BBB, 13 Rabi`ul-Awal 1439H. = 02 Disember
2017M. (Sabtu):
Tujuan kami ke
Pusat Dakwah Serantau di Sungai Merab, pada Khamis 30 November, selain
dari ingin mengetahui tentang kegiatan
pusat berkenaan, juga untuk mengetahui lokasi kampus tetap Pusat Dakwah
Serantau di Banting. Kami hanya mau tahu lokasi sebenar dan tidak perlu ada
pengiring. Tetapi Ustaz Mohd Izzuddin Ismail Timbalan Mudir yang mengetahui
Tuan Haji Salleh Farmin salah seorang Ahli Majlis Perunding Pusat Dakwah
Serantau yang juga sebagai Pengarah Urusan pergi ke tapak Pusat Dakwah
Serantau pagi itu, maka dia dihubungi
oleh Ustaz Mohd Izzuddin memberitahu yang kami bercadang untuk ke sana. Kami
beritahu kami tidak mau menyusahkan dan tidak perlu ditunggu.
Kami bertolak dari
Sungai Merab jam 11.00 pagi dan tidaklah sukar menemui Jalan Muhibbah di kiri
jalan ke kiri hala ke Kuala Langat, kami dapati di dalamnya Kolej Pengajian
Mara, namun bila masuk ke dalam jalan
dalam ladang kelapa sawit itu ada pecahan jalan. Kami pilih jalan terus dan ada
kereta yang menunggu dan mengarah kami membelok ke kanan dan sampai ke lokasi
tapak tetap Pusat Dakwah Serantau. Rupanya Tuan Haji Salleh Farmin (bersama
isterinya) menunggu kami walaupun kami maklumkan, tidak perlu bersusah paya
menunggu kami.
Saya dan saudara
Azizi diberi taklimat oleh Tuan Haji Salleh, bahawa tapak kampus tetap Pusat
Dakwah Serantau itu adalah seluas 3.0781 hektar, bukannya 13 ekar. Tanah ini
didapati kerana ada hubungan dengan Dato` Dr. Haron Din yang mempunyai tapak ternakan
ayam di sini sejak tahun 1990an lagi. Tanah bagi tapak Pusat Dakwah Serantau
berhampiran ini disyor dibeli dengan kos pembangunannya dijangka memerlukan
sebanyak RM26 juta (Jangkaan Penulis akan jauh melebihi dari kos ini). Tanah
ini berbentuk memanjang dari jalan ke belakang. Dari pengurusan tapak ini, kata
Tuan Haji Salleh Farmin Dato` Dr. Haron Din pernah membelanjakan sebanyak RM100,000.
Apabila ditanya tentang pembayaran balik, katanya ianya adalah infaq darinya. Sebenarnya
Dato` Dr. Haron Din sentiasa optimis, setiap kali membicarakan soal kewangan,
beliau selalu mengatakan, ``Insha Allah, Allah akan menolong dan mempermudahkan
urusan dan sememangnya selalu dipermudahkan oleh Allah.
Sebenarnya dilihat
kepada lokasinya tapak ini begitu strategik kerana tapak ini menurut Tuan Haji
Salleh Farmin tidak begitu jauh dari KLIA, iaitu lebih kurang 10 minit
perjalanan. Bila kampus ini digunakan memudahkan mereka yang datang, khususnya
dari luar kerana begitu dekat dengan KLIA.
Pada masa ini hanya
ada satu bangunan yang hampir siap. Bangunan lima tingkat ini adalah untuk asrama pelajar
perempuan, tapi buat sementara akan digunakan dulu, termasuk untuk pentadbiran
yang dijangka dapat berpindah pada akhir tahun hadapan. Bangunan-bangunan yang
lain yang akan didirikan ialah masjid di
tengah lokasi tapak. Pada bahagian hadapan akan didirikan rumah warden . Pada bahagian belakang asrama perempuan
akan didirikan asrama lelaki. Seterusnya bersebelahan dengan masjid akan
didirikan dua blok bangunan akademik yang setiap satu setinggi 4 tingkat.
Sebuah hostel juga empat tingkat akan didirikan yang boleh disewakan oleh
mereka yang datang berurusan dan mengikuti kursus jangka pendek dari luar.
Penginapan di sini boleh disewa oleh mereka yang datang bermalam untuk
menunaikan umrah dan sebagainya. Ianya dijangka dapat memberi sumber kewangan
kepada Pusat Dakwah Serantau.
Bagi menyiapkan
kompleks bangunan-bangunan di atas yang memerlukan peruntukan RM26 milion (mungkin
lebih)itu berbagai usaha telah dilakukan. Atas pengaruh Dato` Dr. Haron Din
yang mempunyai hubungan baik dengan Ketua Bank Muamalat (Dato` Redha), maka
pihak Bank Muamalat bersetuju membiayai pembangunan secara qardhu al-hasan
sebanyak RM3.9 juta dan pihak Waqaf Selangor memberi sebanyak RM1.9 juta.
Setakat ini bangunan pertama didirikan (asrama perempuan) lima tingkat yang
hampir siap telah memakan belanja sebanyak RM6 juta. Bangunan ini adalah seluas
12,000 kaki persegi. Pihak pentadbiran akan menawarkan kepada orang ramai
dengan membeli secara waqaf bagi setiap satu kaki persegi dengan harga RM50/=
yang dijangka memberi pulangan sebayak RM6 juta. Menurut Tuan Haji Salleh Farmin
penjualan adalah dengan menggunakan kaedah bayaran secara maya, iaitu secara
Jom Pay, auto draft dan secara hibah.
Menurut Tuan Haji Salleh Farmin
setakat ini pihak Pusat Dakwah Serantau mendapat kerjasama dari berbagai pihak
antaranya Majlis Agama Islam Selangor, Sabah dan Sarawak, Jabatan Agama Islam
Negeri-Negeri, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Dar al-Shifa`),
Harakah Islamiyyah (Hikmah), USIA, Tautan Rahmat, Bank Islam Malaysia Berhad
(BIMB), Kumpulan Perangsang Berhad, Islamic Outreach, ABIM, Yayasan
Al-Baghdadi, Persatuan-Persatuan Penduduk, Jawatankuasa Surau dan Masjid, para
jamaah dan masyarakat setempat serta semua pihak yang memberi sokongan secara
langsung atau tidak langsung. Di atas sokongan dan kerjasama ini pihak
Pentadbir Pusat Dakwah Serantau yakin insya Allah hasrat menyiapkan kampus
tetap Pusat Dakwah Serantau dapat disiapkan dalam kadar segera dan kegiatan dan
objektif Pusat Dakwah Serantau akan dapat dilaksanakan.
Kita kagumi di atas kegigihan pihak
AJK yang bekerja keras bagi menjayakan projek Pusat Dakwah Serantau. Kita
percaya insha Allah hasrat murni itu akan terlaksana dalam masa yang segera.
Turun dari bangunan itu, kami
mengucaokan terima kasih kepada Tuan Haji Salleh Farmin di atas susah payah
beliau menunggu dan memberi taklimat kepada kami. Terima kasih.
Sekian.
No comments:
Post a Comment