June 14, 2018

SYUKUR DAPAT GUNAKAN MASJID PADA BULAN RAMADHAN



BBB, 28 Ramadhan 1439H. =  13 Jun 2018M.(Rabu):
Besok, insya Allah hari terakhir Ramadhan 1439H. bererti jika panjang umur kita dapat menggenapkan puasa sebulan Ramadhan, jika tidak dapat menggenapkan, kita telah dapat menjalani ibadat puasa bagi bulan Ramadhan ini. Sesungguhnya dapat menggunakan Masjid Al-Umm pada Ramadhan ini adalah satu kesyukuran dan kenikmatan kerohanian yang tinggi terhadap Ilahi. Sesungguhnya usaha pihak Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm untuk menggunakan Masjid Al-Umm pada bulan Ramadhan telah tertangguh sejak beberapa Ramadhan yang lepas, kerana tidak layak menggunakannya.
Sesungguhnya penggunaan Masjid Al-Umm sejak 16.12.2017  yang lepas, iaitu sejak setengah tahun yang lepas adalah sebagai latihan penggunaan masjid yang puncaknya tiba pada bulan Ramadhan ini. Dalam tempoh tersebut kita telah menguji kelayakan fizikal masjid yang puncaknya pada hari pertama Ramadhan dalam mana ruang masjid penuh buat kali pertama dengan para jamaah. Ruang solat utama dari  saf pertama di hadapan  - sengaja dianjak ke hadapan, hingga ke belakang dipenuhi jama`ah yang puncaknya pada masa menunaikan isya` dan awal tarawih penuh. Kali pertama juga ruang untuk muslimat pada aras pertama juga penuh. Serambi kanan dan kiri aras utama juga digunakan, walaupun tidak sepenuhnya. Jumlah para jamaah buat kali pertama diikuti beberapa malam berikutnya adalah melebihi 2,000 orang. Penggunaan ruang solat selama ini membiasakan para jamaah dengan ruang dan situasi Masjid Al-Umm.
Dalam tempoh enam bulan pihak Masjid berusaha melengkapi tenaga-tenaga imam-imam dari` Imam-Imam Tua`, tiga orang kepada jumlah enam orang, iaitu dengan tambahan imam berelaun tetap seramai tiga orang. Kalau dulu semasa di Surau Al-Umm, adanya hanya seorang dua bilal secara volunteer, kini bilal berjumlah 4 orang. Perjalanan solat lancar dengan mengikut jadual yang disediakan. Sebagai persediaan juga jama`ah disediakan dengan guru-guru yang mengajar berbagai keilmuan fardhu, khususnya  antara solat maghrib dengan Isya`. Guru-guru kebanyakannya dijemput dari luar, di samping imam-imam turut sama mengajar.
Dengan menyedari Masjid Al-Umm masih berhutang dengan kontrektor dan usaha mencari dana diteruskan, ujian juga dibuat terhadap kemampuan kewangan bagi kos harian. Misalnya selama enam bulan dapat dikenalpasti perbelanjaan letrik bagi setiap bulan adalah dalam lengkongan RM3,000 sebulan (penggunaan air-cond. hanya antara waktu maghrib dan isya`), manakala waktu-waktu yang lain menggunakan kipas. Adalah dibuat anggaran untuk Ramadhan penggunaan letrik akan meningkat kepada lebih dari seratus peratus. Manakala penggunaan air tidaklah membebankan, iaitu dalam lengkongan RM200 sebulan dan sudah tentulah pada bulan Ramadhan akan meningkat juga kepada  100%.
Bagi keperluan parkir, untuk hari-hari dan malam-malam biasa, ruang dalam bagi menampng kenderaan para jamaah yang berjumlah antara 300 – 500 orang mencukupi. Namun pertambahan kenderaan pada malam Ramadhan, tidaklah merisaukan, kerana, selain dari menggunakan tenaga `Rela`, sebenarnya raung parkir bahagian luar masih ada dan tidak jauh bagi  jama`ah untuk berjalan kaki  - ke masjid selepas parking di luar.
Persoalan kos perbelanjaan bagi sebulan Ramadhan juga  menjadi cabaran. Sejak menggunakan masjid orang ramai menyedari tentang kos yang ditanggung oleh masjid, dan masjid memang menyediakan `Tabung Derma` untuk dimasukkan derma ka dalam tabung-tabung derma yang diletak pada tempat-tempat strategik. Mulai  dari bulan pertama penggunaan kutipan bulanan adalah sebanyak RM7,000 sebulan dan ianya meningkat kepada jumlah sekali ganda, bahkan kepada dua kali ganda, Pendeknya pungutan yang didapati adalah dapat menampung perbelanjaan harian, termasuk elaun para pekerja masjid. Ertinya tidak memerlukan pihak masjid mengambil peruntukan pembangunan kepada operasi harian. Tapi untuk Ramadhan persediaan adalah berlainan berbanding dengan surau.
Persediaan Ramadhan  bagi Surau Al-Umm sebelumnya melalui mesyuarat, dipastikan ada imam untuk bertarawih dan bilal-bilal, persediaan untuk berbuka kepada yang hadir berbuka di surau hanya  untuk beberapa orang sahaja. (Bilal hanya membeli juada berbuka di pasar-pasar Ramadhan yang mudah didapati), mengusahakan untuk mendapat penceramah bagi Nuzul Al-Qur`an, menawarkan untuk jama`ah bersedekah bagi sagu hati kepada imam, derma untuk faqir-miskin dan anak yatim. Biasanya peruntukan bagi Ramadhan adalah di bawah RM10,000 dari dapatan yang diderma  jama`ah dalam lengkongan belasan ribu sahaja.
Adapun perbelanjaan bagi Ramadhan di masjid lebih tinggi dan persediaan adalah lebih rapi.
Sekian.

No comments:

Post a Comment