BBB, 19 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 08 Disember
2017M. (Juma`at):
Al-Hujwiri turut membicarakan mengenai hukum
berpuisi dan mendengar puisi. Ada dua kontradiksi yang dapat dijadikan hujah.
Pertama ayat Al-Qur`an yang menyebut
bermaksud:
``Dan Kami tidak mengajarkannya bersyair dan
tidaklah selayak baginya.`` (Yasin: 69)
Dan ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan para penyair itu diturut oleh golongan
yang sesat – tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka
merayau-rayau tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap jurang lembah (khayal
dengan angan-angan kosong). Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka
tidak melakukannya ? (Al-Shu`ara`: 224-226).
Dari keterangan di atas, seolah-olah berpuisi
dilarang sama sekali.
Namun
merujuk kepada ayat (Yasin: 69), adalah berkait dengan Rasulullah s.a.w.
yang menerima wahyu – Al-Qur`an yang indah dan tinggi mutunya adalah wahyu dari
Allah melalui perutusan Malaikat Jibril, jika sekiranya Rasaulullah mempunyai kemampuan tinggi dari berpuisi dan menjadi
penyair terbilang seperti Imru`l-Qays, Labid, Hassan bin Thabit dan sebagainya,
boleh membawa kepada tuduhan bahawa Al-Qur`an
yang mempunyaiu unsur puisi, tapi bukan puisi itu adalah dari ilham
ungkapan Muhammad, bukan sebagai wahyu Ilahi. Dan kemungkinan juga dituduh atau
dianggap bahawa Al-Qur`an bercampur aduk
antara wahyu dan kreativiti Nabi Muhammad. Maka adalah wajar bagi Nabi tidak
melibatkan diri dalam puisi. Tuduhan juga mungkin berlaku bahawa Muhammad sama
terpengaruh dengan suasana sezaman Baginda
tidak lain sebagaimana penyair-penyair di Pasar `Ukkaz yang meragakan
puisi mereka di musim-musim pertandingan. Dengan tidak terlibat dengan puisi,
tuduhan-tuduhan di atas tidak timbul.
Berhubung dengan ayat Al-Qur`an yang merujuk
kepada penyair-penyair yang disifatkan sebagai sesat dan tidak ketentuan hala
dan memperkatakan apa yang mereka tidak kotakan (Yasin: 224-226).
Maka inilah penyair yang ditempelak oleh
Al-Qur`an dan tidak seharusnya menjadi ikutan. Penyelewengan dan penyesatan sedemikian
tidak saja berlaku kepada penyair, tetapi juga kepada pengarang atau penulis di
dalam bentuk prosa - jika menampilkan perkara yang salah, maka tempelakan yang sama dapat ditujukan kepada
mereka.
Disebalik larangan-larangan di atas, kalau
dibaca penerusan ayat-ayat mengenai penyair-penyair, maka ada kekecualian.
Ayat Al-Qur`an selanjutanya menyatakan,
bermaksud:
Kecuali orang-orang (pengungkap puisi) yang
beriman dan beramal salih (dari kalangan
ahli-ahli syair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak,
serta mereka membela diri sesudah mereka dianiayai dan (ingatlah) orang-orang
yang melakukan sebarang kezaliman akan mengetahui kelak, ke tempat mana mereka
akan kembali.`` (Al-Shu`ara`: 227).
Bermaksud ayat di atas mengecualikan
penyair-penyair yang beriman dan beramal salih.
Dalam kata lain berpuisi tidak menjadi tegahan,
sekiranya ianya membawa nilai positif
dan tidak menyeleweng. Mereka membawa nilai-nilai kebaikan.
Sebagaimana Rasulullah menyebut bahawa dalam
puisi mempunyai hikmah, Al-Hujwiri juga menyebut bahawa Amir bin al-Sharid
meriwayatkan bahawa ayahnya berkata, ``Rasul bertanya kepadaku, apakah aku bisa
membaca puisi Umayyah bin Abi al-S*alt, lalu aku membacakan seratus bayt dan
pada akhir setiap bayt Baginda berseru ``Teruskan !``. Baginda mengatakan, bahawa
Umayyah hampir-hampir menjadi Islam dalam puisinya.``
Ini membuktikan bahawa tidak ada halangan menikmati puisi-puisi yang baik.
Menurut Al-Hujwiri lagi, Rasulullah s.a.w.
pernah ditanya tentang puisi, maka Baginda bersabda bermaksud:
``Apa yang baik darinya adalah baik, dan apa yang buruk darinya adalah
buruk.``
Contoh yang baik mengungkapkan tema tentang
akhlak terpuji, menasihati, memperkatakan perkara yang benar, persoalan ilmu
dan sebagainya. Manakala yang jahat seperti mengumpat, memfitnah, memaki hamun,
cerca, membawa elemen kekufuran, ujub, hasad dan sebagainya.
Contoh puisi yang membawa tema yang baik
sebagaimana diungkapkan oleh Penyair Labid,
Ingatlah segala sesuatu batil kecuali Allah jua,
Dan
kewujudan selain dariNya semuanya fana.
Juga contoh puisi yang baik ialah puisi ilmu,
misalnya Ibhaim al-Laqani berpuisi tentang aqidah bermaksud:
``Tiap-tiap orang ditaklif shara` wajib
Ke atasnya mengetahui apa yang wajib
Bagi Allah dan yang harus dan mustahil
Demikianlah bagi Rasul janganlah jahil.
(Dari Ibrahim al-Laqani, Matan al-Jauharah).
Kesimpulan berpuisi dan mendengarnya
tidak dilarang sekiranya membawa
kebaikan dan tidak kemaksiatan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment