KEKUASAAN DAN CABARAN
(Fikrah Bangi: 9):
BBB, 17 Muharram 1440H. = 27 September 2018M.
(Khamis):
Setelah merdeka 61 tahun, selama itu negara
diperintah oleh satu pemerintahan yang pada permulaan dikenali dengan Perikatan
dan kemudiannya selepas pembentukan Malaysia (1963) pemerintahan dikendalikan
oleh sebuah parti yang keahliannya lebih besar yang dikenali dengan Barisan
Nasional (BN). Pemerintahan ini berterusan sehingga kepada pilihanraya ke 14 (9
Mei, 2018).
Dalam tempoh 61 tahun sudah terbentuk suatu kekuasaan
dan budaya yang dapat dikatakan ciri dan budaya ini sahaja yang mengorientasikan
pandangan rakyat Malaysia. Ada perubahan
permulaan berlaku pada permulaan 2000
yang diakibatkan oleh pergolakan di dalam pemerintah BN yang dominan. Perubahan
ini memakan masa satu setengah dekad.
Antaranya membawa perubahan kepada negeri Selangor, iaitu sebuah negeri yang
termaju di Malaysia.
Pakatan Rakyat dapatlah dikatakan organisasi
politik awal yang membawa perubahan terhadap dominan BN. Permulaan berlaku pertukaran pemerintahan di
Selangor pada 2008, termasuk di Perak buat seketika. Pada masa itu Pulau Pinang
diperintah DAP dan Pas di Kelantan. Pakatan Rakyat sebenarnya adalah kerjasama
antara pemimpin-pemimpin dari Pas seperti oleh Dato` Fadzil Noor dan Dato` Nik
`Aziz, manakala dari PKR ialah Dato` Seri Anwar Ibrahim yang masanya banyak
dihabiskan di dalam tahanan, tetapi digerakkan oleh Datin Seri Wan Azizah
(isteri Dato` Seri Anwar Ibrahin), Tan Sri Khalid Ibrahim, saudara Azmin Ali
dan beberapa yang lain lagi. Dan DAP yang diketuai oleh Lim Kit Siang dan Karpal Singh.
Selangor sebagai negeri pembangkang bersama
Pulau Pinang dan Kelantan menghadapi tekanan dari pemerintahan Pusat, tetapi
oleh kerana, Selangor dan Pulau Pinang negeri yang kukuh dengan ekonomi dan lebih
berdikari, Selangor menunjukkan prestasi pemeritahan yang baik di bawah
pimpinan Tan Sri Khalid Inrahim dan diteruskan oleh pimpinan saudara Azmin Ali
sehingga PRU ke 14.
Pakatan Rakyat yang merupakan kerjasama
politik dan pemerintahan antara PKR, PAS dan DAP berterusan hingga kepada menjelangnya
pilihanraya ke 14 timbulnya perselisihan yang berlaku di dalam Pas sendiri yang
melahirkan Amanah pada bulan Mei 2015. Tempat Pas di dalam Pakatan, diganti
oleh Amanah. Selepas pergolakan di dalam Pas timbul jenama pakatan yang baru yang dikenali dengan Pakatan Harapan yang di
dalamnya selain dari PKR, Amanah ialah
parti yang baru yang dikenali Parti Bumiputera Bersatu yang lebih dikenali
Bersatu di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pakatan ini dikenali dengan
Pakatan Harapan. Sedang Pas mengambil
keputusan untuk bertanding di dalam Pilihanraya
ke 14 secara bersendirian.
Walaupun Pakatan Harapan dan Pas berlainan
parti, tetapi mereka disatukan dari segi pembangkang dan mendepani isu yang
sama. Antara Isu yang sama didepani oleh pembangkang pada masa itu, ialah
masalah GST dan kenaikan harga barangan di bawah BN. Kebencian rakyat terhadap
BN memuncak. Ini dapat dibuktikan dengan keputusan pilihanraya ke 14 (9 Mei
2018). Namun terjadi perbezaan pola kekuasaan politik dalam mana kebencian
terhadap BN di negeri-negeri yang selama ini di bawah pengaruh Pas
diterjemahkan kepada pemberian kemenangan kepada Pas seperti di Kelantan,
Terengganu dan hampir mengusai Kedah, manakala Pakatan Harapan menguasai majoriti di negeri-negeri yang lain,
kecuali Pahang dan Perlis masih dikuasai
BN, manakala di Sabah yang juga cenderung kepada kerjasama dengan PH dikuasai
Warisan.
Sesungguhnya setelah lebih dari setengah abad
negara Malaysia merdeka diperintah oleh BN, maka negara bertukar kepada PH.
Adalah wajar bagi memberi peluang rakyat mengalami kelainan pemerintahan dan
pendekatan baru yang mungkin lebih baik dari sebelumnya. Satu yang nyata di
bawah PH, bahawa pola kaum tidak diberi penekanan. Mereka dilihat sebagai
rakyat Malaysia yang seharusnya bersatu.
Namun di dalam keghairahan menerima perubahan
dan harapan baru di dalam apa yang diistilahkan sebagai Malaysia Baru banyak
permasalahan yang selama ini tidak disedari muncul dan perlu di atasi.
Masalah-masalah seperti hutang negara yang disebut oleh Dr. Mahathir mencecah RM trilion, kepincangan dalam pentadbiran,
inflasi dan kenaikan harga yang sukar diturunkan dan rasuah yang selama ini
tidak disedari. Kini pembersihan dari penyelewengan sedang dilakukan.
Namun kita bimbang, harapan kepada pembaharuan
dan kemajuan terencat, lantaran ketiadaan peruntukan oleh hutang negara yang
begitu besar, perancangan yang bergantung pada kewangan terganggu dan sebahagian dari
masa yang berharga tertumpu pada pembersihan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment