June 23, 2016

TASAWUF JUGA MENJELMA DALAM SENIBINA


BBB,  17  Ramadhan  1437  =  22  Jun  2016 (Rabu):


Seni budaya dan seni rohani yang berada di dalam  diri  mampu mengalir dan menghasilkan sesuatu hasil kerja yang dipengaruhi oleh orientasi  seni  dalaman diri. Betapa  seni yang subjektif ini  menjadi sebagai benih atau  prototype atau data asal yang tersimpan dalam jiwa dan bila sesuatu hasil seni dihasilkan maka keaslian  ini turun mewarnai sesuatu hasil kreativiti yang dihasilkan.  Kadang-kadang elemen yang tersimpan  bersifat dalaman bersifat kelompok yang menjadikannya sebagai budaya yang mengidentitikan kelompok berkenaan. Sebagai contoh persoalan imej yang menjadi identiti budaya bagi kelompok atau lebih besar bagi masyarakat seperti dalam pembinaan rumah bagi katakan masyarakat di Negeri Sembilan terkenal dengan bumbung berbentu tanduk kerbau, negeri Melaka dengan tangga rumah yang kukuh dan menarik, Terengganu dengan berbentuk limas dan berbuah butung dan sebagainya.
Bagi  jiwa kesufian yang mempunyai rasa kelembutan dan kekudusan juga mampu mengalir kepada kehalusan dan kekudusan seni bina melalui rekacipta seni bina yang kreatif dan bersifat kudus. Contoh yang dekat dengan kehalusan rasa dan kekudusan cipta ialah seni bina masjid. Seni bina masjid adalah lebih halus lantaran ianya merupakan senibina yang bersifat kejiwaan dalam mengagungkan Allah dan bertambah dengan kekudusan dari jiwa yang tunduk dan khuduk kepada Allah dengan ditambah dengan perasaan kasih cinta. Seni bina masjid ini  sudah menjadi imej dan identiti umum yang terhimpun pada rekabentuk dan kehalusannya adalah himpunan tanggapan berbagai arkitek terhadap bentuk seni bina masjid sehingga umumnya ianya menjadi imej  dan identiti dominan bagi masjid, kecuali ada yang benar-benar  mampu menyimpang dari imej dan identiti dominan, tetapi tetap dikenali sebagai masjid.
Dari manakah rumusan imej dan identiti bagi nasjid terhimpun sehingga ianya  menjadi imej dan identiti sebuah masjid. Ianya ditimba dari jiwa dan  alamiah dan berlaku di dalam masa yang panjang dan mungkin berlaku pengaruh dan pertindihan imej dan identiti yang menjadikannya berasimilasi dan  diterima sebagai kesatuan yang mengharmonikan. Sumber dalaman tidak lain dari rasa jiwa kudus  dan taabbudiyyah hamba terhadap Pencipta Yang Maha Agung, Maha Perkasa, bahkan Maha Indah dan Sempurna dan juga dari bentuk dan imej alamiah yang disifatkan sebagai indah, kudus dan mengharukan. Sebagai contoh bentuk bulat yang dianggap paling perfect dan lambang kesempurnaan yang ada pada bumi dan bulan dan apa saja yang berbentuk bulat, bentuk  memanjang memanjang pada jalan dan berbagai garisan yang panjang, bentuk semi bulat yang ada pada jenis buah-buahan seperti apple, limau   dan berbagai-bagai lagi yang semi bulat, bentuk berombak pada sesuatu objek seperti ombak dan rumpun padi ditiup angin  dalam relung-relung padi, bentuk  lonlong  seperti pada sarang tempua, bentuk rendang atau tinggi melempai pada bentuk pokok, bentuk bengkang bengkok dengan sesuatu yang berlari di dalamnya seperti bentuk sungai yang mengalir deras atau perlahan bagi air sungai tersebut,  bentuk tinggi rendah bersifat bongkok seperti pada bukit bukau dan gunung ganang dan berbagai-bagai lagi bentuk dan rupa yang dapat dihayati dari segala rupa dan bentuk alamiah. Penghayatan terhadap bentuk-bentuk dan kejadian-kejadian yang menarik dan indah berkenaan bukan setakat indah dan menarik tetapi kagum, luhur, halus,  seni dan kudus terhadap ciptaan tabi`i Ilahi berkenaan. Bagi seniman-sufi yang mempunyai jiwa seni rohani segala ciptaan Allah yang seni dan rohani ini ditiru dan dipindah secara kreatif pada seni bina masjid lantas dapat dilihat objek-objek seni yang kudus dan murni.
Dengan tidak mengambil satu masjid khusus, tetap ianya ada pada masjid-masjid yang  menjadi identiti masjid. Masjid biasanya mengambil tapak yang lebih tinggi dan berada di tengah-tengah kawasan kependudukan bagi memudah untuk di datangi dan kelihatan dari mana arah sebagai identiti setempat. Bagi masjid misalnya bentuk bulat bujur yang menyerupai misalnya bentuk bebewang atau telur terdapat elemen sedemikian pada kubah masjid yang menjadi objek terindah masjid.
Bentuk panjang menegak meluru ke atas bagi mau melumcur ke ruang tiada tepi diambil dari bentuk batang  dan sebagainya bentuk ini digunakan bagi menara atau menara-menara yang juga menjadi identiti domionan bagi masjid. Ianya juga melambangkan perjalanan rohani kejiwaan di dalam mi`raj kepada Yang Maha Tinggi. Bentuk bulat juga digunakan bagi tiang-tiang masjid yang mengambil bentuk yang sempurna.
Bentuk dominan bagi masjid juga ialah bentuk semi bulat (lengkung) yang kelihatan seperti bujur tunduk yang asalnya dari bentuk bulat. Bentuk ini banyak digunakan sebagai bentuk pintu-pintu tingkap dan berbagai lengkung  bagi dinding dan ruang dalam masjid. Ianya mencerminkan sifat khusyuk, tunduk, hormat sesuai dengan jiwa jamaah yang beribadat di masjid yang melahirkan ketaatan, kepatuhan dan kesetiaan terhadap Allah. Bentuk semi bulat dan lengkung ini juga digunakan bagi mihrab dan ruang-ruang-lengkung  yang mana sesuai untuk masjid.
Ruang yang paling dominan dan tumpuan utama yang mengambil bentuk padang ialah ruang utama masjid tempat terhimpun para jamaah bagi menunaikan solah atau berada di dalam majlis ilmu. Bentuk terbuka dan bebas untuk dihuni dan memilih tempat seperti pada saf yang memang digalakkan memenuhinya lebi awal mencerminkan sifat jamaah dalam Islam dan juga demokrasi bagi mereka bagi mengambil tempat dan hak bagi diri mereka.
Di dalam konsep ruang terbuka yang bersifat kemasyarakatan, maka di dalam ruang masjid ada bahagian hadapan yang dikhususkan bagi imam memimpin solat. Ini mencerminkan konsep dan falsafah kehidupan kemasyarakatan di dalam Islam perlu ada kepimpinan yang memimpin jamaah. Segala apa yang dilakukan oleh Imam menurut peraturan hendaklah diikuti dan dipatuhi oleh jamaah yang mencerminkan kemasyarakatan di dalam Islam. Konsep kepimpinan ini bukan sahaja pada ibadat solat tetapi juga  dengan khutbah-khutbah yang disampaikan oleh khatib yang kadang-kadang merangkap Imam perlu dipatuhi kepada arahan dan nasihat-nasihat. Pada bahagian hadapan dan mengepalai jamaah ialah guru-guru yang mengajar yang biasanya mengambil ruang hadapan dan berada pada tempat yang lebih sedikit tinggi untuk memudahkan kelihatan yang melkambangkan kepimpinan guru dan ulama yang mempunyai keilmuan dan mampu menyampaikan pengajaran terhadap orang ramai.
Di dalam masjid juga ada pengajaran aturan dan adab, misalnya ruang bagi wudhu`  berada pada bahagian belakang – permuklaan masuk kiri dan kanan  bagi memudahkan mengambil wudhu` yang melambangkan syarat perlu bersih diri dan jiwa bagi beribadat dan juga bila berada pada tempat ibadat. Begitu juga bagi melambangkan kebersihan, bahagian ruang toilet hendaklah berada jauh sedikit dari kawasan binaan utama masjid dan biasanya erpisah sedikit bagi menjamin kebersihan dan bau yang tidak menyenangkan.
Dari segi adab dan kesusilaan bahawa bahagian muslimat biasanya berasingan , umpamanya pada tingkat yang lebih atas atau dibataskan dengan screen pada bahagian di belakang.
Masjid sebagai identiti umat dan masyarakat dan menjadi tempat tumpuan kunjungan menyediakan keperluan yang bersifat fizikal untuk bersolat dan berjamaah. Ianya menyediakan berbagai keperluan pendidikan dari segi kerohanian dari segi bentuk secara tidak langsung dan pendidikan secara langsung. Ianya merupakan tempat ibadat, pendidikan dan keheningan jiwa  dan mental.
Pada masjid terhimpun  elemen ketaabbudiyyah, kekudusan dan kemasyarakatan. Lambang-lambang baginya dapat dihayati dari seni binanya.

Sekian.


No comments:

Post a Comment