BBB, 08 Syawal 1439H. = 22 Jun 2018M.
(Juma`at):
Sebelum tiba pada peringkat estetika lahiri
dan maknawi dan mencipta atau menghasilkan sesuatu yang bersifat estetik ada
proses panjang yang dilalui manusia. Proses kreatif dan estetik adalah
peringkat tinggi yang dicapai oleh manusia di dalam penghasilan. Ia adalah
proses peringkat atas dari segi Takmilah.
Kreativiti dan estetika di luar dari kesedaran
pada peringkat permulaan, walaupun elemen kreativiti mulai ada secara tidak
langsung.
Daya gerak awal tindakan manusia adalah timbul
dari rasa `keperluan` terhadap sesuatu` yang dianggap dapat memberi faedah
kepada yang melakukannya. Keperluan asas bagi manusia sejak dari permulaan
untuk survival ialah makanan, lindungan dan pakaian. Keperluan kepada makanan
tentulah untuk kehidupan. Mereka mendapatkan makanan dari bahan yang ada
sekeliling dari tumbuhan serti ubi, jagung dan padi. Atau dari haiwan yang ada
di sekeliling seperti pelanduk, kambing lembu, kerbau, rusa dan sebagainya.
Pada peringkat yang lebih maju, apabila bahan tumbuhan di sekeliling kehabisan
dan pencarian di sekeliling menjadi sukar menggerakkan daya ikhtiar mereka
untuk bercocok tanam, khusus bagi barang-keperluan makanan harian. Demikian
juga menternak binatang sesuai diternak seperti ayam, kambing, lembu, kerbau
dan sebagainya. Sebenarnya mereka bergerak ke arah lebih maju dan hidup lebih
sempurna dari segi persediaan keperluan makanan dan sebagainya.
Dalam kehidupan mereka sentiasa terdedah
kepada bahaya seperti terdedah kepada hujan panas, terdedah kepada penyakit dan
ancaman, misalnya binatang buas yang boleh menewaskan mereka. Jadi mereka sedar
akan perlunya lindungan. Pada peringkat awal mereka berlindung di gua-gua.
Tidak semua tempat ada gua dan jika ada gua mungkin sukar dari mendapat
makanan. Maka lantaran itu, timbul daya usaha bagi mengadakan tempat lindungan
di tempat yang ada sumber makanan atau tempat mereka bercocok tanama seperti di
pinggir sungai yang memudahkan mereka mendapat air dan dari sungai itu juga
mereka mendapat sumber makanan sama ada ikan-ikan dan tumbuh-tumbuhan yang ada
di sekitar pinggir sungai.
Tempat perlindungan pada peringkat awal,
mungkin dibina dari kayu-kayu yang ada di sekeliling tempat kegiatan mereka dan
untuk berlindung dari hujan dan panas ditutup pada bahagian atasnya dengan
daun-daun palma atau sesuatu yang lebar menjadikannya sebagai atap. Mereka yang
sudah dapat dikatakan sudah mempunyai keluarga berlindung di bawah lindungan
bagi keselamatan dan kehidupan mereka. Mereka juga perlu kepada lindungan bagi
tubuh badan mereka untuk mengelak dari sejuk dan terdedah kepada kerosakan dan
bagi menjaga kesihata. Lindungan bagi tubuh yang dapat dikatakan sebagai
pakaian awal ini adalah daripada daun-daun tumbuhan, kulit-kulit kayu atau kulit-kulit
binatang ternakan atau yang diburu.
Pada kehidupan awal ini adakah sudah ada
elemen kreativiti dan estetik ?
Ya sudah tentu sudah ada. Pembinaan tempat
perlindungan awal, mungkin pada peringkat awal ini di atas tanah dengan
beberapa tiang yang diatasnya ada beberapa kasau bagi meletakkan daun-daun
palma yang disusun bagi melindungi dari hujan. Ada padanya dinding dari
batang-batang anak kayu. Bentuk sedemikian sebenarnya adalah hasil dari
kreativiti yang pada asalnya didesak oleh keperluan. Binaan ini dikenali dengan
dangar, kemudian berkembang secara kreatif dengan diadakan tiang yang berlantai
kayu agar dengan demikian lebih selamat dari banjir dan ancaman musuh seperti
binatang buas dan sebagainya. Bangunan sedemikian dikenali sebagai pondok. Ia
adalah bentuk bangunan yang standard pada zaman permulaan, terutama pada
kawasan tropika. Ianya menjadi model ikutan dan tiruan bagi binaan
pondok-pondol bagi penghuni-penghuni yang lain yang membentuk satu komuniti
yang lain. Pondok bangunan ini berkembang dan bertambah, misalnya untuk ketua
kelompok bangunannya ditambah dengan lebih besar, sesuai ianya rumah ketua yang
menjadi tempat perhimpunan dan sebagainya.
Desakan keperluan dalam kehidupan menjadi
lebih berkembang, misalnya wujudnya teknologi permulaan mencangkul, membajak
dan juga menggunakan tenaga binatang untuk bertani. Pencarian rezeki dihutan
menggunakan alat-alat tajam dengan menggunakan batu, manakala di sungai dari
mengharungi sungai kepada menggunakan batang-batang kayu yang diikat yang
kemudian dikenali dengan rakit membolehkan mereka ke tengah sungai dan
bergeraka bagi merentasi sungai disamping mencari rezeki. Dari teknologi
mengikat kayu-kayu juga buluh-buluh digunakan batang yang lebih besar untuk
pergerakan di sungai, kemudian timbul idea melobangkan batang kayu menjadikannya berbentuk perahu yang
membolehkan mereka bergerak dengan lebih selesa dan cepat dengan menggunakan
batang kayu untuk menggerak perahu dan juga menggunakan penganyuh.
Dengan segala kegiatan yang ada dalam kelompok
berkenaan membentuk satu komuniti yang dikenali dengan kampung. Mereka
menggunakan peralatan dan keperluan
dengan meniru apa yang telah ada dalam masyarakat dan menambahbaikan peralatan.
Misalnya ada tempat yang mengfhasilkan peralatan seperti pisau, parang, kapak,
beliaung dan sebagainya. Peniruan dan pembaikan terus berlaku untuk kegunaan
dan kehidupan. Ianya adalah kemajuan dalam konteks zamannya. Ini melibatkan
berbagai-bagai bidang seperti kediaman, teknologi pertanian, kenderaan,
peralatan senjata, pakaian dan sebagainya.
Pendek kata dari awal kehidupan yang kita
sifatkan sebagai primitif sudah ada penghasilan kediaman, peralatan, kenderaan dab
pakaian sebagai hasil desakan hidup. Semuanya proses menuju Takmilah dalam
konteks permulaan bagi kehidupan yang lebih sempurna dalam konteks zamannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment