December 19, 2017

UCAPAN PENGERUSI J/K PEMBANGUNAN & PENGIMARAHAN MASJID AL-UMM

BBB, 29hb. Rabi`ul-Awwal 1439H. = 29hb. Disember 2017M. (Isnin):
Ucapan Penulis selaku Pengerusi J/K Pembangunan dan Pengimarahan Masjid al-Umm ialah dengan mengaitkan cinta  kepada Rasulullah s.a.w ialah dengan mengingati Baginda sebagaimana kita adakan pada pagi 16 Disember 2017 itu. Tanda kecintaan juga ialah dengan mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Selepas Baginda berhijrah ke Madinah Baginda memberi keutamaan dengan membina Masjid Quba` dan Masjid Madinah (Masjid Nabawi), lantaran dengan masjid adalah menjadi pusat pengibadatan, pendidikan,  pentadbiran dan kegiatan kemasyarakatan. Baginda mendirikan masjid-masjid berkenaan secara gotong royong. Kita mendirikan Masjid Al-Umm juga adalah secara gotong royong  dengan memberi derma bagi pembangunan Masjid Al-Umm yang 80% dari perbelanjaan pembinaan (kini RM20 juta) adalah dari derma orang ramai. Masjid Al-Umm juga menjadi pusat ibadat, pengajian, pentadbiran dan kegiatan kemasyarakatan. Ini telah sedang dan akan terus dilakukan.


Sebagaimana derma telah disampaikan, masjid sebenarnya memerlukan peruntukan secara berterusan bagi maintenance, kegiatan pengajaran, pentdbiran dan kegiatan kemasyarakatan. Penulis berpendapat penduduk dan orang ramai akan terus menderma untuk mengimarahkan masjid dengan berbagai kegiatan. Sementara itu Penulis memaklumkan, bahawa orang ramai masih berpeluang untuk mendapat ganjaran bersedekah dan berwaqaf  kepada masjid seperti dilakukan oleh Badan Firdaus dari Shah Alam pada Jumaat 15.12.2017 lepas yang telah menderma peralatan yang diperlukan oleh masjid seperti Al-Quran, sajadah, rehal, kerusi, dan sebagainya.  Masjid misalnya mengalu-alukan menderma  seperti vend jenazah, buku-buku dan kitab-kitab untuk perpustakaan,  sejumlah unit komputer dan berbagai-bagai tajaan boleh dibuat. Masjid Al-Umm juga dalam proses pembelian rumahbekas Surau Al-Umm, Surau pertama di Bandar Baru Bangi yang digunakan sejak awal Ramadhan tahun 1978. Harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM500,000/=. Selain dari itu orang ramai juga boleh menaja pembinaan kawasan parkir di bawah rentas TNB yang telah mendapat keizinan menggunakannya dan kos pembinaannya dalam lingkungan RM300.000/=.
Penulis juga menyebut tentang bangunan tiga tingkat yang mencerminkan juga fungsi dan kegiatan di masjid itu sendiri.
Keluasan lantai masjid tiga tingkat itu ialah     4,312  meter persegi
Atau bersamaan dari segi  ukuran kaki ialah   46,456  kaki persegi
Keluasan ini dapat menampung jamaah          30,000   jamaah
Pada aras  pertama – ruang utama                     2,500    Jamaah
Pada aras atas bagi muslimat  menampung         500    Jamaah
Pada aras utama ini ada pejabat pentadbiran, dan bilik tarbiah bagi menempatkan anak-anak  secara dikawal semasa ibu bersolat atau mengikuti pengajian. Berdekatan dengannya terdapat tempat mainan anak-anak. Pada  sebelah kanan aras ini terdapat bilik jenazah. Pada kiri kanan terdapat tempat wudhu` dan bilik air (toilet).
Pada tingkat atas ialah ruang solat bagi muslimat. Pada sebelah kanan terdapat bilik mesyuarat dan sebelah kiri, ialah bilik persidangan. Manakala pada bahagian belakang terdapat bilik IT dan perpustakaan dan bilik tahfiz. Manakala  ruang bawah tanah terdapat bilik aqad nikah dan ruang untuk perhimpunan atau  jamuan dalam jumlah yang lebih ramai.
Dari segi fungsi ruang tergambar kegiatan-kegiatan yang bakal dijalankan. Namun pada peringkat permulaan  aktiviti  dijalankan secara bertahap.  Selain  solat berjamaah akan diikuti dengan pengajian-pengajian dan berbagai kegiatan lagi yang akan diputuskan melalui mesyuarat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment