June 2, 2018

BERMULA FASA PENGIMARAHAN



BBB, 16 Ramadhan 1439H. = 01 Jun 2018 (Juma`at):
Rancangan menyambut Maulid al-Rasul pada 27 Rabi`ul-Awwal 1439H. bersamaan 16 Disember 2018 memang melalui persediaan rapi, bermaksud melalui mesyuarat dan mempunyai program dan aturcara secara tersusun. Hasil dari maklumat kepada orang ramai pihak masjid mendapat sumbangan yang mencukupi dan program berjalan lancar.
Adapun program untuk terus menggunakan Masjid Al-Umm tiada di dalam perancangan dan tiada diperbincangkan di dalam mesyuarat, bahkan tiada dicakapkan. Perkara utama yang menjadi tumpuan, tetapi di dalam kebimbangan, ialah takut Majlis Sambutan pada pagi itu disekat secara mengejut. Ianya adalah kemungkinan, walaupun orang ramai tidak tahu, tetapi bagi Penulis sebagai Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan berdebar dengan arahan pada petang semalam (kelmarin) agar dibatalkan sambutan. Tetapi sebagaimana disebut, Penulis sengaja merahsiakan arahan itu dan tidak memberitahu kepada siapa-siapa, agar tidak menimbulkan ketegangan di dalam majlis dan tidak selesa. Pada tengahari, sebelum jamuan pegawai dari PAID tiba, KEBIMBANGAN Penulis memuncak, takut kiranya beliau mengisytiharkan pembubaran majlis, walaupun sebahagian besar program telah berjalan. Kebimbangan Penulis reda, apabila tiada sebarang arahan dikeluarkan dan beliau turut sama makan bersama dengan vip-vip danbercakap-cakap, tetapi Penulis sengaja tidak menyebut tentang arahan membatalkan  Sambutan Maulid al-Rasul itu. Keadaan menjadi reda selepas itu, apabila pegawai berkenaan pulang.
Solat zohor sebagai permulaan penggunaan Masjid Al-Umm memang dirancang (Solat zohor pertama sebenarnya berlaku pada 9.12.2017 selepas gotong royong membersihkan masjid). Sebenarnya sehari sebelum  itu Penulis meminta Tuan Haji Abdul Aziz Bilal Surau Al-Umm membawa sejumlah sejadah dan beberapa bidang carpet dan digunakan untuk solat zohor selepas gotong royong – hanya setakat solat zohor dan tidak diteruskan kepada solat-solat berikutnya. Tetapi sajadah-sajadah dan carpet-carpet yang dibawa (telah lusuh) ditinggalkan di masjid. Solat-solat waktu yang lain kembali diteruskan di Surau Al-Umm.
Pada hari Sambutan Maulid al-Rasul, memang solat zohor di dalam program, ianya lanjutan dari bacaan Yasin, solat Hajat untuk keselamatan dan Solat zohor yang dipimpin oleh Ustaz Hashim Qari jemputan dari Institut Perguruan Islam Bangi. Keputusan untuk meneruskan penggunaan Masjid Al-Umm yang diikuti dengan solat Asar, Madhrib, Isya` dan seterusnya adalah diambil berikutan dari solat zohor pada hari itu. Jama`ah memang datang bersolat berterusan selepas itu. Dengan demikian solat di Surau Al-Umm dihentikan dan secara tidak langsung fungsi Surau Al-Umm sebagai surau terhenti dengan sendirinya.
Sebenarnya dari segi tempat, khususnya bagi ruang solat utama tidak ada masalah, semuanya telah bersih hasil dari gotong royong pada hari Sabtu 9 Disember 2017 dan gotong royong oleh Kumpulan Firdaus  – pagi Juma`at 15 Disember semalam. Air untuk berwudhu t elah lama boleh digunakan dan juga api juga siap digunakan, bahkan kipas besar dan air-cond telah sedia ada, hasil dari mesyuarat sebelumnya meminta kontrektor menyempurnakan peralatan air-cond sebaik  tuntutan dibayar.
Berhubung dengan tenaga dan keperluan manusia bagi  menggerakkan masjid, maka pentadbiran dan program pengimarahan adalah dilaku dan diteruskan oleh Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, adapun berhubung dengan kakitangan masjid, sesungguhnya sejak 2015 kakitangan dan pekerja-pekerja yang penting telah diinterview sejak tiga tahun yang lepas, berikut dari rancangan gotong royong dan penggunaan masjid bagi sambutan Maulid al-Rasul dan rancangan unuk bersolat zohor, maka mereka yang dipilih berkhidmat dengan masjid, mulai dari pertengahan Disember 2017.
Mereka ialah:    
Imam:            Ustaz Nabil Fikri
Bilal:               Saudara Munawwir dan Tuan Haji Omar
Siak:               Kamaruzzaman dan Haji Ramli
Technician:   Saudara Tompang
Tukang Kebun:  Diswastakan
Kesemua datang melaporkan diri dan bekerja, kecuali Usraz Nabil, dengan alasan oleh kerana terlalu lama menunggu panggilan, beliau telah memohom kerja di KUIS dan dapat dan beliau bertugas di sana dan seorang lagi tidak melaporkan diri, iaitu Tuan Haji Ramli. Beliau tidak sihat dan meninggal April 2018. Walaupun kurang dari segi tenaga kerja, tapi dapat berjalan dengan baik. Imam ialah imam dari Surau Al-Umm, iaitu Penulis dan Ustaz Anas bin Adnan dan Ustaz Ahmad bin Hasbullah Iman dari Surau Damai. Bilal Haji Abdul Aziz  dari Surau Al-Umm turut berkhidmat sebagai bilal tambahan di Masjid Al-Umm. Dari segi teknik dan kebersihan berjalan dengan baik walaupun satu tenaga pekerja bagi setiap bidang.
Dengan demikian pengimarah Masjid Al-Umm bermula dan berterusan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment