerjasama dapat dikomersilkan.
Dato` Dr. Kamal mengucapkan `Terima Kasih`
kepada semua pihak yang menjayakan Persidangan dan dengan lafaz `Bismi`l-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim`
beliau menutup persidangan pada petang hari berkenaan. Terima kasih.
Sekian.
No comments:
Post a Comment