December 2, 2017

MELAWAT KE PUSAT DAKWAH SERANTAU

BBB,  12 Rabi`ul-Awal 1439H. = 01 Disember 2017M. (Juma`at):
Mengikuti pembentangan oleh Ustaz Misbahul Munir Masduki, Mudir tentang Sumbangan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Dalam Bidang Dakwah dan Peranannya Dalam Pembangunan Pusat Dakwah Serantau pada Persidangan Antarabangsa Islam dan Tokoh (PAIT) 2017 anjuran Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam, di Dewan Senet, UKM pada 21 November 2017 menggerak hati Penulis untuk  melawat Pusat Dakwah Serantau tersebut. Kami telah maklum, bahawa Pusat Dakwah Serantau ini masih beroperasi dari pusat sementaranya, dulu dikenali Pusat Tarbiah, kini Kompleks Darul Irshad, Lot 4459 Jalan Haji Muhammad Amin, Sungai Merab Luar, 43000 Kajang Selangor. Kini Pusat Dakwah sedang dalam pembinaan bagi pusat tetapnya di Jalan Muhibbah, Labuhan Dagang, Tanjog Dua Belas, Banting,  Kuala Langat.
Pada hari ini (Khamis 30 November 2017) jam 10.00 pagi Penulis bersama saudara Azizi bertolak untuk terlebih dahulu melawat Pusat Dakwah Serantau, sebagai kampus sementaranya di Sungai Merab Luar tersebut. Pusat ini tidaklah asing bagi Penulis. Tanahnya telah diwaqafkan oleh Ustaz Idris Omar untuk kegiatan  Pas Hulu Langat dan kompleks yang ada telah dibangunkan atas sumbangan berbagai pihak. Pada asalnya memanglah ianya Pusat Kegiatan Pas Hulu Langat sekitar akhir 1990an. Bila Penulis menjadi ADUN Kajang (1999-2004), yang DUN Kajang menjadi sebahagian dari  Kawasan , Hulu Langat, maka ada cadangan bangunan di sini menjadi Markas Pas Hulu Langat, tetapi kedudukannya di pinggir kawasan Hulu Langat adalah tidak sesuai, demikian tidak sesuai begi Pas Sepang kerana terpinggir, sebab itu ianya dijadikan sebagai Markas Tarbiyah dan pernah juga digunakan oleh pihak Pemuda Pas.


