MASJID PEMBENTUK GENERASI
BBB, 24 Zul-Hijjah 1439H. = 05 September
2018M. (Rabu):
Seterusnya Imam Mohd Idris bin Mohd Yussoff
yang menyampaikan kertaskerja membicarakan bahawa masjid adalah `Pembentuk
Generasi`. Contoh utama yang dapat dijadikan panduan, bahawa Masjid Nabawi di Madinah, bukan saja membentuk generasi, pada zaman
Rasulullah s.a.w., bahkan Masjid Nabawi adalah pembentuk negara Madinah dan
ummah, bukan setakat di Madinah, tetapi dari pembentukan masyarakat ummah di
Madinah berkembang kepada umat Islam seluruh dunia dan berterusan dari generasi
ke generasi.
Di dalam perkembangan tamadun Islam dan
peradaban ummahnya, masjidlah memainkan peranan di dalam mendidik dan membina
ummah. Masjid menjadi pusat pengibadatan, masjid juga menjadi pusat pengajian
setempat dan berkembang menjadi pusat-pusat pengajian penting yang bertaraf
pegajian tinggi dan menjadi pengajian tinggi terawal di dunia seperti
Universiti Qayrawan di Maghribi dan Universiti Al-Azhar di Mesir. Bahkan di mana-mana
universiti Islam, bahkan pusat-pusat pengajian Islam seperti kolej, pondok,
madrasah dan sebagainya masjid adalah menjadi pusat ibadat dan pengajian.
Significantnya, masjid, bahawa bangunannya biasanya
berada pada tengah dari pusat pengajian, dalam mana bangunan-bangunan pengajian
adalah berada di keliling masjid. Tempat kediaman pelajar juga berada di
keliling atau berhampiran dengan masjid. Dari segi lokasinya bahawa masjid
ibarat `Hati` yang berada di tengah-tengah pusat pengajian dan kediaman. Masjid
menjadi tempat ibadat dan pengajian bagi penghuni-penghuni pengajian. Darinya
ditimba ilmu dan padanya menjadi tempat ibadat dan kalbu penghidupan.
Konsep perbandaran dan kota keislaman juga
meletakkan masjid pada pertengahan kota,
bandar atau pekan dalam mana berdekatannya pusat pemerintahan dan
jabatan-jabatan, maka pada keluasannya ialah kediaman yang berpaksikan masjid
yang bersifat sentral bagi pembangunan fizikal – bandar dan pekan dan
kelilingnya kediaman dan berbagai kegiatan kehidupan. Dapat juga ditafsirkan
bahawa, Ketuhanan dan kepatuhan kepadaNya adalah keutamaan dan kepatuhan pada
pemerintah, ulama mengiringinya dan kehidupan kelilingan memakmurkannya.
Demiklanlah juga dilihat seperti masjid di
Bandar Baru Bangi, juga berada pada pertengahan kawasan kediaman. Masjid
sendiri adalah tempat umat keliling
memberi tumpuan. Ia adalah pusat bagi pembangunan fizikal dan juga pusat
bagi pembangunan, rohani, mental dan
nilai.
Sebagai pusat pembangunan fizikal masjid
berada di tengah kawasan kediaman bagi penduduk Bandar Baru Bangi. Banguan
terbesar dan terindah. Ianya menjadi
identiti dan imej bagi masyarakat setempat.
Mereka berbahagia dan mesra beradanya masjid di tengah kediaman mereka.
Masjid sebenarnya adalah pembentuk generasi
setempat. Dari segi rohani, sememangnya setiap ahli kariah dari tua, muda dan
anak-anak digalak berjama`ah di masjid. Masjid menjadi tempat mendidik
kerohanian ummah, khususnya melalui ibadah seperti solat di masjid, bagi
meningkatkan prestasi generasi dari berbagai lapisan masyarakat dididik melalui
pengajaran yang diadakan bagi semua generasi, iaitu pengajian yang sesuai
dengan tahap umat. Dengan pengajian mereka dapat meningkatkan prestasi mereka
di dalam ibadat dan juga kehidupan.
Melalui ibadat dan pengajian masjid adalah
menanamkan nilai murni di tengah masyarakat. Anak yang sering ke masjid dan
mendapat didikan tambahan di masjid, insya Allah menjadi anak yang baik yang
patuh pada dua ibu bapa, menghormati orang tua dan bergaul dengan baik. Dengan
didikan melalui masjid mereka menjadi
anak yang baik akhlak dan pandai bergaul di tengah masyarakat dengan
mengamalkan nilai-nilai akhlakterpuji.
Masjid juga mendidik generasi muda berakhlak
dan membawa nilai yang baik baik pada tempat kerja dan dengan masyarakat.
Masyarakat yang dididik melalui masjid
mempunyai hubungan yang baik sesama jama`ah, jiran tetangga dan masyarakat.
Mereka menghormati pimpinan masjid dan meletakkan mereka sebagai ketua,
pembimbing di dala berbagai upacara yang mencerminkan keharmonian masyarakat.
Nilai murni yang diididik oleh masjid kini dilihat
makin penting, bila melihat keadaan masyarakat sekarang yang kecamuk dengan
penipuan, rasuah, pembunuhan, lesbian dan berbagai kekejian. Masyarakat berada
di tengah kebimbangan, kejujuran hilang dan ketakutan menghakis keamanan, dan
kehormonian. Nilai akhlak perlu ditegakkan di tengah generasi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment