BBB,
20 Ramadhan 1437 = 25 Jun 2016
(Sabtu):
Sebagaimana telah ditegaskan bahawa
ayat-ayat Al-Qur`an juga Al-Hadith berkenaan tasawuf adalah banyak. Ini berereti bahawa unsur-unsur tasawuf wujud
bersama Islam. Model-model sufi juga ramai termasuk di kalangan sahabat [Termasuk yang bersifat ekstrim seperti
`Uthman bin Maz`un yang berkelana di padang pasir dan meninggalkan
isterinya, juga Ibn `Umar yang berpuasa berhari-hari. Perbuatan ekstrim
kedua-duanya ditegah oleh Nabi. Sedang di sana banyak sahabat bersederhana di
dalam kehidupan mereka) (Qasim Ghani,
Tarikh al-Tasawwuf fi al-Islam, 1970: 23-24. Juga Khalid Muhammad Khalid, Rijal
Hawl al-Rasul, 2007: 1167hlm.).
Tetapi pada zaman sahabat ini belum
dikenali istilah tasawuf, apa lagi
definisinya.
Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi (m.378H.) di
dalam kitab tasawuf terkenalnya
berjudul, Al-Luma` menimbulkan persoalan , ``Mengapa tidak didengari
atau digunakan istilah tasawuf di kalangan
para sahabat Nabi s.a.w. radiya Allah `anhum dan tidak selepas daripada mereka itu ? Yang
dikenali ialah sebagai `ubbad, zuhhad, pengkelana dan fuqara`, Mengapa tidak
digelar atau dinamakan walau seorang dari sahabat Rasulullah s.a.w. sebagai sufi ?``
Soalan di atas diberi huraian oleh Al-Sarraj,
bahawa, ``Gelaran sahabat Rasulullah s.a.w. adalah nama terhormat dan
teristimewa bagi mereka, maka adalah
tidak sesuai diberi sebarang gelaran kepada mereka gelaran yang tidak dapat
mengatasi gelaran termulia `Sahabat Rasulullah s.a.w.`, yang demikian kerana
mulianya Rasulullah s.a.w. dan penghormatan Baginda. Adakah engkau tidak
melihat, memang ada di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. mereka yang
`ubbad, zuhhad, mutawakkilin, fuqara`, radhiin, sabirin, mukhbitin dan lain-lain,
mereka tidak mencapai setinggi panggilan para sahabat dan tidak perlu panggilan
lain, lantaran berkatnya sebagai sahabat Rasulullah s.a.w., bahkan kalau
dinisbah kepada para sahabat celaran
lain, sedangkan kedudukan sahabat lebih tinggi, dan memberi gelaran lain, merendahkan mereka dan mustahil sedemikian,
lantaran mereka tidak sesuai diberi gelaran lain dari gelaran sahabat yang
lebih tinggi kedudukan itu.``
Al-Sarraj juga merujuk kepada pendapat yang
mengatakan, bahawa istilah tasawuf muncul dan wujud pada zaman kerajaan Baghdad
(Abbasiyyah) . Pendapat ini disangkal oleh Al-Sarraj bahawa nama `Al-Sufi`
katanya, telah ada sejak zaman Hasan
Basari (m. 117H./728M.).
Satu pendapat yang kukuh ialah sebagaimana yang disebut
oleh Sufyan al-Thauri (m. 246H./860M.) seorang tokoh ilmu fiqh, beliau menyebut bahawa, ``Kalaulah tidak
kerana Abu Hashim al-Sufi (m. 150H./761M.) nescaya aku tidak memahami betapa
halusnya ciri-ciri riya` itu.`` (Al-Sarraj, Al-Luma`, 1380/1960: 42).
Sufyan al-Thauri, selain dari tokoh ilmu fiqh
juga adalah mendalam di dalam bidang kerohanian.
