BBB, 07 Ramadhan 1437 = 12 Jun 2016 (Ahad):
Pendekatan
adalah lebih dari susunan. Ia adalah rangka menyeluruh yang ibarat jika
mau membina sebuah rumah, maka dia adalah merupakan plan arkitek yang
disediakan yang kontrektor atau juru
bina mengikutinya sehingga sebuah binaan yang dihasratkan lengkap terbina. Sudah tentulah apa yang
hendak dibina itu berada di dalam kefahaman pihak yang mau membinanya.
Sifat keilmuan tasawuf adalah berbeza
dengan bidang keilmuan-keilmuan yang lain. Ia
adalah lebih bersifat jiwa ,rohani,
subjektif, ubudiyyah, bahkan estetik. Memperkatakan tasawuf adalah
memperkatakan pengalaman kerohanian yang dilalui oleh tokoh-tokoh sufi di dalam
perjalanan dan penujuan kesufiannya yang
diungkap dan yang tidak terungkap.
Tetapi sebagaimana diibaratkan kepada keilmuan
dan kema`rifatan sufi sebagai rangka binaan yang sebenarnya lebih subjektif
dari konkrit, tentulah ada asas, sumber,
infra-struktur dan bahan-bahan bagi
membina `Teratak Sufi` yang di
bawah lindungan subjektif ini khazanah sang sufi asyik dengan praktif kerohanian dapat dihimpun. Yang paling penting ialah
diri insan itu sendiri sebagai ``Rumah Rohani`. Persoalan timbul, apakah
`Kalbu` rumah rohani mempunyai kelayakan
bagi pengisian aspek-aspek kerohanian, bersih dari elemen-elemem negatif, kerana pada puri hati inilah menjadi
wadah utama penyuburan. Ibarat `sarang
lebah` kepadanya mendatang segala
kemanisan rasa dari ketaatsetia terhadap
Pencipta.
Bagi menyubur jiwa ketasawufan itu situasi kelilingan
seharusnya kondusif dengan alam keliling dapat menyuburkan pohon dan
rimbun dengan bunga-bunga yang dapat menyumbangkan kepada madu rohani. Dalam
bahasa biasa dengan diri insan sebagai wadah utama, maka alam keliling sama menjadi
wadah ketasawufan.
Sungguhpun hati dan jiwa insan secara fitrah
terdorong kepada pencarian yang bersifat
mistri, tetapi bagi pencarian yang bersifat persendirian adalah lebih
banyak yang terdorong kepada kesilapan dan ketidakbenaran dan penyelewengan.
Sebab itu di dalam pelayaran penujuan kepada yang bersifat hakikat yang benar,
ibarat berjalan malam dapat berpandukan isyarat bintang-bintang dan jika siang
sudah tentulah cahaya benderang menyuluh arah kebenaran. Jadi perjalanan
kerohanian seharusnya berdasarkan panduan
Kitab Suci Al-Qur`an dan Panduan Kerasulan.
Inilah sebenarnya segara lautan kerohanian yang mendepani pejalan rohani.
Sumber yang didepani adalah wadah yang tak terterokai. Sumber alam yang
didepani diri dalam perjalanan sama membuka ruang perjalanan bagi mendalami kandungan dan rahsia-rahsian Qur`ani.
Sesungguhnya sumber Qur`ani dan alami
ini tidak henti-henti di kaji dan tidak mungkin kehabisan diterokai.
Lantaran diri, alam dan kitab panduan
membuka ruang mendekati yang hakiki – Allahu Rabbi Inilah
medan jihad rohani yang didepani sufi. Mendepaninya berbagai-bagai ungkapan
dapat disebutkan bahawa:
1) Tuntutan memperbaiki diri sesuai dengan tuntutan yang Hakiki
2) Medan asyik
yang mendepani sufi tidak bertepi
3) Terhambur ungkapan-ungkapan pujian mesra dan mengagungkan
Pada hakikatnya kewujudan sama ada yang bersifat ghaib dan
shahadah adalah penyaksian dan rahsia
Tuhan. Ianya dapat dilihat dari dua dimensi, dimensi lahiri dan akli yang menjadi wadah keilmuan yang terus dikaji insan
di dalam berbagai nama keilmuan dan dapatan untuk kepentingan kehidupan dan
dapat dilihat dari segi dimensi rohani yang pada hakikatnya lebih luas dan dalam yang
dihayati dan menjadi sumber kerohanian.
Sebagaimana
kewujudan dikaji dari segi keilmuan tidak habis-habisnya yang pada
hakikatnya makin menyerlahkan hakikat Pencipta, demikianlah juga bidang
kerohanian. Tidak semua yang mengalami dan menghayati membuat catatan
kerohanian yang dilalui.
Tapi sebagaimana bidang ilmu ada usaha-usaha
murni yang melakukan pendokumentasian yang menjadi panduan bagi
generas-generasi mempelajari dan meluaskannya, demikian juga dengan bidang
kerohanian, bahawa ada di kalangan mereka yang terlibat di dalam bidang
kerohanian yang membuat catatan pengalaman dan kajian-kajian. Sesungguhnya
usaha kalangan mereka inilah menjadi warisan yang dapat dijadi panduan untuk
dipelajari dan menghayati. Inilah apa yang kita maksudkan `Turath Tasawuf` yang menjadi fokus tulisan ini.
Dalam kata lain Turath Tasawuf atau
Perbendaharaan tasawuf ini menjadi bahan penelitian dan pengajian kita. Antara
yang akan dilakukan:
1) Meneliti
sumber dan akar tasawuf Islam
2) Pertumbuhan awal bagi tasawuf
3) Hasil-hasil penulisan awal dalam bidang tasawuf
4) Kelahiran karya-karya tasawuf secara kronologi
5) Ciri keistimewaan dan penambahan maklumat yang
dibawa oleh karya/tokoh
6) Madrasah-madrasah
dan aliran-aliran yang dibawa oleh karya/tokoh
7) Pendekatan-pendekatan ketasawufan
8) Tokoh-tokoh sufi sebagai bahan kajian
9) Ketasawufan dan estetika
10) Kesan pada individu, jamaah dan ummah
Sudah tentulah apa yang disenaraikan di atas
bukanlah sesuatu yang sempurna dan lengkap. Sesungguhnya dalam kajian,
penghayatan dan penulisan akan lahir dan bertembung dengan bahan-bahan baru
yang diharapkan akan menambahkan lagi maklumat dan melengkapkan kajian dan
poenulisan.
Di dalam membicarakan tentang ketasawufan,
sesungguhnya telah lahir berbagai pendapat yang pro- dan kontra, tetapi kita mau
menegaskan bahawa tiada siapa yang dapat menafikan bahawa diri insan tidak
terdiri dari binaan fizikal semata-mata,
tetapi ada elemen akli dan rohani. Menyempurnakan kedua-duanya merupakan
tuntutan diri. Sebagaimana tuntut akli melahirkan keilmuan, maka demikian juga
dengan kerohanian melahirkan ketasawufan.
Kalangan yang menentang kerohanian dan ilmu yang berkait dengan kerohanian sebagai menentang dirinya dan cuba menafikan
apa yang diperlui oleh masyarakat dan umat. Perkembangan ini sebenarnya
seiringan berlaku di dalam perkembangan tamaduan dan peradaban umat. Walau bagaimana majunya
manusia, bidang rohani tetap mendapat tempat dan seharusnya bergandingan serta
sempurna dan menyempurnakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment