June 13, 2018

SOAL KESELAMATAN MASJID AMAT PENTING



BBB, 27 Ramadhan 1439H. =  12 Jun 2018M. (Selasa):
Soal keselamatan, khususnya Masjid Al-Umm amat penting. Keselamatan diberi perhatian sebelum membina masjid. Sebelum pembinaan dilakukan, pihak berkuasa (Majlis Perbandaran), memberi perhatian  tentang plan pembinaan. Antara perkara yang diberi perhatian ialah keselamatan. Pihak bomba misalnya tidak akan merekomend kepada Majlis Perbandaran untuk diluluskan plan pembinaan, jika ada bahagian yang tidak menepati ciri keselamatan dari segi kebombaan.
Dalam masa binaan sedang progres dilakukan, soal keselamatan diberi perhatian agar pihak pekerja tidak terdedah kepada bahaya dalam masa bekerja dan keselamatan bagi pengguna andainya siap dibina, tetapi tidak menepati ciri-ciri keselamatan.
Kita juga memahami mengapa sesebuah bangunan itu tidak boleh digunakan selagi tidak mendapat kelulusan pada peringkat CCC. Namun bagi Masjid Al-Umm, kita berijtihad, insha Allah selamat selepas mendapat CPC dan ternyata selepas setengah tahun digunakan, tidak timbul soal keselamatan. Kelewatan kelulusan lebih kepada soal teknikal. Sebagai jalan tengah, kita masih patuh menunggu kelulusan pada peringkat CCC.
Melihat kepada bangunan Masjid Al-Umm  bagi kami, yang indah yang beridentiti tersendiri, namun di sebalik keindahan ada kelemahan-kelemahan. Bagi orang luar yang melihat sepintas lalu tidak terperasan. Masjid Al-Umm menganggap dirinya sebagai kesayangan ramai, dan tidak ada yang mau mengganggu dan mencerobohnya, semua datang dengan tujuan yang  baik. Sememangnya bangunan Masjid Al-Umm bersifat terbuka dan dia boleh didekati dan didatangi  dari berbagai penjuru dan dapat dimasuki  dengan mudah. Misalnya jika dimasuki dari kanan, tidak ada pagar atau dinding untuk ke ruang legar pada bahagian hadapan. Keadaan yang sama boleh dimasuki dari bahagian sebelah kiri. Mungkin setakat ini orang yang datang adalah baik-naik, bukan dengan niat untuk menceroboh. Keadaan terbuka juga boleh dimasuk  pada bahagian sebelah kanan untuk ke ruang aras bawah tanah dan ke bahagian atas (di sini ada pintu), tetapi pada sebelah kiri, tiada halangan ke bahagian bawah dan atas. Keaaan keselamatan yang tidak selamat ini  bukan saja boleh diceroboh oleh mereka yang datang dengan niat menceroboh dan setakat ini belum berlaku pencerobohan, tetapi yang ketara menceroboh dan tidak terkawal, kerana tiada dinding dan sekatan, ianya sering dimasuki kucing mengotori ruang dalam dengan najis kucing, bahkan menjadi tempat tidur dan kediamannya. Lebih parah pada satu pagi sebelum Ramadhan 1439H. seorang jama`ah yang datang agak awal untuk bersolat subuh terserempak dengan seekor anjing yang duduk dalam ruang legar masjid. Sertu (samak) terpaksa dilakukan  agar tidak timbul was-was  akibat dari najis mughallazah. Akibat dari peristiwa itu timbul usaha untuk memasang jaring pada pintu pagar untuk tidak berulang kali berlaku kemasukan anjing ke kawasan masjid.
Cabaran terhadap keselamatan Masjid Al-Umm, akibat banyak bahagian terbuka yang dapat diceroboh dari berbagai ruang, Masjid sejak digunakan antaranya didatangi pelajar-pelajar sekolah Rendah Kebanbgsaan dan Menengah Kebangsaan yang menjadi  jiran kepada Masjid Al-Umm. Mereka jadikan masjid tempat rehat sementara menunggu waktu masuk sekolah atau menunggu waktu ko-kurikulum. Masjid didatangi mereka terutama pada tengahari hari Rabu, mereka kadang-kadang luar kawalan, bukan saja membanjiri ruang-ruang di aras utama, tetapi menyelinap masuk ke tingkat satu yang menjadi larangan bagi mereka, termasuk lelaki dan perempuan. Mereka masuk ke bilik-bilik mencuba kemudahan-kemudahan yang ada, lantaran itu bilik-bilik seperti bilik seminar  dan kuliah terpaksa  dikunci selepas digunakan.
Satu peristiwa malang  berlaku, pada tengahari Juma`at 4 Mei 2018, ketika orang pergi solat Juma`at (masjid Al-Umm  belum digunakan untuk solat Juma`at), sekumpulan pelajar menengah rendah  telah menceroboh bilik stor masjid di aras utama di bawah tangga kanan naik ke aras atas, enam orang dari mereka dengan seorang ketua membakar bahan-bahan di dalam stor berkenaan. Sebahagian yang lain (semua 12 orang) cuba memadam dengan alat pemadam, teremasuk menggunakan air. Perkara ini terpaksa dilaporkan kepada Polis Bandar Baru Bangi dan Polis Kajang. Hasil dari rakaman CCTV disaksi polis, mereka dikenali oleh pihak sekolah. Pihak masjid, sekolah dan PIBG berunding bagi menyelesaikan masalah kenakalan anak-anak.
Apa yang penting, peristiwa menggugat keselamatan masjid sehingga keputusan diambil pihak masjid mengambil perkhidmatan rela pada hari Juma`at dan hari Rabu, dalam mana masjid  jadi tumpuan pelajar sebagai tempat persinggahan. Pihak Masjid tidak melarang pelajar-pelajar datang ke masjid, khususnya untuk solat Juma`at tetapi diharap mereka dan siapa saja menjaga tatatertib dan keselamatan masjid.
Dari peristiwa-peristiwa berkenaan persoalan keselamatan masjid diutamakan dan usaha-usaha bagi menjaga keselamatan ditingkatkan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment