June 26, 2018

TAPAK INDAH LAHIRI DAN KESAN MAKNAWI


BBB, 11 Syawal 1439H. = 25 Jun 2018M. (Isnin):
Ibarat seorang ibu yang melihat anaknya di kalangan anak-anak yang ramai, yang menjadi tumpuan dan melihat di kalangan mereka, bahawa anaknya yang menjadi tumpuan, bahkan melihat dengan mata ibu, anaknyalah yang paling istimewa dan indah, walaupun berbanding dengan yang lain dengan mata biasa adalah biasa sahaja.
Demikianlah melihat Masjid Al-Umm yang merupakan hasil penat lelah dari daya kerja bersama, maka berbanding dengan masjid-masjid yang lain, Masjid Al-Umm adalah Masjid Istimewa,  sempurna dan tercantik ? Kalau kita tidak menghayati dan mengapresiasi, siapa lagi yang dapat melihat dengan mata yang mengusahakannya sebagai Masjid yang indah dan kena pada tempatnya. Masjid Al-Umm masjid terawal  dari segi persediaan tapak, tetapi dari segi realitinya masjid kedua lahir  di Bandar Baru Bangi.
Tapak Masjid Al-Umm sudah ada dalam plan pembangunan Bangi sejak 1972 dan dibangunkan sebagai Bandar Baru Bangi pada tahun 1975. Kawasan bagi tapak  Masjid Al-Umm pada masa itu ibarat permata yang masih lagi dalam batuan yang  masih tidak diberi perhatian,  dan masih merupakan `hutan kecil` yang  terpinggir dari pandangan dan tersebunyi dari perhatian. Bayangkan sejak bumi BBB dteroka, ianya dibersihkan dari  hutan asal kepada hutan getah dan kelapa sawit  dan dibiarkan dengan tumbuh hutan kecil  dan pokok akasia atau  gelam. Demikian kedudukannya hingga tahun 2010, sedang kelilingnya telah berubah dengan pembangunan sebagai penempatan baru – BBB.
Dari segi lokasi, tapak Masjid adalah  Lot 51177, Jalan 1/4A,
Seksyen Satu, 43650 Bandar Baru Bangi,
Tapak adalah berada betul-betul pada pertengahan Bandar Baru Bangi. Lot ini berada di antara dua bukit , iaitu  – Antara Bukit Bangi yang tertinggi bersempadan dengan di kanan (mengadap Kiblat) kawasan Golf, manakala sebelah kiri bukit yang kita namakan Bukit Mutiara, sebenarnya sambungan dari Bukit Bangi yang diratakan bahagian tengah menjadikan kawasan Seksyen Dua, BBB bersempadan dengan Seksyen Satu BBB, ditepi bukit sebelah kanan adalah kawasan persekolahan – Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Pada sebelah belakang dari Masjid adalah jalan utama dari Tol Bangi ke UKM dan juga ke Jalan keluar ke Jalan Reko atau ke Jalan Pejabat Daerah. Pada bahagian depan Masjid Al-Umm ialah Jalan utama juga dari Tol Bangike Bulatan UKM dan ke Seksyen Satu BBB. Dari sini juga boleh ke Jalan Reko dan ke Seksyen 7 yang juga boleh ke Sungai Chua, Kajang. Pendek kata Masjid Al-Umm dari atas bukit dapat menjenguh ke semua jalan dan dapat sampai kepadanya sama ada dari Tol Bangi dan juga Tol Kajang dan Jalan Reko, Kajang.
Dengan kenaikan bangunan Masjid Al-Umm di antara Seksyen Satu dan Seksyen Dua, BBB, maka bangunan Masjid Al-Umm adalah bangunan dominan yang merupakan bangunan terbesar dan menarik di kedua-dua seksyen, bahkan salah satu bangunan yang menonjol di BBB.
Dengan kedudukannya tersergam indah di pinggir Bukit Bangi-Mutiara, sekali pandang dan melalui imaginasi Masjid Al-Umm dilihat seolah-olah sebuah bahtera besar yang berlabuh di dermaga yang seolah-olah bersedia untuk bertolak bila-bila masa,  melambangkan kehidupan adalah musafir yang dalam pelayaran menuju ke destinasi di akhirat.
Dari segi maknawi, Masjid Al-Umm mendukung misi ikhlas para jama`ah, bahawa mereka dan orang ramai adalah pendukung utama Masjid Al-Umm, bahawa terdirinya Masjid Al-Umm adalah dari derma orang ramai, bahkan inisiatif mendirikan masjid sejak awal, dengan tapak disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor, tetapi usaha dari awal diambil oleh masyarakat dan kepimpinan bermula dari memohon gezet tanah dari Kerajaan Negeri Selangor  sebagai tapak bagi Masjid Al-Umm, memohon keizinan mendirikan masjid dari JAIS, mencari dana hinggalah mendirikan Masjid Al-Umm. Masa yang diambil agak panjang memakan masa satu dekad, bermula dari perancangan dari tahun (2008), persediaan (2010), pembinaan (2013), penggunaan 2017 dan menunggu mendapat CCC (2018) insya Allah. Dalam masa sedekad ini berbagai masalah dan halangan yang dihadapi, terutama dari segi kewangan dan kelulusan-kelulusan berhubung dengan bangunan dari pihak berwajib. Namun dari kepahitan dan berbagai-bagai ujian ini adalah merupakan manis dari segi pengalaman. Ianya menguatkan rasa kekitaan dalam jama`ah, bahawa masjid ini adalah dari hasil usaha bersama dan ia adalah hak bersama dan merapatkan kita semua. Sesungguhnya selama setengah tahun penggunaan  Masjid Al-Umm (Disember 2017- Jun 2018) adalah merupakan pengalaman kudus dan rohani dalam mana dalam masa tersebut jama`ah dapat mengimarahkan masjid dengan bergotong royong membersihkannya untuk kegunaan, bersama di dalam saf berjama`ah  mengikuti imam  bersolat, mengikuti pengajian-pengajian dari guru-guru murshid dan puncaknya pada bulan Ramadhan 1439H. dapat beriftar bersama, bertasbih dan bersolawat mengiringi solat tarawih dan berwitir, bahkan berqiyam al-layl dan bersahur bersama menjelang subuh dan bersolat jama`ah. Ia adalah pengalaman sulung dan ulung  bagi kali pertama menggunakan Masjid Al-Umm.
Kita berharap atas dasar  kekitaan bersama dan usaha bersama terus mengeratkan hubungan antara jamaah dan terus sama mengimarahkan Masjid Al-Umm secara berterusan dan disambung terus oleh generasi mendatang.
Sekian.

No comments:

Post a Comment