June 22, 2016

MANIFESTASI TASAWUF DALAM SASTERA


BBB,  16  Ramadhan  1437 =  21 Jun 2016 (Selasa):


Mengambil ta`rif tasawuf oleh Al-Junayd tokoh sufi Sunni, bahawa,
``Tasawuf ialah mengamalkan segala  nilai akhlak yang tinggi dan meninggalkan segala akhlak yang keji.`` Ditambah lagi dengan pendapat, ``Tasawuf semuanya  akhlak, maka barang siapa bertambah dengan akhlak, maka bertambahlah ketasawufan.`` Manakala Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili berpendapat, ``Tasawuf ialah mendidik diri dengan ubudiyyah menurut hukum-hukum Rububiyyah.`` (`Abdul Qadir `Isa, Haqa`iq  an al-Tasawwuf, 1390/1970: 14).
Dari ta`rif di atas terbayang pada mata lahir dan mata fikir kita tentang watak seorang sufi yang diorientasikan dengan keilmuan tasawuf bahawa watak berkenaan.
1)      Seorang yang kuat beribadat
2)      Seorang berilmu, termasuk  dalam bidang rohani
3)      Seorang yang berakhlak tinggi - jujur dan taqwa.
Dan dapat ditambah lagi dengan ciri-ciri perwatakannya. Kesufian bukan terhad pada pembawa peribadi seseorang sufi semata-mata, tetapi pandangan dan orientasi kesufian juga memberi kesan dan termanifestasi pada hasil-hasil yang dilakukan, khususnya di dalam bidang seni lantaran kesufian dengan kehalusan dan kelembutan jiwa bisa mengalir bersama dengan kehalusan seni bersatu dan termanifestasi di dalam kerja-kerja seni.  Kata Iqbal:
`` Islam memberi kesan kepada jiwa sufi dari segi keindahan dan kesempurnaan, termanifestasi pada jiwanya rasa keinsanan yang tinggi dan persaudaraan global (alamiyyah). Ciri pada ketasawufan ini tidak terdapat pada kalangan fuqaha` dan mutakallimun.`` (Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi, Al-Luma`, 1380/1960: 9-Pengantar).
Tasawuf dikaitkan dengan Muhammad Iqbal relevennya  lantaran  Iqbal seorang tokoh ilmuan (Pakistan) yang mengkaji bidang metafizik Islam (tasawuf) dan seorang penyair terkenal dunia, maka pengaruh tasawuf ketara mengalir dan termanifestasi di dalam puisi-puisinya, khususnya puisi Asrar Khudi Iqbal, bersama dengan unsur tasawuf berbaur dengan nafas perjuangannya bagi menegakkan negara Pakistan. Dalam menggerakkan cita-cita mendirikan negara Pakistan, Iqbal mau masyarakat umat Islam di India (sebelum wujud Pakistan) bergerak bersatu dengan kekuatan sendiri menuntut sebuah negara Pakistan diwujudkan, kata Iqbal:
`Mengapa tidak mengalir sungai hatimu ?
Dan kenapa peribadimu tidak terpancar Muslim hakiki ?
Apa gunanya bermuram durja dan mengeluh takdir Ilahi ?
Mengapa tidak kau sendiri menjadi Pencipta takdirmu ?
(Iqbal Asrar Khudi, Terjemahan  Rangkuti, 1976: 33).
Iqbal tidak sempat melihat kelahiran negera Pakistan. Beliau menghembus nafas terakhir (1947) sebelum kelahiran Pakistan (1948), tetapi beliau mengharapkan perjuangannya diteruskan oleh pejuang-pejuang yang lain, kata Iqbal:
``Melodi selamat tinggal akan menggema atau tidak
Naferi akan berbunyi dari Hijaz atau tidak
Hari faqir ini telah sampai pada batasannya
Pujangga yang lain akan datang atau tidak.``
(Asrar Khudi: 110).
Pakistan akhirnya lahir sebagai sebuah negara merdeka.
Puisi Iqbal di atas adalah tebal dengan jiwa keislaman, seni sufi dan seni sastera yang meningkatkan mutu perpuisiannya  (seperti rangka Teori Takmilah) yang bukan saja dianggap sebagai penyair Islam, tetapi Penyair Dunia.
Di kalangan penyair Melayu Nusantara Amir Hamzah adalah seorang penyair yang mensublimasikan cinta kasih pada seorang perempuan yang dikasihinya kepada Cinta Ilahi bernada tasawuf di dalam banyak puisi yang dihasilkan seperti Kumpulan Buah Rindu, Nyanyi Sunyi dan Setanggi Timur. Contoh puisinya yang bernada Ketuhanan dan Ketasawufan:
PADAMU JUA
Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padaMu
Seperti dahulu.
Kaulah Kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu.
Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa.
....                                   (Nyanyi Sunyi, 1963: 5).
Tema ketasawufan juga diungkapkan oleh Hamka, seorang tokoh sufi yang mengarang karya-karya tasawuf dan juga seorang sasterawan terkenal. Beliau mengarang novel, cerpen, bahkan puisi:
Novel  ringkasnya `Di Bawah Lindungan Ka`abah`  indah bertemakan cinta suci antara dua kekasih Hamid dan Zainab yang tak kesampaian dan Hamid  membawa diri ke Makkah. Cerita   - berlatarbelakangkan tanah Suci Makkah. Hamid meninggal dunia di Makkah. Ceritanya begitu indah dan menyayat hati  mengingat dan mengisaffkan kita tentang kekuasaan Ilahi. Tema-tema cinta suci juga terdapat di dalam novel Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Ven der wik.
Assimilasi antara unsur tasawuf yang merupakan seni rohani  bersama  dengan seni sastera dan kreativiti penulis mentakmilahkan hasil sastera sebagai hasil sastera yang bermutu tinggi dan dikagumi.

Sekian.


No comments:

Post a Comment