September 1, 2018

SEMINAR TENTANG MASJID AL-HASANAH


 SEMINAR TENTANG  MASJID  AL-HASANAH
BBB, 18 Zul-Hijjah 1439H. = 30 Ogos 2018M. (Khamis):
Sebagaimana telah disebut, bahawa mulai awal tahun 2018 pihak Masjid Al-Umm telah melancarkan satu siri seminar mengenai masjid-masjid di sekitar Bangi. Ianya bertujuan bagi merakamkan tentang sejarah satu-satu masjid itu, kegiatan-kegiatan yang dijalankan. Lebih jauh melihat dari segi pembinaan fizikal dan ciri seni binamya. Hasil dari seminar dapat mengabadikan maklumat dan menyampaikan pengetahuan terutama bagi generasi yang lebih kemudian. Lebih dari itu mana-mana pendekatan dan kegiatan yang baik dilakukan oleh satu-satu masjid dapat dicontohi oleh masjid-masjid  yang lain bagi mengimarahkan masjid-masjid masing-masing.
Sejak dimulakan seminar mengenai masjid mulai  Januari 2018 hingga kini sudah lima buah kertas kerja disiapkan oleh pembentang-pembentang (Bulan Mei dan Jun ditangguhkan kerana beri tumpuan  pada kegiatan Ramadhan dan Syawal). Kini kertaskerja untuk bulan Ogos akan dibentangkan pada  Sabtu 1 September 2018. Kertas ini patut dibentangkan pada Sabtu 25 Ogos tapi pembentang meminta dibentangkan akhir seminggu.
Pembentangan esok ialah mengenai Masjid Al-Hasanah. Masjid ini adalah penting dan bila membicarakan tentang masjid di Bandar Baru Bangi, maka pembicaraan tidak lengkap tanpa membicarakan tentang Masjid Al-Hasanah.
Sebagaimana maklum bahawa Bandar Baru Bangi adalah bandar baru yang lahir pada November 1977, ianya lahir selepas perpindahan UKM ke Bangi pada Oktober 1977 tersebut.  Pembangunan Bandar Baru Bangi diharap menjadi pemangkin bagi pembangunan UKM. Bahkan antara tujuan dibangunkan Bandar Baru Bangi oleh PKNS, ialah bagi menyediakan kediaman bagi pekerja-pekerja di UKM dengan harga pada masa itu dapat disifatkan sebagai murah.  Apa lagi pada permulaan pembukaan Bandar Baru Bangi yang pada peringkat awal menyediakan 200 unit perumahan di bekas ladang getah dan kelapa sawit itu, kurang mendapat sambutan pembeli, oleh kerana dianggap terasing di tengah ladang kelapa sawit dan getah dan amat kurang dari segi kemudahan, tiada sekolah, tiada kedai dan jalan yang tidak begitu baik. Untuk ke UKM dari Bandar Baru Bangi terpaksa melalui jalan kecil dan merentasi jambatan kayu. Jambatan ke UKM belum dibina, Jika mau  ke Kajang terpaksa melalui Teras Jernang atau melalui jalan ladang bertanah merah menyusuri tepi bukit dan keluar melalui jambatan kayu uzur ke  Jalan Reko ke Kajang.
Antara kemudahan yang belum disediakan di Bandar Baru Bangi ialah tiadanya surau, apa lagi masjid. Pada peringkat permulaan untuk solat Juma`at  secara selesa perlu ke Masjid Kajang atau menumpang di Masjid Kampung di Teras Jernang atau  di West Country – bertaraf surau dibina dari kayu (dua tingkat).
Oleh kerana tiada masjid, sedangkan pekerja UKM telah ramai, maka mulai awal 1978, maka tempat solat Jumaat disediakan secara sementara bermula di ruang legar pejabat Pentadbiran UKM, kemudian pindah ke dataran – Lantai Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan dan kemudian pindah ke aras bawah Perpustakaan Tun Seri Lanang. Penduduk Bandar Baru Bangi yang merupakan pekerja-pekerja di UKM menggunakan tempat-tempat berkenaan bagi menunaikan solat Juma`at.
Sementara penduduk Bandar Baru Bangi yang pada peringkat permulaan  terdiri dari 200 keluarga yang mendiami rumah semi D, teres dua tingkat dan setingkat itu, merasa kekurangan oleh ketiadaan surau. Pada peringkat permulaan mereka berjama`ah  secara bergilir-gilir dari rumah ke rumah sambil mengadakan usrah.
Atas usaha Badan Kebajikan Bandar Baru Bangi yang diketuai oleh En.  Omar Ja`far, seorang pegawai Tadbir UKM dan Wakil UKM ke Mesyuarat  Majlis Daerah Hulu Langat berusaha mendapatkan sebuah rumah semi D bagi dijadikan Surau Sementara. Pihak PKNS menyerahkan rumah No. 6, Jalan 1/3G, untuk dijadikan surau sementara. Surau ini mula digunakan pada 01 Ramadhan 1398H, bersamaan 6 Ogos 1978. Dengan adanya surau ini persoalan tempat  ibadat berjama`ah tidak berbangkit, apa lagi selepas itu UKM mendirikan masjidnya di Kampus UKM. Mula dibina pada 16 Mac 1979 serta siap dan mula digunakan pada 16 April 1982. Jadi dengan adanya Masjid UKM, tidak timbul untuk mendapatkan masjid di Bangi, walaupuan ada tapak disediakan di Seksyen Satu, sejak Bandar Baru Bangi dibuka. Yang banyak lahir selepas 1980an ialah surau-surau hingga puluhan surau.
Walau bagaimana Bandar Baru Bangi berkembang hingga dibangunkan Pusat Bandar di Seksyen 9. Pihak PKNS meyediakan tapak bagi Masjid yang ada sekarang bagi keperluan penduduk Bandar Baru Bangi. Masjid yang memakan belanja sebanyak RM2 juta itu siap pada tahun 1999 dan mulai dirasmi penggunaannya oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Negeri Selangor  pada 10 Mac 2000 bersamaan 4 Zulhijjah 1420H. Masjid ini diberi nama Masjid Al-Hasanah. Ia adalah masjid yang pertama didirikan di Bandar Baru Bangi.
Dengan terdirinya Masjid Al-Hasanah tidak timbul hasrat mendirikan masjid yang lain kerana masjid pada peringkat permulaan dapat menampung jama`ah Bandar Baru Bangi.  Yang banyak lahir sekitar Bandar Baru Bangi ialah surau-surau hingga berjumlah 40 buah.
Masjid Al-Hasanah  dianggap sebuah masjid yang maju di Selangor, lantaran ianya ditadbir  oleh Jawatankuasa yang dilantik secara professional. Banyak pengajian yang ditawarkan dan kegiatan yang dilakukan, lantaran itu ramai jama`ah yang hadir. Masjid Al-Hasanah banyak menerima derma dari jama`ah, lantaran itu berbagai aktiviti dilakukan.
Atas kegiatan masjid, maka Masjid Al-Hasanah pernah menerima Hadian Masjid Terbaik  di Selangor.
Masjid ini sesungguhnya dapat dijadikan contoh sebagai masjid mithali  di Selangor.
Sekian.

No comments:

Post a Comment