MASJID: PERANAN DAN KEPENTINGAN
BBB, 23
Zul-Hijjah 1439H. = 04 September 2018M.
(Selasa):
Selepas muqaddimah bagi kertaskerja,
``Memperkasakan Institusi Masjid: Peranan dan Pengalaman Masjid Al-Hasanah,
Bandar Baru Bangi, pembentang membicarakan tentang peranan dan kepentingan
masjid lebih dalam konteks kini.
Pada zaman Rasulullah sebagai peringkat permulaan, masjid bersifat multi-purpose, kemudian masjid
identik dengan beberapa fungsi dominan, iaitu sebagai pusat ibadat, pendidikan
keilmuan dan kemasyarakatan.
Fungsi utama masjid adalah sebagai tempat ibadat. Ia adalah tempat suci dalam mana di
masjid ini berlaku komunikasi rohani – hubungan hamba dengan Allah melalui
ibadat seperti solat lima waktu, Juma`at, tempat melakukan berbagai amalan
sunat seperti bertahajjud, bersolat duha,
berzikir, beriktikaf, bertilawah Al-Qur`an dan berbagai-bagai lagi amalan.
Fungsi masjid, bukan saja pada golongan dewasa
dan yang lanjut usia. Masjid haruslah menjadi tempat yang dihadiri oleh
berbagai golongan masyarakat dari anak-anak, pelajar-pelajar, golongan muda dan
dewasa. Mereka seharusnya tidak
dibataskan oleh kedudukan harta dan pangkat, kaya dan miskin dan tidak membezakan mereka dari
segi profession dan sebagainya. Dari segi ibadat, mereka seharusnya datang sama
berjama`ah dan mengikuti, bahkan sama terlibat di dalam menganjur di dalam kegiatan
yang memakmurkan masjid.
Masjid seharusnya berusaha dari segi meningkatkan kualiti
jama`ah. Masjid tidak seharusnya berpuashati dengan kehadiran jama`ah yang
ramai bagi mengimarahkan masjid dengan beribadat, tetapi hendaklah memenuhi
keperluan jama`ah dari segi amalan
lahiri, minda dan rohani, yakni
meningkatkan kualiti mereka. Ini tidak lain dari melalui pendidikan.
Masjid tidak sahaja berpuashati dengan
kehadiran jama`ah secara berterusan, tetapi dari masa ke masa mereka hendaklah
ditingkatkan ibadat dan amalan mereka dengan keilmuan. Dalam kata kain jama`ah
bagi semua peringkat dididik dengan keilmuan agar keilmuan dan amalan serta
kualiti ibadat mereka terus meningkat. Misalnya bagi peringkat anak-anak
dididik dengan pengajian Al-Qur`an, asas
ibadat dan didikan akhlak.
Bagi generasi muda dididik dengan pengajian
yang sesuai untuk mereka, termasuk kegiatan-kegiatan bersifat fizikal,
Pengajian juga disediakan bagi peringkat dewasa dari keilmuan-keilmuan fardhu
seperti `aqidah, fiqh, tasawuf, tafsir, hadith dan sebagainya. Masa disampaikan
menurut kesesuaian dan berterusan.
Apa yang diingini melalui masjid, para jama`ah
berterusan beribadat, dan ibadat berkenaan tidak seharusnya berterusan atas
kadar lama, tetapi mereka dari masa ke semasa melalui pendidikanm dan pengajian
yang panjang terdidik melalui pengajian di masjid dan kualiti keilmuan mereka
bertambah, Keiulnuan ini dipraktik menerusi amalan ibadat yang mereka lakukan.
Dalam kata lain pihak Jawatankuasa masjid
harus mempunyai perancangan di dalam meningkatkan kualiti jama`ah secara setara
dan menyeluruh. Dengan demikian masjid mempunyai kualiti jama`ah yang tinggi dan segi keilmuan dan
tinggi dan berkualiti dari segi amalan. Dalam kata lain, para jama`ah dari
semua peringkat terus diasuh dengan keilmuan dan melakukan amalan secara
berkualiti.
Satu lagi fungsi dan peranan masjid adalah
sebagai pusat kegiatan kemasyarakatan baik bersifat dalaman dan luaran. Maksud
dalaman ialah kegiatan yang dilakukan di dalam masjid misanya mengadakan
sambutan-sambutan hari kebesaran Islam
seperti sambutan-sambutan hariraya, menganjurkan berbagai kegiatan kebajikan
seperti bantuan bagi faqir miskin, anak yatim. Begitu juga dengan kegiatan
luaran seperti menziarah dan memberi bantuan kepada faqir miskin dan anak
yatim. Begitu juga menyampaikan bantuan ke luar negara seperti kepada
mangsa-mangsa gempa, banjir, kebakaran dan sebagainya.
Pendeknya masjid mendidik dan meningkatkan
kualiti jama`ah dari segi ibadat, keilmuan, kerohanian, kebajikan,
kemasyarakatan dan kemanusiaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment