December 15, 2017

BERSAMALAH MEMERIAHKAN SAMBUTAN MAULID AL-RASUL Di MASJID AL-UMM

BBB, 25 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 14 Disember 2017M. (Khamis):
Sambutan Maulid al-Rasul yang akan diadakan di masjid berkenaan pada Sabtu 27 Rabi`ul-Awwal 1439H. bersamaan 16 Disember 2017 mulai jam 9.00 pagi adalah merupakan majlis sambutan pertama kali dan bersejarah bagi  Masjid Al-Umm. Ianya adalah sebagai pernyataan syukur kepada Allah kerana dapat menggunakan rumahNya dan juga sebagai memuji dan kasih kepada Rasulullah s.a.w., lantaran masjid adalah paling rapat dengan jiwa Baginda. Tugas yang paling diutamakan oleh Baginda apabila berhijrah ke Madinah al-Munawwarah ialah mendirikan masjid seperti Masjid Qaba` dan Masjid Madinah al-Munawwarah. Lebih istimewa bagi Masjid al-Umm yang juga sebagai pernyataan syukur bahawa Sambutan Maulid al-Rasul ini dapat diadakan sebaik masjid mendapat kelulusan C.P.C., iaitu pada 14 Disember 2017. Tahniah kepada Jawatankuasa Teknikal yang telah bertungkus lumus memastikan bahawa sambutan Maulid al-Rasul dapat diadakan selepas mendapat C.P.C. Sambutan dan penggunaan Masjid ini adalah merupakan sebagai siri ujian penggunaan bagi memastikan peralatan masjid adalah baik dan sebarang kerosakan dan kekurangan dapat diperbaiki dan juga ujian bagi pentadbiran dan perjalanan dapat berjalan dengan licin menjelang mendapat C.C.C. Hasrat berkenaan kita telah maklumkan kepada pihak Pejabat Agama Daerah (PAID), Hulu Langat. Sebagaimana Rasulullah s.a.w. menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pengajian (sumber ilmu pengetahuan), pentadbiran dan kegiatan sosial, maka demikianlah antara kegiatan yang akan dilakukan oleh Masjid Al-Umm, secara bertahap dan beransur-ansur,  sekurang-kurangnya bagi penduduk setempat.
Kita dapati semua pihak bersyukur dan bergembira dengan penggunaan Masjid al-Umm yang mereka tunggu-tunggu selama ini. Kita harap semua pihak dan penduduk akan sama melahirkan kesyukuran, iaitu dengan sama datang memeriahkan Sambutan Majlis Maulid al-Rasul.
Untuk makluman, kita mempunyai cukup peruntukan bagi sambutan hasil dari sumbangan para dermawan.
Majlis pada pagi itu akan bermula dengan doa dan pembacaan Al-Qur`an dari Qari jemputan, iaitu Ustaz Hasim bin Harun dari Jabatan Al-Qur`an dan al-Sunnah, Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Bangi. Para hadirin dapat mengetahui tentang sambutan dan permbangunan Masjid al-Umm dari Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang juga mengetuai bahagian Teknikal.
Tazkirah berhubung dengan Maulid al-Rasul  akan disampaikan oleh Penceramah Jemputan, iaitu Ustaz Dr. Abdul Rahman Mahmood, Pengarah Pusat Islam, UKM yang juga sebagai Ahli Jawatankuasa Induk Masjid Al-Umm.
Dalam Majlis sambutan ini salawat akan disampaikan oleh Kumpulan Salawat dari Surau Damai. Kemudian majlis akan diisi dengan bacaan Yasin sehingga waktu zohor. Bacaan Yasin dipimpin oleh Ustaz Hasim Harun dan diikuti dngan solat zohor berjamaah.
Selepas solat, semua hadirin dijemput makan tengahari yang ditempah dari caterer terkenal. Kita berusaha mengendalikan majlis secara terbaik dan memuaskan.  Insha Allah.
Harap semua pihak dapat sama datang memeriahkan Sambutan Maulid al-Rasul di Masjid Al-Umm.

Sekian.

No comments:

Post a Comment