BBB, 29 Ramadhan 1439H. = 14 Jun 2018M.
(Khamis):
Bagi persediaan Ramadhan 1439/2018, maka ianya
dijadikan agenda mesyuarat Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm sejak bulan
Mac 2018 = Rajab 1439H. Pihak Setiausaha telah membekalkan contoh program
Ramadhan pada tahun sebelumnya sebagai panduan. Sambutan Khamis 01
Ramadhan 1439H. – 29 Ramadhan 1439H. = pada 17 Mei 2018 – 14 Jun 2018M. (Khamis).
Beberapa mesyuarat susulan – Jawatankuasa Kecil diadakan, sebelum tibanya Ramadhan.
Perkara utama yang diputuskan, bahawa sejak
16.12.2017 setelah diadakan solat waktu,
maka pada tahun ini buat pertama kali akan diadakan solat tarawih – termasuk witir,
iaitu sebanyak 20 rakaat campur tiga witir.
Imam-imam yang akan mengimami solat tarawih
adalah imam hafiz. Sememangnya menjadi tujuan pengambilan imam-imam bermula dari
awal April 2018 itu adalah imam-imam yang hafiz, iaitu Imam Rahmat dan Imam
Ghazie. Mereka berdua dikehendaki menjadi imam tarawih bagi separuh pertama atau
kedua bagi setiap orang dan setiap orang dikehendaki membaca Al-Qur`an secara
hafal setengah halaman Al-Qur`an secara seturut bagi setiap raka`at. Andainya
berlaku keuzuran bagi setiap orang bagi mereka, maka tugas bagi seorang imam
memimpin solat tawawih keseluruhan 20 raka`at dengan dibantu solat `Isya` dan
witir oleh imam-imam yang tidak hafiz. Keadaan ini berlaku beberapa kali kepada
imam-imam berkenaan, Al-Hamdulillah mereka menunjukkan prestasi hafalan yang
baik.
Satu kepuasan puncak dan penuh rasa kesyukuran
bahawa sejak hari pertama Ramadhan mulai khususnya solat isya` dan tarawih,
bahawa sebagaimana telah disebutrkan,
inilah kali pertama Masjid Al-Umm dipenuhi dengan jama`ah. Ruang solat utama
dan serambi kanan dan kiri dipenuhi jamaah, demikian juga pada bahagian
belakang dan tingkat atas bagi muslimat dipenuhi jama`ah muslimat yang jumlah
mereka dapat dikatakan melebihi dua ribu. Sebagai satu sejarah inilah kali
pertama tarawih dan masjid digemai solawat, tasbih dan takbir yang menggetar
rasa. Dapat dikatakan setiap malam, walaupun tidak seramai beberapa malam
permulaan, setiap solat isya` dan tarawih dilempahi jamaah. Sejak bulan Ramadhan
juga jama`ah bertambah setiap waktu solat bermula dengan solat subuh dengan
tazkirah, solat zohor, asar seterusnya maghrib.
Dalam keputusan mesyuarat disetujui bahawa
tadarrus Al-Qur`an akan diadakan. Ustaz Ahmad bin Hasbullah ditugaskan
mengendalikan kumpulan tadarrus. Waktu tadarrus rasmi ialah selepas solat
subuh. Terdapat dua kumpulan lelaki yang
setiap satu terdiri dari 7 orang (kadang
bertambah dan kadang kurang), manakala bagi kumpulan muslimat juga terdapat dua
kumpulan. Setiap kumpulan hendaklah menamatkan satu juz` bacaan setiap pagi dan
setiap pembaca membaca satu halaman secara seturut berkeliling sehingga tamat. Ada kumpulan yang
membaca lebih dari satu juz` dan menamatkan tadarreus secara lebih awal.
Kumpulan tadarrus yang paling akhir ialah pada Selasa 27 Ramadhan dan esoknya
diadakan acara khatam Al-Qur`an beramai-ramai secara keseluruhan antara jam
6.00 – 7.00 petang di ruang solat utama pada hari tersebut.
Satu acara yang dapat dikatakan kemestiuan
pada malam Ramadhan, ialah mengadakan sambutan Malam Nuzul Al-Qur`an. Urusan
mendapatkan Penceramah bagi Nuzul Al-Qur`an dilakukan dua bulan sebelum dari
tibanya Ramadhan. Penceramah bagi malam Nuzul Al-Qur`an di Masjid Al-Umm, iaitu
pada 16 Ramadhan – malam ke tujuh belas, ialah Ustaz Mahdzir Nor dari Maktab
Perguruan Islam Bangi. Pada malam itu solat tarawih dipendekkan dari 20 raka`at
kepada 8 raka`at dan Ustaz Mahdzir menjadi imam bagi solat Isya`. Beliau
membuat pendekatan yang menarik berhubung dengan Nuzul Al-Qur`an. Masa
lebihklurang 40 minit diisi dengan baik dan menarik.
Satu pengisian yang berhubung dengan ibadat
Ramadhan, bahawa Masjid Al-Umm menganjurkan ibadat Qiyam al-Lail mulai 10
Ramadhan terakhir, iaitu mulai Selasa malam 21 Ramadhan. Peserta-peserta hingga
2 saf hadir ke masjid mulai sebelum jam
4.00 pagi. Imam hafiz bertugas memimpin
solat-solat tasbih, taubah, hajat dan tahajjud dan sebagainya hingga jam 5.00—pagi.
Selepas itu para peserta Qiyam al-Lail makan sahur yang disediakan oleh pihak
masjid. Berikutnya solat subuh dan diikuti dengan tadarrus bagi yang menyertai
kumpulan tadarrus.
Dapat dikatakan perjalanan ibadat puasa dan
ibadat-ibadat yang lain berjalan lancar sebagaimana di atur. Gangguan yang berlaku ialah suara bising anak-anak
yang bermain dan suara anak-anak yang menangis yang ibu bapa mereka setiap
malam diingatkan agar menjaga anak-anak mereka, jika tidak mampu dikawal, lebih
baik tidak membawa mereka, agar tidak mengganggu ketenteraman para jama`ah
menunaikan ibadat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment