June 16, 2018

PERTAMA KALI TAKBIR EIDUL FITRI BERGEMA DI MASJID AL-UMM



BBB, 01 Syawal 1439H. = 15 Jun 2018M. (Juma`at):
Kejayaan menyambut dan menjalani ibadat Ramadhan 1439H. adalah dipuncaki dengan gema takbir memuji kebesaran Allah dan bersyukur kepadaNya kerana berjaya menunaikan ibadat sebulan Ramadhan. Persiapan bertakbir pada malam satu Syawal, memang disusun dalam program selengkapnya sebagai satu pakej sambutan. Sesungguhnya pada setiap petang pada bulan Ramadhan disediakan juadah berbuka puasa kepada kebiasaannya untuk 200 orang. Namun pada petang akhir Ramadhan sengaja tidak disediakan oleh caterer, memandangkan petang akhir adalah petang raya dan masing-masing di rumah sudah menyediakan makanan bagi sambutan raya pada keesokan harinya. Lagi pula pada penghujung Ramadhan, kehadiran mereka yang berbuka di Masjid Al-Umm makin berkurangan, kerana sebahagian besar daripada mereka sudah pulang ke kampung masing-masing. Walau bagaimana sebagaimana malam malam terakhir sahur, walaupun  tiada masuk di  dalam minu persediaan bersahur, tetapi ada mereka yang membuat kebajikan menyediakan sahur bagi mereka yang datang berqiyam al-lail,  maka demikian dengan  berbuka pada petang akhir Ramadhan ini juga makanan untuk iftar juga sisediakan oleh hamba Allah yang membawa bahan iftar bagi akhir Ramadhan.



Takbir bagi `Eidul Fitri, sepatutnya dapat dikumandang mulai dari selepas maghrib, tetapi oleh kerana belum ada pengumuman rasmi dari pihak Berkuasa, sedang hari ini ialah hari ke 29 Ramadhan, maka masih belum diungkapkan takbir selepas solat maghrib. Maklumat sahih diterima tentang raya `Eidui Fitri, hanyalah menjelang `Isya`. Jadi takbir bagi mengagungkan Ilahi dibimbing oleh Imam Rahmat sebaik selesai solat `Isya` dan disahut oleh para jama`ah yang mempunyai dua saf itu. Takbir bermakna:
Membesar dan bersyukur kepada Allah kerana memberi kekuatan dapat menunaikan  ibadat sebulan Ramadhan.
Membesar dan bersyukur kepada Allah kerana pada tahun 1439H. ini para jama`ah dapat menggunakan Masjid Al-Umm  bagi menunaikan ibadat pada bulan Ramadhan.
Membesar dan bersyukur kepada Allah kerana segala program yang diatur sebulan Ramadhan berjalan dengan teratur dan baik.


Membesar dan bersyukur kepada Allah  kerana para jamaah dan masyarakat sekeliling amat memberi kerjasama dan menderma bagi mengihya` sebulan Ramadhan
Membesar dan bersyukur kepada Allah yang memberi peluang menjalani ibadat sebulan Ramadhan semoga dipanjangkan umur dan sihat bagi menyambut kembali Ramadhan pada tahun hadapan – Insya Allah.
Takbir selepas itu diteruskan oleh kumpulan ahli masjid hingga ke larut malam.
Kemudian seawal  5.00 pagi 01 Syawal 1439H. gema takbir berkumandang  lagi berterusan, bersambung dengan kehadiran jama`ah bagi kali pertama solat `Eidul Fitri diadakan di Masjid Al-Umm.



Dengan jangkaan bahawa penduduk Bangi, khususnya sekeliling Masjid Al-Umm ramai yang pulang ke kampung dijangka ramai yang tak datang, tetapi sangkaan adalah meleset. Kerana hingga ke masa sebelum didirikan solat  `Eidul Fitri masjid dipenuhi dengan jama`ah. Ruang utama jama`ah termasuk serambi kanan dan kiri dipenuhi jama`ah lelaki, sedang pada bahagian belakang bagi kawasan muslimat dan pada bahagian atas yang dikhaskan bagi muslimat juga penuh. Ia sebagaimana hari pertama   berjama`ah pada satu Ramadhan dulu yang dulu dan kini berjumlah  2,500 orang lebih kurang.



Sementara menunggu bermulanya solat `Eidul Fitri, saudara Tompang, Kamaruzzaman dan Penulis turut memimpin takbir. Sebelum sedkit solat  `Eidul Fitri Penulis selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm berucap ringkas.  ``Berterima kasih di atas kehadiran para jamaah. Mengucap syukur kepada Allah kerana dapat menunaikan ibadat sebulan Ramadhan, Bersyukur kepada Allah, kerana pertama kali dapat menggunakan Masjid Al-Umm pada Ramadhan pada tahun ini, berdo`a semoga kita dapat menyambut kembali Ramadhan pada tahun hadapan Insya Allah. Berterima kasih kepada para jama`ah yang sama memberi sokongan hingga masjid Al-Umm yang berharga RM21` juta ini dapat disiapkan. Namun kita masih mempunyai hutang sebanyak RM2 juta. Berharap para jamaah dapat sama bekerjasama dapat melunaskan hutang tersebut. Seterusnya para jama`ah diharapkan akan terus sama memakmurkan Masjid Al-Umm dan mengharapkan cadangan dan kritikan membina bagi meningkatkan prestasi pengimarahan Masjid Al-Umm.
Solat `Eidul Fitri pagi itu dipimpin oleh Imam Ghazie dan khutbah disampaikan oleh Imam Rahmat. Antara pesan dalam khutbah agar jama`ah dapat  menurut apa yang dilakukan oleh Rasulullah, ucapan bermaksud ``Semoga diterima Allah ibadat kita sebulan Ramadhan``, perlu mengukuhkan ukhuwwah di kalangan umat Islam antaranya dengan ziarah  menziarahi dan jika datang melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain. Dan umat Islam wajar meneruskan amal kebajikan termasuk bersadaqah dan menolong faqir miskin.



Selepas solat dan salam para jama`ah dijemput ke jamuan hari raya  `Eidul Fitri yang disediakan oleh masjid di ruang legar serbaguna masjid.``
Terpancar kesyukuran dan kegembiraan pada wajah setiap mereka yang datang lantaran dapat menikmati kemudahan yang terdapat di Masjid Al-Umm yang diharap semua pihak berusaha mengimarahkan Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment