June 19, 2018

BAB - MASJID AL-UMM: KAJIAN DARI SEGI ESTETIKA



BBB, 04 Syawal 1439H. = 18 Jun 2018M. (Isnin):
Apa itu Estetika ?
Persoalan estetika berhubung dengan Masjid Al-Umm adalah bidang yang diberi perhatian khusus dan menjadi satu bab daripada buku `Masjid Al-Umm: Perspektif Takmilah``. Ini ialah kerana masjid adalah hasil dari seni bina, dan seni tidak terpisah dari estetika. Kalau dapat dikatakan Masjid Al-Umm sebagai zat atau bahan fizikal, maka nilai estetika adalah sebagai sifat yang tidak dapat dipisahkan daripadanya. Cuma barangkali ada aspek-aspek buruk yang relatifnya dilihat buruk dan tidak sesuai, tetapi ianya relatif. Pada keseluruhannya ianya menyempurnakan.
Sekali lagi apakah itu estetika ?  Ia adalah bidang yang berhubung dengan keindahan, bahkan mengkaji dari segi  estetika ialah mengkaji satu dimensi falsafah. Kewujudan ini indah lantaran ianya dicipta oleh Yang Maha Indah dan Dia sukakan keindahan dan apa yang dicipta adalah indah yang mencerminkan sebagai sifatnya yang indah.
Keindahan adalah sesuatu yang menyenangkan, menggembirakan, bahkan membahagiakan.
Keindahan boleh bersifat fizikal dan dapat ditanggapi dengan indera, seperti mata
Misalnya melihat pada ciptaan Allah memberi kelapangan, kenikmatan dan menambahkan sesuatu pada diri dengan elemen tahu yang positif. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam menjadi bukti (keyakinan) bagi yang mempunyai akal nurani.`` (Ali `Imran: 190).
Keindahan dapat ditanggapi dengan pendengaran. Sesuatu yang harmoni dan memerdu menimbulkan keindahan. Mendengan qari yang mentilawahkan ayat-ayat Al-Qur`an secara tartil dan menimbulkan keindahan, bahkan kekudusan.
Mendengar  kocakan air, kemerduan kicau burung di dahan tinggi pada waktu pagi menimbulkan keindahan, bahkan mendengar lagu yang diungkapkan secara merdu adalah keindahan,  mendengar deklamasi puisi yang digubah indah dan disampaikan secara indah adalah keindahan.
Demikian juga keindahan dan menyenangkan bau atar yang dipercik jamaah pada tangannya menyenang dan menikmatkan. Demikian keenakan makanan yang dimasak dengan baik juga indah dan menyelerakan. Demikianlah keindahan dan sesuatu yang menyenangkan dapat ditanggapi melalui indera lahiri manusia dan ianya menyenang dan menggembirakan.
Ada tanggapan estetika yang lebih tinggi.
Antaranya melalui cerapan harti. Dengan hati lahirnya rasa kasih, seperti kasih seorang ibu terhadap anak. Kiranya bersama keluarga menggembira  dan membahagiakan dan jika berjauhan merindui dan mengharapkan pertemuanm dan perkembalian. Kasih ibu terhadap anak tiada sempadan. Dari rasa kasih tergugah berbagai ungkapan estetik yang mencerminkan kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan sebagainya. Kiaskan kasih-kasih yang lain seperti kasih seorang suami terhadap isteri, kasih seorang kekasih terhadap yang dikasihinya. Dari pengalaman-pengalaman melahirklan ungkapan-ungkapan yang indah dan tinggi dari burdaya estetika.
Pengalaman estetika juga ditanggapi dan dihayati melalui akli. Bayangkan keindahan dan ketinggian mutu keilmuan yang dapat dicapai oleh kalangan ulama` yang hasil keilmuan mereka dilahirkan dalam penulisan yang menjadi tatapan, pengajian dan kajian. Dari keindahan fikiran memberi sumbangan kepada peningkatan keilmuan dan peradaban bagi kalangan yang mempelajari, menghayati dan menjadikannya sebagai pegangan dan panduan hidupdan mati.
Estetika juga adalah melalui pengalaman rohani yang murni dan kudus. Bayangkan betapa indahnya jiwa yang terpupuk secara rohani sehingga terpupuk di kalangan rohaniawan sifat jujur, taqwa, mahabbah cinta, sabar, syukur dan redha. Ia adalah gambaran dan warna-warni rohani  yang tidak dicapai melainkan oleh kalangan rohaniawan.
Aspek-aspek di atas dibicarakan satu persatu secara berasingan, tetapi di dalam praktik dan realiti, kadang-kadang ianya berlaku secara  bersama antara elemen-elemen berkenaan. Ianya ibarat  sebagai warna warni yang mencerminkan kepelbagaian dalam taman kehidupan yang mengasyik dan membahagiakan.
Estetika  dari segi pembicaraan boleh dibicarakan secara berasingan, satu persatu,  namun  ianya juga  secara keseluruhan – secara himpunan dan kepelbagaian, lantaran pada hakikat segala ciptaan adalah keindahan – berestetika  lantaran Yang Menciptanya adalah bersifat Indah dan dariNya terpancar segala keindahan
Sekian.

No comments:

Post a Comment