BBB, 15 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 04 Disember
2017M. (Isnin):
Kembali kepada pembicaraan kandungan Kashf
al-Mahjub oleh Al-Hujwiri, bahawa salah satu aspek yang dibicarakan di dalam
tasauf, ialah `Sama` bererti mendengar. Pembicaraan tentang `sama` ialah kerana
ianya adalah satu alat pada diri yang melaluinya dapat mengetahui sesuatu
dengan mendengar.
Sesungguhnya pada diri manusia itu ada
beberapa wasilah yang dengannya dapat menyampaikan maklumat. Alat-alat
berkenaan ialah:
1) Akal
2) Hati nurani
3) Inderawi.
Tentang akal dan hati nurani telah biasa
diperkatakan.
Akal adalah bersifat rasional melaluinya dapat
dipelajari tentang betul atau salahnya sesuatu. Misalnya melalui kaedah
matematik dipastikan kebenaran secara rasional. Melaluinya dibahaskan sesuatu tentang
logik atau tidaknya, misalnya dengan
menggunakan dalil dan burhan yang hasilnya meyakinkan. Kaedah sedemikian banyak
digunakan di dalam ilmu tauhid, lebih-lebih lagi secara ilmu kalam.
Dengan hati nurani juga dapat dihayati sesuatu.
Ianya lebih merupakan maklumat yang merupakan sentuhan dalaman yang antaranya
tidak dapat dinafikan ada padanya unsur perasaan. Misalnya bagaimana rasa rindu
yang kadang-kadang tidak tertanggung oleh yang merindu. Misalnya antara sama
manusia. Seperti rindu ibu terhadap anaknya yang dikejauhan. Ia merupakan
sentuhan dan perasaan dalaman yang pasti ada, walaupun tidak dapat ditunjuk
secara nyata sebagai berbenda.
Dari peringkat ini meningkat kepada yang
terlebih tinggi, misalnya tentang `Cinta Ilahi`. Ianya merupakan `Cinta Suci`
yang dialami oleh para rohaniawan sabagai contohnya sufi. Ianya berciri intuisi
rohani dan wujdan. Medan inilah merupakan `sahra` bagi sufi yang sanggup merentasi
untuk sampai kepada yang dicintai, walaupun terpaksa merentasi gurun, keseksaan
dan kedahagaan, kerana bagi mereka itu adalah kelazatan rohani.
Kedua-dua di atas, akal dan rohani adalah dua
bidang yang terus dibicarakan. Adapun tentang `sama` dia bagai bahan tambahan
yang dikira perlu dibicarakan, bahkan bersama-sama aspek-aspek yang di dalam
kategori yang sama, iaitu kategori `Inderawi`.
Dari segi kedudukannya lebih rendah daripada akal dan hati rohani,
tetapi melalui inderawi didapati maklumat yang berbeda antara satu sama lain,
tetapi memberi kesan yang mungkin juga mendalam dan sampai kepada akal dan juga
hati norani.
Apek ibderawi ini adalah lima perkara, iaitu:
``Mendengar, melihat, menjamah, merasa (kecap
dengan lidah) dan mencium``.
Setiap indera ini mempunyai perbezaan dari
segi tanggapan. Mendengar misalnya melalui organ telinga yang dengan mendengar
boleh difaham. Ada pendengaran yang indah secara berlagu, misalnya mendengar
ayat Al-Qur`an. Ada yang menakutkan, misalnya mendengar petir yang boleh
merosakkan. Demikianlah melihat melalui organ mata yang boleh kita lihat secara membeza dan sebagainya. Ada perkara
yang dilihat menarik seperti pandangan alam dan ada yang tidak menarik, seperti
melihat kotoran yang menjijikkan. Menjamah ialah maklumat yang dapat diketahui
melalui merasa dengan kulit, misalnya sesuatu itu lembut atau keras, demikian
dengan kecapan (lidah) boleh mengetahui sesuatu itu manis, tawar, masam atau
kelat dan sebagainya. Seterusnya mencium melalui organ hidung kita dapat
mengetahui sesuatu itu harum dan busuk. Semua panca indera yang dijadikan oleh
Allah pada diri manusia membantu dirinya mendapat maklumat, panduan dan manfaat
bagi dirinya.
Di dalam membicarakan tentang panca indera ini
Al-Hujwiri menampilkan pendapat kalangan Sunni, bahawa yang paling tinggi
kepentingan antara panca indera itu adalah `Mendengar`. Sebab dihujahkan
melalui pendengaran kita mengetahui tentang kebenaran. Kita mempercayai agama
Islam misalnya melalui pendengaran , misalnya melalui pemberitaan yang
disampaikan oleh Rasul atau melalui pendengaran dari Al-Qur`an. Adalah
dihujahkan bahawa melihat adalah lebih penting, dan melihat Tuhan lebih penting
dari mendengar, maka kata Al-Hujwiri apa yang dilihat bagi orang mu`min disyurg
adalah bermula dari pendengaran terlebih dahulu. Melihat lebih terhad jaraknya
dari mendengar.
Oleh kerana menganggap pendengaran lebih penting
maka topik yang membicarakan tentang indera ini dilambangkan dengan `sama` dan
tidak yang lain.
Sekian.
No comments:
Post a Comment