BBB, 11
Ramadhan 1437 = 17 Jun 2016 (Khamis):
Selepas membicarakan tentang Surah
Al-Fatihah sebagai `Pembuka Al-Qur`an`
yang pada hakikatnya sebagai `Pembuka Maklumat Kewujudan` yang darinya juga
ditimba elemen tasawuf, maka kita
berpindah kepada kandungan Al-Qur`an itu sendiri, sesungguhnya Al-Qur`an adalah sebagai sumber utama tasawuf. Fokus
utama di dalam tasawuf ialah mengenai Ketuhanan. Ini dapat difahami dari
definisi-definisi tasawuf. Misalnya dipetik pendapat Al-Junayd (m. 297H.),
``Tasawuf mempraktikkan segala keakhlakan yang tinggi dan meninggalkan
segala keakhlakan yang keji.``.
Abu
al-Hasan al-Shadhili (m. 656H.) berkata:
``Tasawuf melatih diri dengan berubudiyyah
menurut hukum-hukum ditentu Ilahi.``
Dan kata Ibn `Ajibah yang juga pendukung
Tariqat al-Shadhili bahawa:
``Tasawuf
ialah ilmu yang dikenali dengannya bagaimana `Mendekati ke hadrat
Malikul Muluk`, membersih batin daripada kotoran, menghiasinya dengan berbagai kelebihan. Awalnya ilmu,
pertengahgannya amal dan akhirannya kurnian-kurniaan.`` (Abdul Qadir `Isa,
Haqa`iq `an al-Tasawwuf: 14).
Daripada definisi-definisi di atas dapatlah difahamkan bahawa, tasawuf
hendaklah berasaskan ilmu-ilmu terutama ilmu akidah, shari`at dan keilmuan
tasawuf itu sendiri. Keilmuan tasawuf bertujuan membersih diri dalam erti kata
yang luas. Bersih akal dengan akidah yang betul, bersih ibadat dengan
menunaikan semua kewajipan terutama yang fardhu ditambah dengan yang sunat dan
bersih hati nurani dengan luarannya berakhlak dengan akhlak yang terpuji dan dalaman
berhati suci, tujuannya tidak lain dari `Mendekati` Allah Rabbul Jalil`.
Fokus utama di dalam bertasawuf ialah Allah
Subhanahu wa Ta`ala.
Kalau dilihat di dalam Al-Qur`an sendiri
persoalan paling pokok dan paling utama serta sentral ialah persoalan
Ketuhanan. Ianya adalah selari dengan kandungan Al-Fatihah sebagaimana telah dibicarakan
`Ketuhanan bagi semua alam dan makhluk kejadian` yang Dia saja layak disembah
dan dipohon pertolongan.
Di dalam Al-Qur`an sendiri adalah didapati kalimah Allah adalah istilah
yang paling banyak terdapat di dalam
Al-Qur`an. Berdasarkan kepada buku Al-Mu`jam al-Mufahris li al-alfaz al-Qur`an al-Karim (Dar al-Fikr,
1407H./1987). Terdapat 38 halaman rujukan yang terdapat di dalam istilah Allah
dalam ayat-ayat al-Qur`an. Bagi setiap halaman terdapat penggunaan istilah
Allah tak kurang daripada 76 kali (terdapat penyebutan lebih dari sekali). Ini
bererti terdapat tidak kurang dari 76 x
38 penyebutan, iaitu sebanyak 2,888
kali. Ini tidak termasuk penyebutan nama-nama Allah yang berjumlah 99
yang antaranya dikenali sebagai al-Asma` al-Husna`. Jadi penyebutan tentang
ketuhanan secara kasar antara 3,000
+ Nama-nama Allah yang lain sehingga 5,000 kali.
Dari ayat-ayat Al-Qur`an khususnya yang
langsung menyebut nama Allah adalah menjadi pegangan dan penghayatan kkesufian.
Misalnya ayat bertmaksud:
``Dan Allah jualah yang memiliki timur dan
barat dan ke mana saja kamu arahkan diri maka berdepan wajah Allah dan
sesungguhnya Allah Amat Luas lagi sentiasa mengetahui. (Al-Baqarah: 115).
Juga ayat yang bermaksud:
``Dia bersama kamu di mana kamu berada. Dan Allah dengan apa yang kamu lakukan amat melihat (Al-Hadid:
4)
Ini mengingatkan setiap orang bahawa dia
adalah di dalam perhatian Allah yang seharusnya dia melakukan apa yang disuruh dan tidak
melakukan apa yang dilarang
Kesedaran tentang Allah seharusnya intim
dan berterusan lantaran sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Oleh itu ingatlah kamu kepada Aku (dengan
mematuhi hukum dan undang-undangku), supaya aku membalas kamu dengan kebaikan
dan bersyukurlah kamu kepada Aku dan janganlah kamu kufur. (Al-Baqarah: 152).
Asas utama di dalam mendekati Allah ialah
melalui ibadat, khususnya solat yang merupakam mi`raj rohani sebagaimana
firman Allah bermaksud:
``Wahai sekalian orang-orang beriman
mintalah pertolongan dengan bersabar dan mengerjakan solat. Kerana sesungguhnya Allah
menyertai orang-orang yang sabar (Al-Baqarah: 153).
Begitulah juga dengan berbagai-bagai ibadat
dan amal-amal kebaikan dan kebajikan yang lain.
Terlu banyak sumber ketasawufan di dalam
Al-Qur`an yang sebanyak 114 surah itu, khususnya berhubung dengan Allah yang
boleh menjadi sumber ketasawufan,
antaranya tentang:
1) Keyakinan dengan ketauhidan Allah yang menjadi
puncak keyakinan
2) Menanggapi keagungan dan kebesaran Allah yang
kepadanya tertumpah ketaatan
3) Menggeruni azab yang akan dikenakan terhadap
yang berdosa
4) Mengharapkan rahmat dan hidayat daripada Allah.
5) Allah
tumpuan cinta dan kasih sayang
6) Allah tempat memohon keselamatan di dunia dan
akhirat
7) Allah menjadi tumpuan mohonan diampunkan dosa
dan segala kesalahan
8) Mohon hanya kepada Allah yang dapat
mempermudahkan urusan di Hari Hisab
9) Memohon dari Allah husnu al-khatimah
10) Memohon dari Allah semoga diri dan keluarga dan mereka yang dikasihi tergolong di kalangan
mereka yang sama menerima nikmat syurga
dan dijauhi dari azab api neraka.
Dan banyak lagi persoalan ketasawufan yang
dapat dihayati dari berbagai perkara yang berhubung dengan ketuhanan yang dapat
dihayati dari Al-Qur`an.
Sekian.
No comments:
Post a Comment