June 27, 2018

PLAN PROTOTYPE BAGI BINAAN


BBB, 12 Syawal 1439H. = 26 Jun 2018H. (Selasa):
Telah dibincangkan, bahawa bagi sesuatu bentuk fizikal ada prototypenya yang dikenali dengannya dan menjadi identiti baginya. Bentuk ini dibina berdasarkan  keperluan dan faedah yang didapati darinya. Bentuk ini dipengaruhi oleh keadaan, cuaca dan kedudukan setempat. Kemudian bentuk ini menjadi model ditiru sama ada secara langsung atau berlaku perubahan dan tambahan, tetapi biasanya tidak lari dari identiti umum hingga ianya bukan sesuatu yang lain hingga tidak dikenali.
Berhubung dengan persoalan kita, ialah bangunan, yang secara lebih spesifiknya ialah `Masjid`. Bangunan masjid ialah tempat ibadat bagi orang Islam seperti  bersolat. Antara keperluan yang  seharusnya dipenuhi bagi ibadat ini ialah:
1)      Bangunan perlu mengarah kepada Kiblat (ada mihrab)
2)      Ada ruang bagi jama`ah mendirikan solat
3)      Ada tempat bagi berwudhu` dan qadha` hajat
4)      Ada mimbar untuk khutbah
5)      Ada tempat lebih tinggi bagi muazzin mengazan.
Dengan ciri asas terbina masjid seperti Masjid Nabawi atau masjid-masjid yang lain. Selain dari kehendak asas ada keperluan-keperluan tambahan yang lain diwujudkan secara kreatif dan inovatif  seperti pada masa dulu ada beduk atau `ketuk` bagi memberitahu masuk waktu solat. Contoh asal diikuti, tetapi ada tambahan dan penyesuaian seperti ada sutuh bagi binaan di padang Pasir yang kurang hujan, tetapi perlu ada atap bagi kawasan tropika. Pertambahan yang lain seperti adanya kubah bagi mewujudkan ruang yang luas di bawahnya bagi ruang utama solat, di samping indah pandangan luar  dan ada menara bagi menjadikan suara muazzin melangkaui kawasan yang lebih luas.
Pada permulaan ditubuhkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm (4 Februari 2010), sesungguhnya belum ada plan masjid dijadikan panduan dan belum ada plan permulaan dilakarkan, tetapi sudah pastilah imej dan ciri sebuah masjid sudah ada di dalam gambaran minda antara jawatankuasa, jika tidak semuanya. Ianya sudah pastilah tergambar difikiran dengan imej-imej dominan sebuah masjid yang ada kubah, menara, ada mihrab ada mimbar, ada ruang utama untuk bersolat, ada tempat berwudhu` dan tandas dan sebagainya, tetapi bagi Masjid Al-Umm adalah diharap ianya mempunyai plan yang menjadi prototype bagi binaan bagi Masjid Al-Umm.
Di dalam mesyuarat AJK Pembangunan Masjid Al-Umm bagi tahun pertama (2010) yang diadakan sama ada di Surau Al-Umm atau di Pejabat ADUN Bangi di No. 8, Jalan ¼, lebih dari 10 kali mesyuarat, hanya pada mesyuarat kali keempat, iaitu pada 8 April 2010, jam 9.30 malam baru dibincang tentang plan Masjid Al-Umm. Sebagai AJK dan kontrektor berpengelaman Tuan Haji Mohd Sa`id bin Mohd Yunos diberi kepercayaan mengemukakan plan awal bagi pembinaan bagi Masjid AlUmm. Walaupun sudah dilakarkan plan kasar bagi Masjid Al-Umm mulai dari masa itu, tetapi gambaran jelas tentang plan yang dikehendaki belum dapat dipastikan. Namun ianya menjadi asas bagi perbincangan selanjutnya di dalam mesyuarat-mesyuarat berikutnya. Misalnya pada 21 April 2010 berdasarkan plan kasar itu dibincangkan tentang dana yang diperlukan bagi pembinaan Masjid Al-Umm bagi peringkat permulaan, iaitu RMsatu juta daripada RM10 juta bagi pembinaan keseluruhan. Berikutnya dalam mesyuarat kelima pada 6 Mei 2010 sekali lagi perbincangan dikhususkan kepada plan Masjid Al-Umm dan dibuat keputusan menulis surat  pada  7 Mei 2010 kepada PKNS melarang dari mendirikan sebarang bangunan keliling dari tapak bagi Masjid Al-Umm dengan salinan kepada Pejabat Daerah Hulu Langat dan juga salinan kepada MPKj. Manakala Mesyuarat 20 Mei 2010, sekali lagi dibincangkan tentang plan induk, termasuk tentang dana, tapak, geran, Dewan Orang Ramai berdekatan dengan tapak masjid dan Medan Usahawan (berhasrat menjadikannya sebahagian daripada kawasan Masjid).
Berikut dari itu pada 3 Jun 2010 Penulis sebagai Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm juga selaku ADUN Bangi bersama Dr. Tajul Ariffin Noordin  YDP Persatuan Penduduk  BBB yang juga AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dan Setiausaha Tuan Haji Hussin bin Yunos berbincang dengan PKNS berhubung dengan tanah kosong berdekatan dengan tapak Masjid yang juga berhadapan dengan Dewan Orang Ramai, berharap tapak itu dijadikan  tanah lapang dan tempat parkir bagi Masjid dan Dewan Orang Ramai  (tidak berhasil).
Pendek kata mulai 8 April 2010 sudah ada plan kasar disediakan bagi Masjid Al-Umm yang dijadikan asas bagi perbincangan dalam mesyuarat-mesyuarat yang seharusnya menjadi prototype bagi Masjid Al-Umm, tetapi sebenarnya dari masa itu, bahkan hingga akhir tahun, sekurang-kurangnya bagi Penulis belum mendapat gambaran jelas plan bagi Masjid Al-Umm itu, lantaran ianya belum diperturunkan kepada gambar lakaran kasar bagi Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment