BERBAGAI
KEGIATAN DI MASJID AL-HASANAH
BBB, 26 Zul-Hijjah 1439H. = 07 September 2018M. (Juma`at):
Selain dari kuliah harian antara maghrib dan
Isya`, selepas subuh dan tadabbur selepas zohor dan `asar, Pihak Masjid
Al-Hasanah menganjurkan kelas-kelas yang
dipanggil `Tafaqquh fi al-Din`.
Kelas-kelas ini diadakan pada hari-hari minggu yang diisi dengan pengajian
seperti bahasa `Arab, pengajian Al-Qur`an dan pengajian-pengajian berkitab di
dalam bidang-bidang keilmuan terpilih. Pengajian-pengajian pada hari-hari
minggu ini memberi peluang bagi mereka yang bekerja untuk sama dapat belajar bersama dengan mereka yang bersara di dalam
bidang-bidang pengajian yang diminati mereka.
Kelas-kelas ini mendapat sambutan yang hangat
hingga jumlah pengaji-pengaji di dalam bidang berkenaan 854 orang dengan jumlah
guru seramai 79 orang. Dengan jumlah ini mencerminkan bahawa kelas-kelas yang
dianjurkan mendapat sambutan yang menggalakkan. Kemajuan kelas-kelas ini kerana
wujudnya guru-guru yang berwibawa di dalam menyampaikan pengajaran. Menurut
antara guru yang mengajar, pada mulanya
ditentukan bayaran (yuran) bagi yang mengikuti pengajian, namun ada
masalah, ada yang tidak menurut
peraturan sebagaimana yang ditentukan, akhirnya bayaran berdasarkan tabung yang
dibuka untuk bayaran. Menurut guru
berkenaan, cara ini lebih mudah dan
bayaran didapati lebih baik dari menentukan
jumlah bayaran.
Selain dari menganjurkan kelas-kelas Tafaqquh
fi al-Din, pihak masjid juga menganjurkan berbagai-bagai kegiatan
kemasyarakatan. Antaranya:
Memberi bantuan makanan kepada golongan yang
kurang berkemampuan dengan menyediakan stok makanan utama seperti beras, gula,
gandum, minyak masak kepada mereka yang
memerlukan.
Selain daripada itu diadakan program
menyumbang bantuan kewangan kepada golongan faqir miskin, iaitu dari dana yang
disumbang orang ramai dan dari dana masjid yang terkumpul. Antaranya diadakan
program ziarah ke rumah-rumah mereka yang daif bagi menyampaikan bantuan kepada mereka.
Pihak masjid juga turun padang bagi
melaksanakan konsep `Jom Mengaji`, iaitu dengan cara menghantar guru-guru ke
kawasan yang terdapat mereka yang mau mengaji, tetapi tiada peluang selama ini
dan mungkin tidak berkemampuan dari segi kewangan. Setakat ini kelas dibuka di
flat-flat dan guru-guru datang mengajar
mengaji menurut jadual tertentu. Pengajian boleh diikuti semua peringkat dari
orang tua, ibu bapa dan anak-anak. Program yang mula dilancarkan pada tahun
2017 itu adalah berjaya. Setakat ini
pengajian diadakan di 3 buah flat dengan
pelajar seramai 100 orang dengan jumlah guru ialah 8 orang.
Pihak Masjid Al-Hasanah juga mengadakan
kegiatan kebajikan hingga ke luar negara seperti mengadakan korban ke luar
negara seperti di Kemboja, mengadakan bantuan kepada Plastin dan Rohingya.
Pihak masjid dapat mengadakan berbagai
kegiatan antaranya selain dari dedikasi pimpinan masjid, masjid banyak menerima
sumbangan dari orang ramai dan mempunyai
kewangan yang teguh yang membolehkan masjid mengadaka berbagai-bagai kegiatan.
Dari segi kemudahan di Masjid Al-Hasanah pihak
masjid juga mengadakan kemudahan-kemudahan seperti ada bilik seminar, bilik
tutor, bilik sumber, tapak futsal dan
kemudahan riadhah ringan.
Selain daripada itu, meyedari kalangan remaja
adalah bakal mengambilalih pimpinan masjid, maka biro remaja digerakkan. Biro
ini adalah biro yang aktif yang menggerakkan berbagai-bagai kegiatan masjid
yang memerlukan tenaga remaja. Kalangan remaja banyak membantu kegiatan-kegiatan
masjid melalui kumpulan remaja yang sering memberi tenaga bagi kerja-kerja
gotong-royong hari-hari-raya, berbagai sambutan dan amal-amal kebajikan.
Masjid juga mengadakan sesi-sesi bimbingan
kanak-kanak dan kursus yang berkait dengan penjagaan kanak-kanak.
Kumpulan yang paling aktif dan melibatkan diri
di dalam menganjurkan kelas, kerja-kerja kebajikan, gotong royong memasak dan paling
ramai yang mengikuti pengajian ialah golongan muslimat. Mereka dapatlah
dikatakan golongan paling aktif yang menghidupkan masjid dengan kerja-kerja
kebajikan, menghimpun dana dan sebagainya.
Dengan pimpinan dinamik, jawatankuasa yang
dedikasi, maka Masjid Al-Hasanah berjaya menyusun berbagai proram pengajian dan
berbagai kegiatan yang menarik orang ramai menyertainya. Lantaran itu Masjid
Al-Hasanah semarak dengan kegiatan pengajian dan berbagai program kebajikan.
Dengan berbagai-bagai kegiatanyang di atur ianya diikuti orang ramai sehingga
Masjid Al-Hasaah menjadi salah satu masjid yang termaju di Selangor.
Sekian.
No comments:
Post a Comment