June 25, 2018

MASJID AL-UMM SATU KEPERLUAN


BBB,  10 Syawal 1439H. = 24 Jun 2018M. (Ahad):
Masjid Al-Umm satu keperluan di sini bukan bermaksud keperluan dalaman atau pada masjid itu sebagaimana telah dibicarakan sebelum ini tentang perlunya ada keperluan-keperluan bagi sesebuah masjid, tetapi di sini bermaksud ialah keperluan dari segi lokaliti, penempatan dan kawasan.
Keperluan kepada masjid pada peringkat awal Bandar Baru Bangi dihuni (30 November 1977) tidaklah mendesak, oleh kerana populasi di Bandar Baru Bangi adalah kecil, hanya dalam ratusan orang pada   akhir 1970an. Yang dirasakan penting mempunyai masjid pada peringkat awal adalah UKM yang mempunyai ramai pekerja dan pelajar-pelajar. Solat Jumaat pada peringkat permulaan didirikan di hadapan Bangunan Pendaftaran (lobby), berpindah ke ruang antara bangunan FSKK dan berpindah ke aras bawah Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM, hinggalah masjid UKM yang mula dibina pada 16 Mac 1979 itu siap pada 15 April 1982  dan digunakan. Bagi penduduk BBB yang sama menggunakan masjid UKM, khususnya untuk solat  Juma`at merasa  masih belum perlu kepada sebuah masjid khas di BBB. Cuma sejak 1990an ada perancangan untuk mendirikan surau di tapak yang disediakan  menggantikan Surau Al-Umm, tetapi tidak menjadi realiti. Hingga akhir 1990n tidak timbul keperluan Masjid Al-Umm apabila pihak kerajaan pada masa itu mendirikan Masjid Al-Hasanah dan mula digunakan – dirasmikan pada 10 Mac 2000 bersamaan 4 Zul-Hijjah 1420H. Dengan adanya Masjid Al-Hasanah, maka tidak timbul lagi rancangan untuk mendirikan Masjid Al-Umm. Pada dasarnya wujudnya Masjid Al-Hasanah, bukan bererti masjid itu dapat menampung jumlah penduduk yang  selepas tahun 2000 itu dalam lingkungan 150,000 penduduk. Ini ialah kerana daripada jumlah surau yang berjumlah 40 buah di BBB itu, 10 buah daripadanya diizinkan mengangkat tarafnya kepada surau yang mendirikan Juma`at. Jadi untuk mendirikan Juma`at dan kegiatan sebagai masjid dapat ditampung oleh surau-surau yang mendirikan Juma`at.
Sebenarnya sebahagian daripada surau-surau yang mendirikan Juma`at itu layak menaikkan diri sebagai sebuah masjid contoh Surau Al-Kauthar, Surau Bangi Perdana dan surau-surau besar seumpamnya, tetapi surau-urau berkenaan lebih selesa dan bebas dari menaikkan tarafnya kepada masjid sepenuhnya.
Dalam keadaan surau-surau yang layak dinaikkan taraf kepada masjid sepenuhnya, tetapi tidak mau menjadikan diri  masjid dan di dalam keadaan penduduk BBB bertambah tercetus gagasan Bangi Bandar Ilmu di dalam sambutan 30 tahun BBB (30 Julai-1 September 2007) yang dilancarkan oleh Dato` Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 di Bandar Seri Putera Bangi. ADUN Bangi pada masa itu memasukkan perancangan mendirikan Masjid Al-Umm sebagai salah satu projek di bawah gagasan Bangi Bandar Ilmu.
Mendirikan Masjid Al-Umm dilihat sebagai satu keperluan  kerana pertambahan penduduk lebih 150,000 pada masa itu, sedangkan masjid yang ada pada masa itu hanya sebuah sahaja, iaitu Masjid Al-Hasanah. Lagi pula tapak sudah ada dan jika tidak diambil peluang, maka tidak ada tapak masjid yang ada walaupun luas hanya 2 ekar sahaja. Tapak ini adalah tapak awal bagi masjid BBB dan kedudukannya betul-betul di tengah-tengah BBB. Proses merealisasikan Masjid Al-Umm melalui beberapa tahap dan agak panjang masanya, iaitu melalui:
1)      Tahap Perancangan
Adun Bangi pada masa itu yang juga Pengerusi Surau Al-Umm meminta Setiausaha Tuan Haji Hussin Yunos menulis surat kepada Pejabat Tanah memohon digezetkan tapak tanah bagi Masjid Al-Umm. Permohonan diluluskan oleh Dato` Menteri Besar Selangor Bil. PTD UL/ 16/3/194-2006 (9) bertarikh 1 September 2009. Manakala permohonan dari pihak JAIS keizinan mendirikan Masjid Al-Umm – Tiada halangan mendirikan masjid Bil. (16) dlm. JAL.SEL.BKP/03/016/5/22 bertarikh 17 November 2009.
2)      Tarikh Persediaan
Mendapat persetujuan dari penduduk setempat pada 4 Februari 2010 dengan menjemput pengerusi-pengerusi surau berdekatan dan hadir 30 orang termasuk Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan sebuah Jawatankuasa Permulaan dibentuk yang dipengerusikan oleh ADUN Bangi dan Setiausaha Tuan Haji Hussin Yunos dan jawatan-jawatankuasa yang lain. Termasuk di bawah persediaan ialah pelancaran derma  pada 19 Mei 2012 dan perasmian tapak oleh Dato` Menteri Besar Selangor pada 6 Januari 2013.
3)      Permulaan Pembinaan
Bermula dari masuk tapak  pada 10 Disember 2013, iaitu selepas mendapat kelulusan plan masjid dari pihak MPKj pada 4 Disember 2013. Rujukan 11 dlm.MPKj 8/P/2/2013.
4)      Menggunakan Masjid Al-Umm
Setelah mendapat CPC pada 14 Disember 2017 . Penggunaan sempena Sambutan Maulid Al-Nabi s.a.w. pada 16 Disember 2017 bersamaan 27 Rabi`ul-Awwal 1439H.
Pertama dapat menggunakan Masjid Al-Umm pada bulan Ramadhan 1439H. bersamaan 17 Mei – 14 Jun 2018, termasuk memulakan solat Eidul Fitri pada 01 Syawal 1439H. bersamaan 15 Jun 2018M.
5)      Menggunakan Masjid Al-Umm bagi mendirikan Solat Juma`at
Menunggu kelulusan CCC yang dijangka diluluskan dalam masa terdekat Insya Allah.
Berdasarkan penggunaan setengah tahun Masjid Al-Umm mulai 16 Disember 2018 hingga kini sambutan masyarakat terhadap masjid Al-Umm amat menggalakkan. Pengimarahan berjalan dengan baik dan tidak ada masalah besar yang dihadapi. Ini bermakna Masjid Al-Umm didirikan menepati keperluan masyarakat. Ia adalah masjid kedua di BBB yang sebenarnya BBB memerlukan lebih dari dua buah masjid yang bertaraf masjid sebenarnya.
Sekian.

No comments:

Post a Comment