BBB,
14 Ramadhan 1437 = 19 Julai 2016
(Ahad):
Antara sumber tasawuf ialah alam ini yang
boleh diibaratkan keberadaannya
terbentang nyata sebagai sebuah kitab atau buku yang terbuka yang diibaratkan
kandungan di dalamnya sebagai huruf-huruf dan ayat-ayat dapat dibaca dan
difahami kandungannya sebagaimana membaca sebuah kitab atau buku. Kandungannya
boleh dibaca dari berbagai-bagai perspektif menurut keilmuan dan kepakaran
masing-masing. Ianya boleh difahami dari berbagai-bagai ilmu. Misalnya boleh
didekati dari segi akidah atau geografi, botani, kajicuaca dan sebagainya,
bahkan ianya boleh dihayati dari segi seni, bahkan tasawuf. Permulaan dapat
dibaca atau dilihat dari segi lahir.
Al-Qur`an sendiri menyebut bermaksud:
``Bahawasanya pada ciptaan langit-langit
dan bumi dan pertukaran malam dan siang adalah menjadi tanda-tanda (ayat-ayat)
bagi mereka yang mempunyai fikiran.`` (Ali Imran: 190).
Bagaimanakah ianya menjadi sumber tasawuf ?
Cara melihat juga berpelbagaian. Penulis
telah menyebut bahawa tasawuf antaranya adalah merupakan seni rohani. Gambaran
ayat Al-Qur`an di atas boleh dilihat tasawuf dari segi seni rohani, iaitu
melihat dengan kagum dan indah terhadap ciptaan Allah tentang keindahan di langit
yang mengandungi planet-planet dan bintang-bintang. Lebih indah jika dilihat
pada waktu malam dalam mana bintang-bintang sebagai lampu-lampu yang menghias
dan menyinari alam. Bumi juga dapat dilihat keindahan padanya. Pada bumi terbentang tegak padanya gunung ganang dan bukit bukau,
menghijau dipermukaan tumbuh-tumbuhan. Laut pula bergelombang ditiup angin dan
mengangkatkan air ke awan-awan dan bergerak ke perbatasan gunung dan bukit
menurunkan hujan menyirami tumbuh-tumbuhan dan mengalirkan sungai-sungai dan memberi faedah bagi berbagai-bagai
kehidupan. Manusia di permukaan bumi
bergerak dengan tugas masing-masing memakmurkan kehidupan. Gambaran Allah
pada ayat-ayat yang lain tentang proses kehidupan secara indah bermaksud:
``Sesungguhnya Allah jualah yang membelah
(menumbuhkan) butir dan biji buah-buahan
(Al-An`am: 95).
Setereusnya ayat Al-Qur`an menyebut:
``Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan
dengan air itu segala jenis tumbuh-tumbuhan. Kemudian kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau. Kami
keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari
pohon-pohon tamar dari mayang-mayangnya (kami keluarka) tandan-tandan buah yang
mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan
zaitun, serta buah delima yang bersamaan (bentuk rupa dan rasanya) dan yang
tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan
ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang
menunjukkan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (Al-An`am: 99).
Bukankah gambaran di atas begitu indah
menyejukkan mata, menyegarkan dada, mentaakulkan akal tentang kekuasaan dan
ciptaan Allah. Rasa indah, kagum dan terpesona tentang ciptaan Allah adalah
nikmat kurniaan Allah yang membawa kita bertasbih, memuji dan bersyukur
terhadap ciptaan dan kurniaan Allah yang membekalkan rezeki dan kurniaan Allah.
Ini adalah merupakan elemen ketasawufan.
Kekaguman seperti di atas boleh dikaitakan
dengan pemandangan indah ditepi laut yang pantainya putih pasir memanjang
dengan pulau jauh berbalam dan laut bergelombang ditiup angin dan perahu
nelayan bergerak ke daratan kembali dari mencari rezeki ilahi dilautan. Begitu
juga pemandangan di tepi sawah yang menghijau bergelombang ditiup angin petang,
menggerakkan tangkai-tangkai padi yang menguning sedang pipit-pipt dari petak-ke
petak sawah terbang hinggap memakan padi menumpang rezeki yang diusahakan
petani. Semua pandangan ini menggetarkan perasaan demi menghayati keindahan
yang diciptakan Tuhan, menyebabkan terungkap dalam diri pujian, tahmid, tasbih
dan syukur kepada Tuhan. Juga adalah elemen tasawuf.
Banyak lagi nikmat yang membawa kita
memuji, mentasbih dan mensyukri nikmat Allah. Pandang pada diri sebagai elemen
dari alam, bahawa tubuh kita masih sihat segar, masih dapat bergerak secara
bebas, masih dapat menikmati makan dan minum dan masih dapat menunaikan
kewajipan yang difadhu oleh Allah dari segi solat, puasa dan segala
kebajikan-kebajikan yang lain yang seharusnya kita bersyukur kepada Allah.
Fenomena alam sebagai kitab terbentang yang
boleh dibaca dengan mata akal, tidak saja dapat dibaca dari aspek kenikmatan,
tetapi juga dari aspek ujian bala
bencana. Bukankah juga bencana sering berlaku dengan berlakunya gempa bumi yang
memusnahkan bangunan dan perhubungan, taufan membadai merosakkan pantai dan
kependudukan, kebakaran secara besar-besaran yang merosakkan harta benda dan
kehidupan, bahkan berbagai-bagai kemusnahan yang berlaku. Semua ini menimbulkan
kegerunan, ketakutan dan kerisauan yang membuktikan kekuasaan Yang Maha
Pencipta yang dapat melakukan segala-galanya pada bila-bila dan dalam keadaan
mengejut dan segera. Ini semua menginsafkan dan tunduk jiwa pada kekuasaan dan
kebesaran yang Maha Pencipta. Ia juga adalah sebahagian dari elemen tasawuf
yang boleh membawa kepada keinsafan dan pengakuan terhadap kebesaran Allah.
Dengan bacaan terhadap fenomena alam baik
dari indah dan menggerunkan terbetik dalam minda akan kehebatan Yang Maha
Pencipta melakukan sesuatu dengan kekuasaanNya. Semua fenomena ini ditambah
dengan berbagai yang lain memberi keyakinan tentang kekuasaan Yang Mencipta
yang menjadikan alam dan mengatur
semuanya secara sempurna, bahawa semuanya menurut ketentuan yang ditentukan
dari ciptaan yang besar dari cakerawala, planet-planet dan bintang-bintang
membawalah kepada kehidupan dipermukaan bumi semuanya bergerak teratur
menyebabkan semuanya selamat, d isebalik dari itu melihat kepada
kemusnahan-kemusnahan yang kadang-kadang berlaku meyakinkan diri ianya
merupakan pertanda kiamat yang akan berlaku menurut kehendak dan ketentuan
Allah. Semuanya menambahkan keimanan bagi mereka yang menggunakan akal dan
fikiran.
Kekaguman, keindahan, kegerunan dan
ketakutan dan sebagainya adalah elemen-elemen yang mengoinsafkan. Ianya adalah
merupakan benih-benih tasawuf bagi jiwa yang insaf dan mebawa diri lebih
mendekati Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment