September 13, 2018

SAMBUTAN HIJRAH AL-RASUL DI MASJID AL-UMM


SAMBUTAN HIJRAH AL-RASUL DI MASJID AL-UMM
BBB, 03 Muharram 1440H. = 13 September 2018M. (Khamis):
Sebagaimana telah disebutkan, bahawa sambutan peristiwa penting dalam Islam kali tidak secara berceramah sebagaimana telah diadakan di Masjid Al-Umm sebelum ini seperti Sambutan Maulid al-Rasul, Isra` Mi`raj dan Nuzul al-Qur`an, sebaliknya kali ini diubah kepada naratif sirah Nabi dari segi Hijrah kepada yang bersifat naratif puitik. Termasuk sirah berhubung dengan Hijarah digubah dalam bentuk ala puisi syair dan dsulamkan dalam persembahan dengan tiga jenis nasyid yang dikaitkan dengan Rasulullah s.a.w., iaitu:
1)      Nasyid `Selamat Datang` kepada Rasulullah ketika tiba di Madinah di dalam penghijrahan Baginda -  Tala`al-Badru `alayna.
2)      Nasyid secara marhaban sempena Maulid al-Rasul  - `Ya Nabi salam `alayka.
3)      Nasyid penglahiran syukur selepas kemenangan Peperangan Badar - `Ya Rasulallah khuz biyadi`.
Pada petang  29 Zul- Hijjah 1439 (malam satu Muharram 1440 =10 September 2018, jama`ah yang hadir ke Masjid Al-Umm lebih dari biasa. Pada kebiasaan dua saf, tapi kali  ini 4 saf. Sebagaimana disusun dalam program pada petang itu sebelum maghrib – 15 minit sebelumnya Imam Ghazie mengetuai jama`ah dengan membaca do`a akhir tahun. Selepas azan beliaulah juga mengimami solat Maghrib dan diikuti solat  Hajat memohon keselamatan, murah rezeki, bertambah iman dan berakhir  kematian dengan husnul khatimah.
Selepas daripada itu Pengerusi Masjid menyampaikan ucapan ringkas, bersyukur kepada Allah, kerana sekali lagi, buat pertama kali pula Masjid Al-Umm dapat menyambut Hijratul  Rasul. Al-Hamdulillah dalam tempoh sembilan bulan Masjid Al-Umm diguna dan diimarahkan segalanya berjalan dengan  baik. Beliau mengucapkan terima kasih kepada para jama`ah yang selama ini telah memberi kerjasama yang baik di dalam mengimarahkan Masjid Al-Umm. Usaha bagi mendirikan solat Juma`at insya Allah akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat setelah segala keperluan bagi mendapat CCC dapat dilakukan. Beliai menyebut tentang berbagai-bagai kegiatan yang dilakukan oleh masjid baik dari segi, ibadat, leilmuan dan berbagai kegiatan kebajikan.
Selepas itu Sebagai puncak dari  Sambutan Hijratul Rasul ialah penyampaian Sirah Hijrah  bersifat narratif puitik dalam bentuk puisi.
Ketua dari segi penyampaian dan persembahan ialah saudara Tompang bin Jamal, sungguhpun saudara Tompang ini seorang technician, tetapi beliau ini seorang yang serba boleh. Beliau merangkap sebagai bilal, sebagai ketua nasyid dan bergiat di dalam  berbagai amal kebajikan. Beliau mengingati  dan mampu membawa tiga melodi puisi di dalam rentak yang berlainan.
Saudara Ah. Feisal Husni bertindak sebagai penyusun persembahan dan pembaca puisi ala syair Sirah berkenaan Hijrah. Sebagaimana telah disebut  lapan orang mengepalai penyampaian persembahan, manakala jama`ah berdiri  dalam bulatan yang meluas seluas ruang utama solat berjama`ah. Turut sama juga muslimat berdiri di dalam ruang tempat muslimat. Mereka semua dibekal dengan teks puisi Hijrah al-Rasul dalam bahasa Melayu dan teks `Hijrah` dan Maulid`  di dalam bahasa `Arab , manakala teks Kejayaan Peperangan Badar berbahasa `Arab  diungkapkan oleh saudara Tompang dan diikuti oleh para jama`ah.
Al-Hamdulillah latihan yang dibuat bagi persembahan Sambutan Hijrah al-Rasul dalam tempoih dua hari itu dapat dipersembahkan secara licin, teratur dan baik. Para jama`ah nampaknya berpuashati dengan persembahan. Setengah mereka mengambil gambar sebagai kenangan. Pihak Masjid al-Umm juga membuat penggambaran penuh bagi persembahan yang dibuat sebagai rekod, contoh yang mungkin pendekatan sedemikian akan dilakukan di dalam setengah kegiatan akan datang.
Sebagaimana biasa bagi setiap sambutan ada yang sponsor makan minum untuk para jama`ah, demikianlah dengan sambutan pada malam ini, beberapa orang ahli jama`ah sponsor dan membawa makanan untuk dinikmati jama`ah di ruang legar selepas selesainya persembahan dan solat `Isya`. Makanan didapati adalah pelbagai dan cukup bagi kehadiran jama`ah yang dijangka berjumlah 400 orang.
Sekian.

No comments:

Post a Comment