June 21, 2016

ILMU FAKTOR PENTING TASAWUF


BBB,  15  Ramadhan  1437  =  20  Jun  2016 (Isnin):


Apa jua pegangan dan amalan seharusnya  berasaskan ilmu agar pegangan dan  amalan adalah betul. Tasawuf sebagai bukan ilmu  fardhu, tetapi sebagai pelengkap dan menyempurnakan  juga perlukan berasas keilmuan.  Sebenarnya  tasawuf lebih rumit dan subjektif  tiada rangka pendekatan konkrit berbanding dengan keilmuan seperti fiqh misalnya kerana ilmu tasawuf menurut  Al-Qadhi Shaykh Zakaria al-Ansari.r.h.a (m. 929 H.:
``Tasawuf ilmu dikenali dengan ahwal nenbersih diri (jiwa), menggilat (tasfiyah) akhlak, mengimarah dari segi lahir dan batin bagi mencapai kebahagian abadi.`` (Abdul Qadir `Isa, Haqa`iq  `an al-Tasawwuf: 13).
Menurut Shaykh Ahmad Zarruq pendukung Tariqat Shahdhili bahawa,
``Tasawuf nisbah dari segi keagamaan, ialah nisbah ruh kepada jasad, kerana bahawasanya ia  berada pada maqam, ihsan yang ditafsir oleh Rasulullah s.a.w. tatkala ditanya kepada Baginda oleh Jibril a.s. bahawa `Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, dan jika engkau tidak melihatNya, maka Dia melihat engkau.`` maksud  al-Hadith. (Ahmad bin Muhammad bin al-`Ajibah al-Hasaniyy, Iqaz al-Humam: 8).
Dengan keilmuan menunjuk jalan dan liku-liku yang betul untuk dijalani, tanpa keilmuan boleh  menyesat dan merosakkan, lebih-lebih lagi keilmuan tasawuf ini bukan keilmuan yang berciri akli semata-mata, bahkan digolongkan di bawah keilmuan yang ma`rifat dan rohani sifatnya.
Keilmuan ini bukan sesuatu ilmu yang tersendiri dan terasing, tetapi dia datang menyempurnakan keilmuan yang asas dan utama. Sebagai contoh tasawuf tidak berdiri sendiri, tetapi keilmuannya semestinya berasaskan akidah yang betul, amalan syariat yang sebenar dan akhlak yang elok. Bahkan keilmuan-keilmuan inilah menjadi teras ilmu dan amalan, sedangkan tasawuf datang menyempurna dan memperelokkannya.
Ada lima peringkat yang dapat dilihat kepentingan keilmuan – termasuk aspek ma`rifat (kerohanian dan keihsanan).
1)       Melepas diri dari kejahilan
Ia merupakan peringkat paling awal, bahawa seseorang itu perlu mempelajari dari peringkat awal dan asas. Sebagai contoh bagi menunaikan aspek-aspek ibadat yang difadhukan seperti solat umpamanya. Seseorang itu tidak dapat melakukan amalan solat tanpa mempelajarinya dari peringkat awal bermula dari kaedah bersuci hingga memahami rukun-rukun dan sunat-sunat, kemudian dapat mempraktikk dan mengamalkan tuntutan fadhu itu. Bagi tasawuf umpamanya mempertingkatkan kehalusan yang bersifat kejiwaan dan kerohanian semaksimum yang boleh, lantaran solat adalah merupakan mi`raj  rohani kepada  Ilahi didalam meningkatkan kualiti perjalanan rohani di dalam mendepani Allah Ta`ala  seperti peningkatan dari segi kekhusyukan dan ta`abbudiyyah kepada Allah.
2)      Peringkat Mengamalkannya
Adalah peringkat yang menjadi tujuan utama, bahawa keilmuan yang dipelajari ialah untuk mengamalkannya. Didalam mengamalkan ketasawufan ini ia dapat berlaku secara serentak lantaran menyempurnakan. Contoh tasawuf serentak berlaku dan menyempurnkan seseorang dari segi akidah, amalan syariat dan tasawufnya. Dan boleh ditambah yang lain lagi seperti akhlak dan sebagainnya.
3)       Menjadi piawayan dari keilmuan dan amalan
Mendapat ilmu bererti mendapat piawayan maklumat sesuatu bidang keilmuan. Di dalam menunaikan solat, yang berilmu dan tahu hukum dapat membezakan antara amalan yang wajib  (rukun) dan mana yang sunat. Dia tidak sewenang-wenang menegur seseorang yang tidak melakukan sesuatu yang sunat atau meninggalkan aspek yang sunat, kerana diketahuinya status sunatnya. Demikian juga dari segi ketasawufan yang lebih halus sifatnya. Misalnya antara keutamaan dari segi pergaulan yang diharuskan atau dengan meninggalkan.
4)       Mempertingkatkan keilmuan
Dalam tradisi keilmuan, ianya tidak bersifat statik dan beku. Ianya bertambah dan berkembang dengan  perkembangan persoalan semasa, iaitu melalui penyelidikan, lahirnya perkara-perkara baru yang memerlukan fatwa (dari pihak beratoriti) dan penghasilan keilmuan tambahan dengan lahirnya ilmuan  dan tokoh seperti lahirnya Al-Zuhaily (al-Marhum) yang menghasilkan tafsir dan keilmuan lain, juga lahirnya  Dr Yusuf al-Qaradhawi yang banyak menghasilkan buku-buku fiqh semasa yang kita dapat merasa kesegaran idea dan pendapatnya, khususnya persoalan semasa. Demikian juga dengan bidang  kerohanian dengan lahirnya tulisan terbaru misalnya dari Dr. Abdul Halim Mahmud yang banyak menulis dan menghuraikan aspek-aspek  tasawuf dan kerohanian.
5)      Dinamika dan keindahan ilmu
Baik ilmu umum dan khususnya keilmuan tasawuf, bahawa wadah ilmu adalah makanan akli dan rohani, ia adalah merupakan kelazatan bagi penuntut-penuntut ilmu yang bagi pihak luar tidak menyedari, bahkan tidak mengerti. Kesyikan terhadap ilmu dan mencintainya adalah mekanisme memajukan ilmu dan yang mempelajarinya. Sebenarnya golongan ilmuan dan ulama adalah mereka yang benar-benar mempertingkatkan  kualiti peradaban yang meningkat  insan dari generasi ke generasi. Keilmuan adalah mencerminkan kebijaksanaan dan kerohanian mencerminkan keluhuran rohani. Keilmuan dan kerohanian sebenarnya yang mengindahkan kehidupan dan melohorkan kerohanian.
Adalah  indah dan tepat Sabda Rasulullah yang membandingkan bahawa:
Iman  adalah keyakinan
Islam  Ilmu dan amalan
Ihsan kerohanian menyempurnakan.
Ibarat ketiga-tiganya bagi sebuah bangunan, maka iman adalah tapak yang kukuh, Islam adalah binaan yang teguh dan kerohanian adalah estetika yang menyempurnakan bangunan.

Sekian.


No comments:

Post a Comment