Bila Pusat Dakwah Serantau ditubuhkan pada tahun 2010, idea menubuhkan Pusat Dakwah ini hasil dari  retreat Yayasan Unit Amal ke Langkawi (2009) dan diperhaluskan di Kuala Lumpur dan dipersetujui ditubuhkan Pusat Dakwah di Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi awal 2010 (Mulai operasi pada Jun)  yang dikenali Pusat Dakwah Serantau. Pengerusi Majlis Perunding Pertama bagi Pusat ini ialah Dato` Dr. Haron Din, bererti sejak dari ditubuhkan hinggalah kepada tarikh meninggalnya  Dato` Dr. Haron Din (16 September 2016), Dato` Dr. Haron Din sama menentukan polisi perjalanan Pusat Dakwah ini, mulai dari menyusun kurikulum kepada pengambilan pelajar, memilih tempat-tempat yang menjadi fokus dakwah, mencari dana dan penyediaan sarana bagi tempat-tempat dakwah. Keluarga dari Dar al-Shifa` juga di terlibat sama, termasuk mendirikan masjid-surau dilokasi-lokasi dakwah. Dato` Dr. Haron Din juga memainkan peranan penting di dalam mendapatkan tapak bagi Pusat Dakwah Serantau sebagai tapak tetapnya di Labuhan Dagang, Tanjong Dua Belas, Banting, Kuala Langat dan usaha mendapat dana bagi pembangunan  pusat tersebut.
Pengganti Dato` Dr. Haron Din ialah Dato` Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. Beliau bersama Pemimpin kanan bagi Pusat Dakwah Serantau seperti Tuan Haji Hussein bin Ismail  Presiden Yayasan Amal Malaysia yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perunding, Tuan Haji Jamaliddin Elias, Ustaz Misbahul Munir (Mudir), Tuan Haji Salleh Farmin dan beberapa yang lain lagi adalah mereka yang bertungkus lumus  membangunkan Pusat Dakwah Serantau.
Semasa ketibaan kami,  Ustaz Mohd. Izzuddin Ismail Timbalan Mudir menyambut kami dan dalam pertemuan itu kami diberi penerangan tentang Pusat Dakwah Serantau. Menurutnya selepas meninggalnya Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, jawatan Pengerusi Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantauialah Dato` Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Bekas Pengarah JAKIM dengan dibawahnya 33 ahli Majlis Perunding, manakala   bahagian pentadbiran di Pusat Dakwah Serantau adalah di bawah Ustaz Misbah al-Munir Masduki sebagai Mudir dan Timbalan Mudir ialah Ustaz Mohd Izzuddin Ismail dengan tenaga  16 orang termasuk guru-guru.
Antara objektif penubuhan Pusat Dakwah Serantau ialah:
·         Sebagai pusat dakwah setempat dan Serantau.
·         Sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan bagi merangka dan melancar gerakan dakwah secara strategik dan berkesan.
·         Sebagai latihan bagi pekerja dakwah dan sebagai pusat komuniti.
·         Sebagai pusat maklumat dan media dakwah.
Dan dari segi strategi:
·         Mengambil sejumlah pelajar terpilih untuk dilatih dan berdakwah
·         Menggerakkan dakwah bi alhal menurut kaedah bersesauaian
·         Mengadakan kerjasama dengan berbagai pihak bagi melaksanakan matlamat
·         Memanfaatkan pengalaman dakwah yang berjaya di samping melengkapkan pendekatan dengan media baru.
Adalah diharapkan pada tahun 2025 Pusat Dakwah Serantau ini akan menjadi Pusat Dakwah dan rujukan sedunia.
Pengambilan Pelajar
Dari berbagai kawasan, setakat ini antara mereka dari Cambodia, Filipina, Sarawak, Sabah  dan Pulau Batam Indonesia. Pelajar mengikuti pengajian selama satu setengah tahun (3 semester). Antara pelajaran yang diikuti ialah:
Akademik:
Semester Satu:
Aqidah, feqah, akhlak, Qur`an dan tajwid, Pengajian Al-Qur`an, Perubatan Islam 1 dan tasawuf talaqqi 1.
Semester 2
Aqidah 2, feqah 2, Qur`an dan tajwid 2, Bahasa Arab 1, pengajian Hadith, Perubatan Islam 2, Sirah al-Nabawiyyah, fiqh da`wah dan tasawuf talaqqi 2.
Semester 3
Penceramah Jemputan, Memahami Islam intensif (Fardhu `ain), Da`wah intensif, Turath talaqi, dan Al-Qur`an secara intensif.
Manakala Ko-kurikulum bagi Semester Satu ialah, khutbah dan berucap, kem dakwah, sukan, kursus pertanian,nasyid, mukhayyam dan usrah.
Bagi semester dua ialah, Latihan mengajar pra-sekolah, tanggungjawab sosial, kem dakwah 2 dan Usrah 2.
Bagi semester 3 ialah, Latihan dakwah, Latihan pra-sekolah, Latihan pertanian, Ramadhan  journey, Qur`an intensif dan Latihan kepimpinan.
Setkat ini pelajar telah bergraduasi sebanyak 7 kali:
2011 seramai  21  orang da1`es
2012                  23
2013                  20 
2014                  17
2015                  31
2015                  35
2017                  45
Tamat pengajian mereka kembali ke tempat masing-masing menjalankan dakwah dengan dipantau dan kerjasama oleh pihak Pusat Dakwah Serantau. Setakat ini sebanyak 20 masjid dan surau telah didirikan.  Kini mereka  yamg diislamkan mencecah 1,000 orang. Ethnik yang diislamkan di Sabah terdiri dari Kadazan, Dusun, Bajau, Murut, Suluk dan Melayu, manakala dari  Sarawak terdiri dari ethnik Iban, Malanau, Bidayuh, Orang Ulu dan Melayu.
Antara tempat yang didirikan surau:
·         Surau `Amal al-Azhar, Ulu Kota, Pakan digunakan 20 November 2010
·         Surau `Amal Zulqarnain, Sg. Amut, Pakan digunakan 21 Disember 2013
·         Surau `Amal Semelap Ulu, Simunjan, digunakan 25 Mei 2014
·         Surau `Amal Al-Taqwa, Kampung Klid, Dalat, Mukah digunakan  15 Ogos 2014.
·         Surau `Amal, Kampung Raeh, Simunjan digunakan 15 Februari 2015
·         Masjid `Amal, Pulau Bamggi, Sabah, tarikh digunakan ?
·         Surau `Amal Kampung Sikog, Serian digunakan  25 Oktober 2015.
·         Surau `Amal `Umar al-Khattab, Rh Lidan, Pakan mulai dibina 2014.
·         Surau `Amal `Uthman al-`Affan, Rh Entinggi, Pakan, mula dibina hujung 2014.
·         Surau `Amal Nurul Hidayah, Rn Resa, Tubau Bintulu, mula dibina   5 November 2014.
Sementara itu terdapat 11 musalla yang telah dibina di tempat-tempat seperti di Pakan, Bintulu, Serian, Miri, Keningau, Kota Belud, Kudat dan Sook.
Sesungguhnya mereka yang menggerakkan Pusat Dakwah Serantau telah melaksanakan tugas dengan cemerlang, namun banyak lagi keperluan bagi meneruskannya termasuk menyiapkan kampus tetap, dan pengurusan dakwah. Amalan baik dan pahala dapat disertai sama oleh orang ramai. Siapa yang ingin menderma kepada Pusat Dakwah Serantau boleh melalui;
 Bank Islam Malaysia Berhad 1305 - 301- 0005100.

Sekian.

No comments:

Post a Comment