December 7, 2017

SUFI DAN PUISI

BBB,  17 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 06 Disember 2017M. (Rabu):
Memperkatakan tentang `Pendengaraan (al-sima`) ini yang paling tinggi memberi impak kepada jiwa dan rohani ialah `Mendengar Al-Qur`an`. Kesan pendengaran Al-Qur`an ada beberapa level.
Pertama: Level biasa, bermaksud seorang yang mendengar orang membaca Al-Qur`an yang betul dari segi makhraj dan tajwidnya terkesan pada jiwanya dengan kekudusan Al-Qur`an dan memberi ketenangan kepada jiwanya.
Kedua: Level orang mendengar seorang yang membaca Al-Qur`an secara tarannum dan melagukannya menurut kaedah lagu tertentu, maka dengan mendengarnya dan menghayati lagu yang bibaca, maka  terasa kekudusan dan keindahan yang menghalus jiwa dan mengkagumi ayat Al-Qur`an. Misalnya mendengar bacaan Al-Qushayri, Abdul Basit dan sebagainya. Ianya menjadikannya lebih mengkagum dengan Al-Qur`an
Level ketiga: Level yang mendengar orang membaca Al-Qur`an degan kesempurnaan lagu yang dibawa dipadankan dengan keilmuan dan memahami kandungan. Jadi dia tenggelam dalam keindahan dan kemerduan bacaan, lebih-lebih lagi dia seolah-olah berenang dan menyelam memungut mutiara-mutiara dari kalam yang didengarinya.
Al-Qur`an adalah berbahasa khusus, iaitu bahasa Al-Qur`an yang bukan bahasa prosa dan bukan bahasa puisi, tetapi di dalamnya ada elemen bahasa prosa contoh bahasa di dalam surah al-Kahfi dan banyak surah-surah yang lain bersifat penceritaan dan ada padanya elemen puisi contoh banyak surah di dalam juz` `Amma, dan ambil contoh surah al-A`la, al-Ghashiah, al-D*uha, al-Ikhlas dan banyak lagi surah-surah dan ayat-ayat yang lain yang mengandungi ciri-ciri estetika yang tinggi. Bagi memahami dan menghayati kedalaman dan keindahan bahasa dan kandungan dipelajari melalui ilmu balaghah yang terdapat di dalamnya tiga komponan ilmu, iaitu ma`ani, bayan an badi`.
Mengapa keilmuan tasawuf megaitkan puisi ? Ini ialah kerana sebagaimana di dalam Al-Qur`an banyak mengandungi elemen-elemen estetika dan di dalam puisi juga banyak membawa elemen estetika, yang tanpanya tidak dikatakan puisi dan kesannya pada pendengar memesrakan, menggembirakan, memberi semangat, mendukacitakan bahkan membawa kepada kemabukan rasa, lantaran itu dibicarakan tentang puisi dan hubungannya dengan tasawuf. Kalau Al-Qur`an boleh membawa hidayah, keinsafan, kudus dan taqwa, apakah elemen-elemen ini terdapat di dalam puisi, kalau tidak secara maksimum, mungkin sebahagian. Atau mungkin merosakkan. Juga puisi bukan setakat ditulis dan dibaca, didengar, bahkan dilagukan, bagaimanakah mendengar puisi-puisi yang dilagukan seperti nasyid, qasidah dan lirik-lirik dalam lagu yang berbentuk puisi. Bagaimanakah kedudukannya dalam hubungan ketasawufan ?
Sesungguhnya apa yang dicipta oleh Tuhan mengandungi elemen seni. Pada kejadian langit dan bumi dan cakrawala yang ada adalah indah, pada muka bumi ada keindahan, pada laut dan sungai ada keindahan, pada pohon-pohon yang menghijau tumbuh ada keindahan, pada diri manusia  ada keindahan, pada kata-katanya ada keindahan sebagaimana difahami dari syair, qasidah, marhaban, pantun, gurindam, teromba semuanya ada keindahan. Keindahan sebagai sifat yang ada pada zat dan objek, tidak dapat dipisahkan. Kebaikannya bergantung pada bagaimana dia dimanfaatkan, termasuklah kepada ketasawufan. Inilah antara yang mau dibicarakan, iaitu mendengar puisi bagaimanakah kedudukan dan kewajarannya –  khususnya dari segi tasawuf. ?

Sekian.

1 comment:

  1. terima kasih Dr.Shafie. Amat berguna sekali tulisan ini. Alhamdulillah.

    ReplyDelete