BBB, 23 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 12 Disember
2017M. (Selasa):
Bermaksud penghayatan seni berganda, ialah
pendengaran (al-sima`) atau pemahaman melalui pendengaran atau pembacaan
terhadap maklumat yang disampaikan dengan menggunakan lebih dari satu elemen seni,
sebagai contoh ialah menggunakan bentuk puisi dan juga sekaligus menggunakan
konsep cerita. Maka dengan menggunakan konsep seni berganda, bertambah penghayatan, pemahaman, bahkan bertambah dan berganda dari segi kesan
estetika.
Sebagai contoh dikatakan Dzu al-Nun
al-Mis*ri bercerita, katanya,
``Aku melihat seorang perempuan di
perpantaian negeri Sham, maka aku bertanya kepadanya,
``Dari mana engkau datang, wahai moga
dirahmat Allah !`` Maka katanya,
``Daripada kaum-kaum yang ``Mereka
merenggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana mengerjakan
solat tahajjud dan amal-amal salih), mereka sentiasa berdo`a kepada Tuhan
mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya), serta dengan perasaan ingin
memperolehi lagi (keredhaanNya), dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian
dari apa yang kami berikan kepada mereka.`` (Al-Sajdah: 16).
Maka kataku, ``Ke mana pula engkau hendak
pergi ?``
Maka jawabnya, kepada, ``Lelaki-lelaki yang tidak dilalaikan
oleh perniagaan atau jualbeli daripada menyebut serta mengingati Allah dan
mendirikan solat, serta memberi zakat. Mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik
hati dan pendengaran.`` (Al-Nur: 37).
(Perempuan berkenaan melazimkan dirinya
bercakap dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur`an sesuai yang boleh).
Maka kataku kepadanya, ``Sifatkan mereka
kepadaku, `` maka dia menggubah ungkapan bermaksud sedemikian,
Kaum yang mementingkan Allah hati terikat
Tidak ada lebih tinggi dari Dia Yang Ahad
Tempat tuntutan kaum sebagai Tuan Pelindung
Dengan sebaik tuntutan Yang Esa lagi
Tumpuan
Jika engkau canggahi tiada kemulian di dunia
Daripada makan minum dan tiada bahagia
keluarga
Tidak berbagai hiasan pakaian indah menawan
Tidak berlangsung keamanan negara berterusan
Melainkan bersegeralah mengikuti yang
diperingat
Makin mendekati langkah yang jauh berabad
Mereka adalah cagaran di dataran dan lembah
Diketemui di puncak-puncak sukar berjeragah.
(Al-Kalabadzi, Al-Ta`arruf, 1388/1969: 35).
Kita lihat penampilan persoalan ialah
dengan cara menggunakan elemen penceritaan bersama dengan gubahan puisi yang meningkatkan
dari segi estetika. Apa yang lebih menarik di dalam penceritaan ini digunakan
ayat-ayat Al-Qur`an sebagai pengukuhan sifat ketasawufan bukan saja pada
perempuan sufi berkenaan, tetapi sekitaran kehidupannya yang menunjukkan
suasana ketasawufan. Ini membuktikan kekesanan dari segi pendengaran,
penghayatan, pemahaman dan tarbiah kerohanian dengan menggunakan seni berganda.
Sekian.
No comments:
Post a Comment