BBB, 23 Ramadhan 1439H. = 08 Jun 2018M. (Juma`at):
Bagi pengimarahan masjid, selain dari
menyediakan imam-imam bagi mendirikan ibadat, khususnya bagi solat, bidang yang
kedua penting ialah menyediakan bidang-bidang pengajian bagi jama`ah. Penulis telah
sebutkan, bahawa pada masa penulis menjadi Pembantu Exco bahagian Agama di
bawah Exco Agama, Adat Melayu (Lantikan
oleh Menteri Besar Selangor 2008-2013), Penulis diamanahkan oleh Exco Dato` Dr.
Hasan Ali menjaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu (menjadi Pengerusi Perbadanan
Muzium Selangor – PADAT).
Dalam masa menjaga Hal Ehwal Islam (khususnya
Masjid dan Sekolah Agama), Penulis menyusun mengenai kurikulum Pengajian di
Masjid. Meskipun kurikulum telah siap dan dikemukakan kepada Dato` Dr. Hasan
Ali, tapi tak pernah dibincang untuk digunakan. Apabila pihak Masjid Al-Umm
mengadakan Bengkel Merancang dan Mengimarahkan Pengajian di Masjid Al-Umm yang
diadakan di Hotel Puri Pujangga, UKM pada 26 Zulkaedah 1435H. = 21 September
2014, maka bagi menyiapkan kertaskerja `Pengajian Di Masjid Al-Umm – Cadangan`,
maka Penulis telah menggunakan sebahagian dari kurikulum untuk Masjid di
Selangor, sebagai sebahagian dari bahagian pengajian di Masjid Al-Umm. Walaupun
ada sebuah lagi bengkel diadakan, iaitu
Bengkel Penentuan dan Penulisan Program Pengimarahan Masjid Al-Umm yang juga
diadakan di Hotel Pujangga UKM bertarikh 3 Rabi`ul Akhir 1436 bersamaan 24 Januari
2015, tetapi hasil bengkel ini tidak diperturunkan secara penulisan yang
dapat dijadikan panduan.
Pengajian yang dicadangkan bagi Masjid Al-Umm
adalah dengan melihat kepada situasi masyarakat setempat yang terdiri dari
kalangan intelektual dan orang awam, juga dengan melihat kepada masa yang ada
pada mereka. Masa yang sesuai bagi pengajian ialah antara maghrib dan isyak,
waktu pagi dan pada hari-hari minggu – Sabtu dan Ahad.
Pengajian boleh dilihat kepada:
a) Pengajian Asas dan Perlu dimaksudkan ialah:
1) Pengajian Al-Qur`an dan Tajwid
2) Aqidah
3) Fiqh
4) Tafsir
5) Hadith
6) Tasawuf
7) Sirah
b) Pengajian keperluan semasa
1) Bahasa, iaitu bahasa Arab, Inggeris dan bahasa
Melyu
2) Ekonomi Islam
3) Seni seperti khat, tarannum, nasyid, marhaban, gubahan lagu bercirikan Islam dan sastera
Islam
4) Bidang-bidang professional seperti menghasilkan
keluaran makanan, kursus perniagaan dan pelancongan Islam.
5) Berbagai
c) Pengajian Khusus
1) Secara berpakej
2) Hujung minggu
3) Tahfiz
4) Ala Pondok
5) Kursus – Kursus Haji dan Umrah dan lain-lain
d) Pengajian Peringkat Tinggi
1) Seminar, kuliah,
bengkel bagi bidang keilmuan tertentu
2) Kerjasama dengan pengajian-pengajian Tinggi
bagi bidang tertentu
3) Mengeluarkan sijil dan diploma dengan kerejasama
pengajian Tinggi Tertentu
Setiap bidang keilmuan ada keterangan, skop
dan ruanglingkup. Penggunaan buku atau kitab-kitab utama dan buku-buku tambahan.
Semua bahan-bahan pengajian dan pengajaran
terutama buku-buku dan
kitab-kitab yang digunakan seharusnya berada di Perpustakaan Masjid
(Perpustakaan dalam proses penubuhan).
e) Kemahiran Berucap dalam bidang-bidang tertentu
1) Ceramah
2) Tazkirah
3) Khutbah
4) Forum
5) Berbagai.
Walau bagaimana sehingga sekarang pengajaran
di Masjid Al-Umm adalah di dalam bidang-bidang asas yang kebanyakannya disampaikan
oleh guru-guru antara solat maghrib dan
Isya`. Masjid juga mengadakan seminar
bulanan. Pengajian-pengajian lain akan
dipertimbangkan kemudian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment