December 16, 2017

DUA PERISTIWA BERHUBUNG DENGAN MASJID AL-UMM HARI INI


BBB, 26 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 15 Disember 2017M. (Juma`at):
1)      Cadangan Membeli Surau Al-Umm
Pagi ini (10.00 pagi) beberapa AJK Pembangunan dan Pengimarahan  Masjid Al-Umm yang terdiri dari Penulis sebagai Pengerusi JK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid ai-Umm, Ir. Haji Ishak Arshad Timbalan Pengerusi, Tuan Haji Suib Maulud Setiausaha, Tuan Haji Hussin Yunos AJK, dan Dato` Dr. Abdul Wahid Shamsuddin AJK ke Pejabat PKNS di Bandar Baru Bangi berhubung dengan persoalan pembelian Surau Al-Umm di No. 6 , Jalan 1/3G, BBB yang telah diizinkan oleh PKNS menggunakannya  sebagai surau sejak 6 Ogos 1978 (1 Ramadhan 1398H.).


Dengan siapnya Masjid al-Umm bererti PKNS berhak mengambil balik rumah berkenaan, tetapi pihak AJK Masjid al-Umm berpendapat surau itu wajar dijadikan rumah imam, quarter atau asrama bagi masjid. AJK juga berpendapat ia merupakan surau pertama di BBB, sebab itu perlu dipertahankan sebagai warisan sejarah bagi Bandar Baru Bangi. Mesyuarat dan perundingan berlaku dengan pihak PKNS yang diwakili Tuan Haji Mohd. Sah bin Hj. Ngadiman sebagai Pengurus jualan dan dua pegawai, iaitu Tuan Haji Hasanah, Timbalan  dan En. Abdul Rahim Sale Executive. Sebenarnya tempahan telah dibuat dan bayaran muka telah dilakukan sebagai pernyataan hasrat untuk membelinya, tetapi persoalan harga juga diminta dipertimbangkan kembali.
Permasalahan timbul, pihak manakah yang berhak menandatangani perjanjian jual beli. Kedua-dua pihak menangguhkan perkara ini untuk dirujuk kepada peguam masing-masing.

2. Gotong Royong dari Kumpulan Badan Firdaus
Pada pagi ini juga Kumpulan Badan Firdaus  yang diketuai oleh Ustazah Masni dari Shah Alam dan Puan Nasibah Dato` Asri dari Bandar Baru Bangi dengan tenaga kerja seramai  50 orang  dari Shah Alam yang kebanyakannya tenaga muda muslimat datang bergotong royong membersih aras atas Masjid Al-Umm. Mereka datang dengan peralatan yang dibeli dan dibawa untuk Masjid yang kos peralatan dimaklumkan lebih dari RM1,000. Mereka datang bekerja membersih dari jam 9.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Segala keperluan makan minum dibawa mereka sendiri. Pihak AJK tidak perlu menyediakan apa-apa.


Pada hari ini juga Perkumpulan Badan Firdaus menghadiahkan kepada masjid perkara-perkara berikut:
5 kotak al-Qur`an(lebih kurang 150 buah).
80 buah rehal
20 kerusi OKU
50  helai telekung
Pihak AJK mengucapkan terima kasih di atas kesudian pihak Kumpulan Badan Firdaus mengadakan gotong royong dan menghadiahkan barang-barang di atas kepada Masjid Al-Umm. Semoga diberkati Allah dan digandakan ganjaran pahala – Insha Allah.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment