June 24, 2018

MASJID DIDIRIKAN ATAS KEPERLUAN


BBB,  09 Syawal 1439H. = 23 Jun 2018M. (Sabtu):
Sebagai dimaklumi dalam sejarah, selain dari Masjidil-Haram di Makkah dan Masjidil Aqsa di Baitul-Maqdis, maka masjid yang pertama didirikan oleh Rasulullah s.a.w. selepas baginda berhijrah ke Madinah ialah Masjid Quba` dan Masjid Nabawi di Madinah.
Masjid didirikan, khususnya Masjid Nabawi di Madinah adalah atas keperluan. Lebih-lebih lagi pada peringkat awal hijrah ke Madinah al-Munawwarah, iaitu.
a)      Keperlaun sebagai tempat ibadah
Mendirikan Masjid Al-Nabawi adalah penting, terutama sebagai tempat ibadat umat Islam. Bagi tujuan bagi mendirikan solat tidak ada yang lain yang lebih sesuai selain dari mendirikan masjid.
b)      Sebagai tempat himpunan jama`ah
Bagi kaum muhajirin yang baru berpindah perlu  kepada tempat pertemuan bagi kaum muhajirin dan juga bagi kaum Ansar yang datang juga untuk pertemuan, termasuk menyediakan bantuan kepada mereka.
c)       Tempat perlindungan
Sebagaimana dimaklum, sebahagian besar dari mereka yang datang adalah terdiri dari kalangan mereka yang daif. Sejumlah lebih dari 300 orang dari kalangan yang baru berpindah pada peringkat permulaan berlindung di Masjid Madinah. Mereka ini dikenali sebagai Ahlu al-Suffah yang hidup dalam keadaan daif. Masjid menjadi temput berlindung mereka bagi peringkat permulaan.
Adapun yang berkemampuan dan mempunyai modal menjalankan perniagaan dan kalangan mereka yang senang  dan dapat membantu perkembangan Islam.
d)      Pusat Pengajaran
Penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat ke Madinah menarik ramai mereka yang datang, bukan setakat pertemuan, tetapi bagi mempelajari selok belok mengenai Islam. Penduduk setempat dan ramai yang datang dari luar kawasan masjid datang memasang khemah di tepi Masjid Madinah dan menambat binatang tunggangan mereka bagi mendengar  pengajaran-pengajaran yang disampaikan oleh Rasuluulag s.a.w dan juga para sahabat. Jadi Masjid juga menjadi madrasah dan pusat pengajaran yang diikuti oleh penduduk yang menerima Islam. Mereka datang untuk mempelajari hal-hal Islam bagi amalan mereka dan mendakwah bagi perkembangan Islam.
      e) Masjid sebagai Pusat Pentadbiran
Hijrah Rasulullah ke Madinah telah membentuk Negara Islam yang pertama yang dikenali dengan Negara Madinah. Masjid adalah menjadi pusat pentadbiran bagi pemerintahan.
Masjid juga menjadi markas bagi menyusun kekuatan tentera yang menghadapi ancaman musuh seperti dari klaum Quraisy yang datang menyerang dari Makkah dan juga bagi menghadapi ancama-ancaman musuh ketat Islam, iaitu orang-orang Yahudi.
Masjid juga menjadi pusat kemasyarakatan dan kebajikan  bagi ummah.
Apakah bentuk masjid bagi memenuhi keperluan ?
Bagi memenuhi keperluan masjid dilihat dari awal, iaitu Masjid Nabawi di Madinah telah melalui transformasi dan perubahan dari yang asal dibina dari batang-batang tamar untuk tiang  dan pelepah dan daun tamar untuk atap berlantaikan bumi serta bermimbarkan batang khurma kepada ruang  empat persegi dengan bahagian tengah dan keliling berbumbung (1202H./1790M.) mempunyai menara pada segi-segi empat di keliling, kepada bangunan  berkubah hijau (13228H./1908M.) dan beberapa perubahan lagi hingga kini (1439H./2018M.) (Atlas Rasulullah s.a.w., PTS Islamika Bhd. 2014: 148-155).
Perubahan-perubahan yang berlaku tidak lari dari perkara-perkara asas:
1)      Mengadap Kiblat
2)      Ada ruang solat
3)      Ada mihrab sebagai tanda mengadap Kiblat
4)      Ada mimbar untuk khutbah
5)      Ada tempat berwudhu` dan qadha` hajat
6)      Ada tempat azan lebih tinggi dan kemudian ada menara (lebih kemudian)
7)      Ada kubah (lebih kemudian)
8)      Ada bahagian muslimin dan muslimat
9)      Ada berbagai bentuk pintu masuk-keluar, biasa berbentuk lengkung
10)   Berbagai-bagai tambahan yang lebih kemudian, misalnya bersutuh atau atap menurut cuaca setempat dan biasanya berciri estetika.
Berdasarkan keperluan-keperluan terbinanya masjid dan ciri-ciri masjid ini menjadi identiti bagi masjid dan menjadi contoh ikutan bagi pembinaan masjid-masjid di tempat dengan tambahan-tambahan yang bersesuaian dengan kawasan, cuaca dan keperluan setempat. Antara masjid dengan masjid yang lain ada kesamaan dan ada kelainan-kelainan yang mengidentitikan masjid berkenaan berbeza dengan masjid yang lain. Keadaan kelainan ini, bukan dari perbezaan keperluan, tetapi lebih dari segi kreativiti dan inovasi menjadikannya berbeza, unik dan tersendiri.
Sekian.

No comments:

Post a Comment