BBB, 23
Ramadhan 1437 = 28 Jun
2016 (Selasa):
Daripada definisi atau takrif yang telah
dikemukakan oleh enam tokoh sufi, iaitu
Al-Junayd, Al-Tustari, Dhu al-Nun al-Misri, Zakariyya al-Ansari, Ahmad
Zarruq dan Hasan al-Shadhili dapat
dilihat jumlah persoalan adalah dalam lingkungan 30 persoalan. Tapi ada
pertindihan persoalan dan dapat
dirumuskan kepada:
1) Allah
2) Bersih diri – Akhlak (Tazkiyat al-Nafs)
3) Ubudiyyah – Ibadat
4) Persoalan Hakikat
5) Kebahagiaan Abadi
Perbincangan
1) Allah
Telah dibicarakan bahawa Allah - Ketuhanan adalah persoalan utama di dalam
tasawuf, bahkan kata al-`Arif bi Allah Ahmad bin Muhammad bin `Ajibah al-Hasani
di dalam Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam bahawa Allah adalah maudhu` utama bagi
tasawuf. Dia adalah Dhat Yang Maha Tinggi, kerana bahawasanya dibicarakan bagi ma`rifaf tentangNya sama ada dengan
burhan seperti menurut pendekatan akidah atau dengan shuhud dan `iyan secara
kerohanian. Maka pada peringkat pertama ialah bagi para tullab dan berikutnya
bagi mereka yang tiba pada peringkat kesampaian
(Iqaz al-Himam:tt: 5).
Tidak ada perbedaan tentang kewajipan
mengenal Allah. Di dalam ilmu akidah adalah ditekankan bahawa `Awal ma`rifat
mengenal Allah``.
Adapun di dalam tasawuf, ibarat dan
ungkapan tentang ma`rifat Allah adalah secara intuitif dan seni. Misalnya Abu
Nasr al-Sarraj mengulas tentang ma`rifat
berdasarkan ayat Al-Qur`an (ayat
Kursi) bermaksud:
``Dan tidak meliputinya , ya`ni mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari
(kandungan) ilmu Allah, melainkan apa yang Allah kehendaki`` (Al-Baqarah: 255).
Menghuraikan maksud ma`rifat berdasarkan
ayat Al-Qur`an di atas, maka Abu Nasr al-Sarraj memetik ungkapan Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq
mengungkapkan di dalam tasbihnya bermaksud:
``Maha Suci Allah yang tidak menjadikan
bagi makhluk jalan untuk ma`rifat kepadaNya, melainkan dari segala kelemahan
bagi ma`rifatNya.`` (Al=Luma`: 57).
Sebagaimana di dalam akidah ada pendekatan
bagi mengiktiqadkan tentang Allah, maka di dalam tasawuf tariqat bagi
`mentaqarrub` kepadanya secara kerohanian yang didekati dalam tasawuf.
2) Bersih
Diri – Akhlak (Tazkiyah al-Nafs)
Sebagaimana di dalam syari`at - di
dalam fiqh bagi mendekati Allah, contoh bagi mendirikan solat kepada Allah
memerlukan kebersihan dari hadath kecil dan besar, bersih batin (akidah) dan
zahir (seperti pakaian dan tempat solat), maka di dalam tasawuf juga memerlukan
kebersihan diri bagi munajat dan `mendekati`` Allah Ta`ala. Istilah digunakan
ialah `tazkiyat al-Nafs`. Ia merupakan
persediaan diri.
Pendekatan yang paling penting membersih
diri ialah secara pendekatan akhlak. Pendekatan ini adalah mengikut jejak dan
misi perutusan Baginda, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah
s.a.w. contoh ikutan yang baik .`` (Al-Ahzab: 31).
Juga firman Allah bermaksud:
``Sesunggauhnya engkau mempunyai akhlak
yang agung.` (Al-Qalam: 4).
Dan Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda
bermaksud. ``Aku dibangkitkan bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak.``
Sesungguhnya pendekatan keakhlakan adalah
pendekatan tasawuf yang popular dan merupakan pendekatan Sunni yang kukuh.
Pendekatan mengenainya di terokai
peringkat awal oleh Al-Harith bin al-Asad al-Muhasibi (m. 243H.) terutama dengan
karangannya yang berjudul `Al-Ri`ayat li
Huquq Allah, kemudian dilengkap dan diolah secara lanjut oleh Al-Ghazali
(505H/1111M.) terutama dengan karyanya Ihya` `Ulum al-Din.
3. Ubudiyyah
Bermaksud memperhambakan diri kepada Allah
dengan mengikuti segala suruhan dan menjauhi segala larangan. Antaranya ialah
dengan mematuhi aturan shariat seperti ibadat,muamalat munakahat, jinayah dan jihad. Sesungguhnya
ibadat adalah merupakan pendekatan yang paling utama di dalam mendekati Allah.
Tidak sempurna dari segi tasawuf tanpa ibadat. Sebagaimana kata Imam Malik r.a.
``Siapa bertasawuf dan tidak berfiqah
sesungguhnya membawa kepada zindiq dan siapa berfiqah dan tidak bertasawuf
membawa kepada fasiq Dan siapa yang menghimpun antara keduanya dia mencapai
tahqiq.`` (Iqaz al-Himam: 5)
4. Persoalan Hakikat
Pembicaraan tasawuf sebenarnya lebih
daripada membicarakan persoalan zahir yang dilihat dan dialami secara
hatian, tetapi ianya membicarakan persoalan yang bersifat hakikat dan
kebenaran. Misalnya tentang Ketuhanan, kebenaran, tujuan hidup, tentang baik
buruk, bagaimana usaha berada pada jalan yang benar dan diredhai Allah,
persoalan dunia akhirat, erti hidup mati, keakhiratan, kemanusiaan, cinta dan
kasih sayang dan berbagai-bagai lagi. Tasawuf adalah salah satu cabang falsafah
murni Islam di saamping ilmu akidah usul al-Fiqh.
5.
Kebahagiaan Abadi
Soal bahagia adalah juga soal nisbi dan
falsafah. Apa itu hakikat bahagia ?
Antara bahagia `Mengenal Allah`
Kesungguhan mencari ilmu sebagai tuntutan
kelazatan akli.
Mendapat Hidayah daripada Allah.
Menjalani kehidupan di atas sirat yang
betul
Memohon mendapat ganjaran syurga.
Dan banyak lagi persoalan `bahagia` yang
dapat dibicarakan. Aspek-aspek berkenaan dibincangkan di dalam tasawuf menurut
perspektif dan intuisi ketasawufan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment