December 8, 2017

PENDAPAT TENTANG PUISI: BERHIKMAH

BBB, 18 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 18 Disember 2017M. (Khamis):
Mencatat  Ibn Rashiq (m.456H./1063M.) tokoh terkenal yang menulis tentang puisi dengan kitabnya  yang berjudul  ``Al-`Umdah Fi Mahasin al-Shi`r  wa Adabihi`` (dua jilid), bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
``Inna min al-shi`r la hikmah.``
Bermaksud: ``Adalah daripada syair itu mempunyai hikmah`` – Dikeluarkan oleh Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah dan al-Tirmidzi.  (Al-`Umdah, 1408/1988: Jil I: 69).
Hadith ini juga dipetik oleh Al-Hujwiri di dalam membicarakan tentang ``Mendengarkan Puisi``.
Bagaimanakah puisi dimaksudkan dengan berhikmah ?
Puisi bukan bahasa prosa biasa, tetapi adalah ungkapan bahasa yang tergubah dengan indah. Keindahannya dapat dilihat dari segi luaran dan dalaman – sama ada puisi itu syair, qasidah, nasyid, pantun, gurindam, teromba dan sebagainya. Sebuah puisi ialah usaha penggubah dengan sengaja mencari keindahan, ketepatan dan kesempurnaan dari segi luaran dan dalaman.
Dapat diibaratkan menggubah puisi yang indah sebagai seorang  jurubina yang mencari tapak yang terbaik bagi mendirikan sebuah  rumah, mungkin di kawasan yang sedikit tinggi yang boleh dielak dari banjir. Dengan keluasan yang sesuai, kawasan dibina rumah yang cantik dan sempurna, meskipun tidak besar. Keliling rumah itu berpagar  dan kawasannya di hiasi dengan kebun dan pohon serta bunga-bungaan  yang indah. Pada bahagian dalamnya mempunyai bilik dan ruang-ruang yang indah selesa, cukup dengan perabut dan peralatan. Selain dari dalaman yang indah, maka ada ruang-ruang yang menjadi tempat yang istimewa. Misalnya ada perpustakaan mini, tempat keluarga studi dan lebih dari itu ada tempat yang lebih lagi  istimewa, katakan di dalam almari dan laci-laci khusus disimpan barang-barang berharga dan istimewa.
Demikianlah bandingannya dengan sebuah puisi ia adalah merupakan sebuah rumah bahasa yang disusun indah dari segi luaran. Maksudnya kalau sebuah bait syair maka luarannya digubah berdasarkan rentak tertentu misal bahar rajaz – diukur menurut timbangan saraf dan mempunyai jumlah kata yang teratur. Misalnya syair bila turun ke bahasa Melayu berbentuk a,a,a, a  dengan suku kata tertentu:  Contoh sebuah bayt Hassan bin Thabit memuji Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Patuh Pada Suruhan
Demi  Tuhan ku patuh suruhan
Semulia kejadian tinggi turunan
Mulia berdakwah kepada Tuhan Esa
Memberi nasihat  agar hidup mulia.
(Dewan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 85-86).
Melihat kepada syair di atas dari segi luaran ia adalah dengan sengaja disusun dalam bayt aa, bb dengan suku kata terkawal. Selain dari keindahan dan susunan terkawal, maka dilihat dari segi dalaman ianya membawa mesej  (hikmah) tentang dakwah kerasulan dengan tujuan memberi pertunjuk kepada manusia agak hidup mulia di dunia dan akhirat.
Begitu juga contoh dapat diambil dari pantun Melayu, seperti:
Anak merpati disambar helang,
Terbang ketitir di dalam huma;
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.
(Sekalung Budi Seuntai Bahasa, DBP, 1990: 55).
Pantun empat kerat di atas bukan susunan bahasa biasa, tetapi digubah menurut  aturan, misalnya tiap baris mempunyai sejumlah suku kata antara 9 – 12 , susuan barisnya ialah ab, ab. Dua baris pertama adalah pembayang yang indah, susunan dari gambaran alam. Manakala dua baris terakhir adalah perutusan yang cantik makna  dan adalah bersifat hikmah, mengajar manusia agar hidup berjasa.
Jelas daripada contoh di atas, bahawa bahasa puisi bukan bahasa prosa biasa, tetapi tersusun menurut aturan ianya membawa mesej yang luhur. Inilah apa yang dimaksudkan oleh Hadith Rasulullah s.a.w. bahawa puisi (syair) mengandungi hikmah.
Di dalam tasawuf ada apa yang dinamakan wujdan demikian juga di dalam puisi ada elemen estetika yang boleh membangkitan perasaan keharuan, keindahan, kekudusan dan sebagainya Elemen-elemen ini ada di dalam seni berbahasa (sastera) yang mendekati seni jiwa. Apabila kedua-dua bidang ini bersatu, maka bertambah tinggi lagi cita rasa tasawuf  yang bersatu dengan ciri seni. Lantaran itu seni bahasa termasuk syair dan sebagainya dekat dengan tasawuf dan sering menjadi medium ungkapan sufi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment