September 24, 2018

PEMILIHAN CABANG PKR KECOH: APA MAKNANYA ?


PEMILIHAN CABANG PKR KECOH:  APA MAKNANYA ?
(Fikrah Bangi – 6):
BBB, 14 Muharram 1440H. = 24 September 2018M. (Isnin):
Kita membaca berita-berita pada pagi minggu, antaranya:
``Pemilihan PKR Cabang Padang Serai kecoh.`` (Sinar, 23 September 2018, hlm. 6).
Dan proses pemilihan ditangguh !
``9 cabang  PKR Kedah tangguh pemilihan.`` (Mingguan Malaysia, 23.9.2018, hlm. 3).
Ahli gesa guna undi manual.
``Gangguan e-undi punca kekecohan dua negeri.`` (Berita Harian, 23.9.2018, hlm. 8).
``Pemilihan PKR  Perak- Perlis ditangguh.``
``E-undi timbulkan masalah.``
``Keputusan PKR Kedah dibatal.`` (BH: 9).
Apa makna semuanya ini ?
Banyak tafsiran yang dapat diberi.
Bahawa PKR sebagai parti popular  dan dominan di dalam PH menjadi rebutan rakyat untuk menjadi ahli. Perebutan juga berlaku untuk menjadi pemimpin pada peringkat cabang, negeri dan pusat. Pada peringkat pusat berlaku perebutan dan pertandingan bagi merebut jawatan  Timbalan Presiden antara Rafizi dan Azmin.
Berpeluang menjadi pemimpin baik pada peringkat cabang, negeri dan Pusat bererti berpeluang mendapat bukan saja jawatan di dalam parti, tetapi juga di dalam pemerintahan. Bukankah ramai dari mereka menjadi menteri, timbalan menteri, menteri besar dan berbagai-bagai kedudukan yang lain. Ini semua akan menjamin kedudukan sekurang-kurangnya dari segi jawatan dan pendapatan.
Demikianlah lumrah bagi parti apa pun. Pada masa parti lemah dan tidak berkedudukan, tidak ramai yang mau menganggotai parti. Tidak ada yang berebut  untuk menjadi calon dan diketahui jika bertanding dalam piulihanraya, jangankan untuk  menang, sebaliknya hilang wang deposit. PKR sedang popular, lantaran itu ianya menjadi rebutan.
PKR sendiri disamping berlomba-lomba bagi menjadi parti pilihan bukan saja dengan parti lawan, seperti Umno dan BN, tetapi adalah berlomba-lomba mengatasi parti-parti di dalam pakatan sendiri. Kedudukan PKR sebagai parti dominan akan memberi kekuasaan lebih kepada parti. PKR tentu mau kekal dominan berbanding dengan Parti Bumiputra Bersatu yang dipimpin oleh Dr. Mahathir, juga terhadap Amanah parti yang agak muda dan masih kurang pengalaman. Anwar tidak sabar bertanding di PD berstrategi yang mengetuai PKR bagi mengukuhkan kedudukannya dan melayakkannya menjadi Perdana Menteri.
Kekecohan yang berlaku di dalam pemilihan pada beberapa negeri,  bahawa PKR sebagai parti popular dan pilihan utama mau menunjukkan kepada rakyat dan parti-parti yang lain, bahawa ia adalah kedepan dengan menggunakan teknologi baru, iaitu e-undi, sedangkan parti-parti lain ,masih belum mau menggunakan kaedah sedemikian. Walaupun kekecohan berlaku dan dicadangkan kembali menggunakan kaedah manual, tetapi ianya akan dilakukan  pembaikan.
Pemilihan terhadap pimpinan dilakukan pada peringkat grass-root dan ke atas, PKR mau menunjukkan, bahawa parti itu mau menggunakan kaedah yang difikirkan memberi keadilan kepada semua pihak di dalam membuat pemilihan dan keadilan juga terhadap pemimpin-pemimpin yang menjadi pilihan, lantaran pemilihan bersifat nmenyeluruh dan melibatkan semua keahlian parti.
Namun kaedah ini dari satu segi dilihat akan menyeret ahli dan pemimpin, bahkan rakyat  sebok sepanjang masa berpolitik pada setiap peringkat dan mengganggu pentadbiran. Bilakah masa suasana pentadbiran tenang dan ditumpukan kepada pembangunan ? Pada satu pihak, orang-orang parti menjadi penentu, pengganggu, bahkan menjadi samseng dalam pentadbiran dan kekuasaan. Ianya mengganggu ketenteraman rakyat.
Dari satu segi kaedah yang digunakan oleh DAP, iaitu parti tidak perlu kepada penubuhan cabang,  ranting dan sebagainya. Rakyat sebenarnya sudah bijak dan diberi kepercayaan, mereka tahu perjuangan parti tertentu, mana-mana tokoh yang diajukan kepada mereka untuk dipilih, mereka membuat pilihan. Lantaran itu politik tidak mengganggu ketenteraman dan banyak masa untuk pembangunan dan rakyat tenteram !
Sekian.

No comments:

Post a Comment