Dapatlah diambil kesimpulan, bahawa
kelahiran tasawuf secara formal, khususnya dari segi istilah adalah berlaku
pada zaman tercetusnya perbahasan
intelektual akibat dari pertikaian Ali-Muawiyah dan berterusan hingga ke zaman akhir
kerajaan Umawiyyah (132H./743M.) bahkan berterusan sehingga kepada pemerintahan
`Abbasiyyah yang melahirkan keilmuan-keilmuan seperti akidah, fiqh dan tasawuf
– lebih khusus pada pertengahan abad ke 2H. Bahkan boleh ditafsirkan
bahawa selain dari reaksi terhadap
kelahiran Khawarij dan Mu`tazilah yang menyebabkan lahirnya Jabariyyah dan
Murjiyah, khususnya Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang juga berkait dengan Hasan
Basari menyebabkan lahirnya pihak yang tidak berpuashati terhadap pergolakan
politik yang menyebabkan berlaku pencemaran terhadap akidah, khususnya
kelahiran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah bagi mempertahankan kemurnian akidah.
Dapatlah juga dikatakan lahirnya pihak yang
kemudian dikenali dengan `sufi` sebagai manifestasi rasa tidak puashati mereka terhadap
perkembangan yang menggugat, khususnya dari segi akidah. Golongan yang tidak
puas hati yang mau mempertahankan kemurnian Islam dan amalan kerohanian ini
tidak mempunyai daya untuk menentang kekuatas establishment yang ada pada masa
itu, jadi tindakan yang diambil ialah dengan mengasing dan memencilkan diri.
Trend ini berlaku kepada para sahabat
seperti dilakukan oleh Abu Dhar al-Ghifari, Hudhaifah al-Yamani, Bilal bin
Rabah dan yang lain-lain lagi. Tetapi sebagaimana disebutkan bahawa pada zaman
sahabat, istilah ini belum digunakan lagi, tetapi kecenderungan menisbahkan
mereka dengan istilah-istilah yang bersifat kerohanian telah wujud. Antara ciri
kerohanian ialah:
Zuhhad bermaksud ialah orang-orang zuhud
yang menumpukan jiwa mereka terhadap keakhiratan , bahkan memutuskan diri dari
keduniaan. Mereka mesra, bahagia dan lazat dengan kehidupan keakhiratan
sedemikian.
Sifat zuhud ini ditambah lagi dengan
kecenderungan melakukan ibadat sebanyak mungkin sehingga golongan ini dikenali juga sebagai ubbad yang
bermaksud banyak beribadat.
Mereka juga mesra dan rela digolongkan
sebagai al-fuqara` yang bermaksud
sebagai orang-orang faqir. Kefakiran dari segi istilah ialah mereka yang ada
pada tahap di bawah dari tahap miskin, tetapi faqir dari segi istilah
kerohanian ialah mereka yang tidak berhajat selain dari Allah, walaupun mereka
sebenarnya tidak faqir dari segi harta benda.
Terhimpun pada jiwa kesufian ialah tahap tinggi dari segi tawakkal mereka
terhadap Allah Ta`ala. Ini bukan bererti mereka tidak berikhtiar, tetapi
penyerahan dan pergantungan mereka adalah pada peringkat maksimum pada Allah. Ini adalah selari dengan sifat
yang ada pada mereka iaitu bersifat sabar terutama dari segi ujian-ujian
yang bersifat kepahitan hidup dan
mungkin juga ujian-ujian yang bersifat kesenangan dan pada peringkat tertingga
mereka redha dengan segala yang ditempuh dan dilalui. Redha dengan nikmat yang
diterima dan redha dengan ujian kesabaran yang diterima dan pada peringkat puncak keredaan ialah kesenagan yang diterima
adalah sama dengan kesusahan yang semua di dalam keredhaan.
Semua yang dibawa di dalam kesufian adalah
nilai-nilai positif dari tahap biasa ialah bernilai akhlak dan pada peringkat
puncak adalah reda. Semuanya indah jika dapat diterapkan kepada jiwa setiap
muslim-mu`min, skop dan ruang lingkup kesufian adalah luas dan mempunyai
maratib dari yang bersifat akhlah kepada peringkat kerohanian tinggi, tetapi tidaklah sampai pada peringkat ekstrim
sebagaimana dilarang oleh Rasulullah s.a.w. terhadap `Uthman bin Maz`un dan Ibn
`Umar. Bagi kita sekurang-kurangnya dapat mengapresiasi keluhuran jiwa sufi,
kekaguman kita terhadap keluhuran jiwa mereka sekurang-kurang dapat memberi
kesan positif bagi kita menjejaki nilai-nilai murni dan luhur yang menjadi
hiasan keperibadian mereka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment