June 27, 2016

ISTILAH ISYARAT PERSOALAN


BBB,  21  Ramadhan 1437 =  26  Jun 2016 (Ahad):


Selalunya nama mencerminkan sifat atau sebaliknya dan daripada nama memberi  sedikit  kefahaman tentang yang dinamakan. Nama misalnya  `Al-Qawiyy`, Al-Sami`, Al-Basir, Al-`Alim` dan sebagai memberi kita kefahaman  tentang Allah yang bersifat `Berkuasa, Mendengar,  Melihat, Mengetahui dan sebagainya`. 

Berhubung dengan  `Sufi` nama `ism fa`il adalah nama awal yang diberi kepada orang yang mempunyai `watak tasawuf` yang mana istilah ini lahir selepas abad pertama Hijrah yang pada zaman tersebut berlaku pertumbuhan keilmuan dan perbahasan yang bersifat intelektual. Istilah ini mengambil tempat watak-watak yang membawa ciri sufi sejak dari zaman sahabah, iaitu  `Ubbad` dan `zuhhad`. Menurut Abu Nasr al-Sarraj, nama-nama sedemikian tidak diberi  pada zaman sahabat, lantaran gelaran `Sahabat` adalah gelaran yang istimewa mengatasi sebarang gelaran yang mau diberi, bahkan jika diberi nama selain dari sahabah merendahkan martabat mereka itu.
Tetapi selepas zaman sahabah mengapa diberi nama yang berwatak `kerohanian` ini dengan nama `Sufi` yang nama ini kemudian menjadi nama khusus sebagai identiti ketasawufan. Tentang peristilahan ini dan maksud-maksudnya antaranya dibincang oleh `Abdul Qadir `Isa di dalam bukunya yang berjudul `Haqa`iq `an al-Taswwuf` (1970: 16-18).
Sebagaimana disebutkan bahawa nama mencerminkan sifat yang dinamakan atau sebaliknya demikian dengan istilah `Sufi` yang daripadanya dikenali keilmuan pembawaan sufi adalah sebagai ilmu tasawuf. Nama Sufi (ism fa`il) dan tasawwuf (nama terbitan) ada hubungan dengan watak, sifat dan ciri ketasawufan itu sendiri.
Ada sekurang-kurangnya tujuh maksud penisbahan yang dikaitkan dengan  sufi` atau `tasawuf`:
1)      Suf bererti Bulu
Bermaksud istilah sufi atau tasawuf itu berasal dari kata `suf` yang bererti  bulu, iaitu menggambarkan perkelanaan jiwa sufi di dalam meningkatkan kualiti kerohanian diri. Dia tidak terikat dengan selain dari Allah. Dia bebas berkelana bagai bulu yang ringan ditiup dan diterbang angin ke sana ke mari. Dia tidak terikat dengan sebarang pemilikan, harta misalnya. Penyerahannya hanya semata-mata kepada Allah. Juga dikaitkan dengan kesufian ini, bahawa kalangan sufi yang bersifat zuhud dan kuat beribadat mesra berpakaian dengan pakaian yang kasar yang biasanya dibuat dari bulu kambing, biri-biri  dan sebagainya. Baju bulu ini lebih tahan dan menjadi lindungan terutama ketika menghadapi suasana kesejukan ketika beribadat dan munajat kepada Allah.
2)      Safa`  bererti  Bersih
Kata sufi memberi erti bersih, bahawa kalangan sufi amat mementingkan kebersihan. Bersih dari segi hati yang diusahakan kosong dari sifat-sifat keji dan menghiasinya dengan sifat-sifat terpuji. Bagi mencapainya tidak begitu mudah, tetapi perlu mujahadah dan melalui tahap-tahap peningkatan di dalam perjalanan kualiti kepada Ilahi. Bersama kebersihan hati ialah bersih dari segi minda seperti bersih dari akidah yang salah dan syirik, tetapi kukuh dengan akidah tauhid, juga berusaha dari lintasan-lintasan keji dari minda. Tumpuan hanya kepada Ilahi dengan berbagai-bagai pengibadatan. Bersih dari segi jasmani, antaranya mengelak dan menjauhi diri dari terlibat dengan perkara-perkara yang haram. Tidak terlibat dengan makan minum perkara haram, kerana maksud Hadith Nabi bahawa setiap tumbuh daging dari perkara yang haram, maka selayaknya ia menjadi bahan api neraka. Juga bersih dari segi pakaian yang antara warna keutamaan ialah pakaian berwarna putih yang melambangkan kebersihan.
3)       Berasal dari kata Suffah
Ya`ni kata tasawuf berasal dari kata Al-Suffah yang merujuk kepada `Anjung Masjid Madinah` yang dibina oleh Rasulullah sebaik berhijrah ke Madinah. Pada anjung ini para sahabat Rasulullah yang berhijrah  pada peringkat awal berlindung diri – berjumlah ratusan orang, sebelum mereka mendapat kediaman. Keadaan hidup mereka adalah susah dan serba kekurangan, tetapi mereka  bersabar yang melambangkan jihad mereka dengan jiwa raga mereka, bahkan harta dan kesenangan yang terpaksa ditinggalkan demi perjungan Islam. Sifat mereka tercermin pada watak- dan pembawaan sufi yang tidak mementingkan kesenangan dan keselesaan. Tumpuan adalah kepada ibadat dan m,endekati kepada Allah.
4)      Berasal dari kata Al-Saff
Mencerminkan bahawa mereka yang memberi keutamaan bagi mendekati diri kepada Allah – termasuklah membuat kebajikan dan kebaikan  adalah ibarat orang yang berada pada saf atau barisan pertama dan utama di dalam solat. Mereka adalah ke hadapan terawal dan berada pada bahagian terawal di dalam beribadat dan juga di dalam melakukan kebajikan
5)      Berasal dari kata Sifat (Kebaikan)
Mereka disifatkan kalangan  mereka yang  suka melakukan kebaikan – Sifat ini  menjadi identiti  dan disifatkan  kepada mereka.
6)      Berasal dari kata Al-Sufanah
Al-Sufanah ialah tumbuhan bebawang yang tumbuh di padang pasir yang di dalam suasana yang keras, tidak berhujan dan berada diterik mentahari di waktu siang dan sejuk di waktu malam, tumbuhan ini dapat hidup dengan segala kekurangan di celah batu dan padang pasir yang panas terik. Demikianlah dilambangkan kepada jiwa dan kehidupan para sufi yang antara mereka memencikan diri di pinggir dan hidup susah, tetapi mereka tetap cekal dengan kehidupan yang keras tersebut. Mereka amat sabar dan cekal di dalam menghadapi ujian di dalam usaha beribadat dan mendekati diri kepada Allah.
7)       Berasal dari kata Sophia
Ini adalah pendapat Al-Biruni (m. 440H.) seorang tokoh Falsafah dan Sains Islam. Beliau mengaitkan istilah tasawuf sebagai berasal dari kata (Sophia) – kata Yunani yang bererti `Hikmah` dan `Bujaksana`. Dari kata ini juga istilah Philosophy. Bermaksud istilah ini masuk ke dalam perbendaharan keilmuan Islam semasa bertembung dengan budaya intelektual Yunani yang terkenal dengan tokoh Plato dan Aristotle.  Kata ini dipinjam bagi istilah sufi yang menggambarkan, kalangan sufi ini juga adalah dari kalangan intelektual dan pemikir yang memberi sumbangan keilmuan di dalam Islam  di samping mereka  hidup secara kesufian.
Demikianlah  istilah tasawuf atau sufi dikaitkan dengan istilah yang berbagai-bagai maksud yang gambaran dari istilah-istilah berkenaan termanifestasi di dalam kehidupan dan  pembawaan kesufian. Ia merupakan satu dimensi kerohanian di dalam Islam. Walau bagaimana kesufian di dalam Islam tidak semestinya terikat dengan semua atau sebarang peristilahan berkenaan. Lantaran perkembangan tasawuf di dalam Islam mempunyai pendekatan dan perkembangan tersendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment