BBB, 08 Ramadhan 1437 = 13 Jun 2016
Isnin):
Tidak
dapat dinafikan bahawa insan adalah sesempurna makhluk kejadian. Ini
ditegaskan oleh Allah dalam Al-Qur`an
al-Karim, bermaksud:
``Sesungguhnya Kami jadikan insan sesempurna kejadian``.
(Al-Tin: 4).
Kesempurnaan dapat dilihat dari segi
bentuk kejadian yang sederhana dari segi bentuk fizikal, tidak terlampau kecil dan tidak terlampau
besar hingga menyukarkan pergerakan, tegak kepala ke atas menjunjung mahkota kemuliaannya,
iaitu akal. Semua deria utama berada pada bahagian kepala ini dari penglihatan,
pendengaran, penciuman, perasaan dan
penyentuhan. Pada bahagian tengah binaan tubuh terletak hati nurani yang
diibaratkan sebagai sentral diri yang pada bawahnya tangki bagi tenaga diri
yang bahannya dimasukkan melalui saluran mulut.
Manakala pada bahagian tengah bawah ialah ialah alat kelamin yang
produktif bagi melanjutkan turunan manusia bersama pasangannya. Dua tangan pada
bahagian atas kiri kanan dan dua kaki pada bahagian bawah ialah sebagai roda pergerakan diri dengan dua
tangan sebagai pengawal dan pengimbang
dan mengambil dan memberi.
Binaan diri dan komponan di atas sebenarnya,
bukan setakat struktur dan posisi binaan badan itu semata-mata. Sebenarnya fungsi setiap satu daripadanya mempunyai
isyarat bagi sesempurna kejadian di atas yang dilengkap oleh Pencipta, selepas
ianya melalui kejadian pada peringkat janin dari kandungan perut ibu dari
peringkat benih kepada ketul darah kepada ketul daging yang disalut tulang
temalang dan lahir sebagai bayi yang lengkap sempurna kejadia (Al-Mu`minun, 12
-14).
Sebenarnya pada mahkota kepala insan – bernama
akal itu memberi isyarat bahawa potensi ini adalah boleh dikembang bersama
dengan bahagian yang lain melalui didikan
yang memungkin seorang insan memahami ciptaan Allah - beriman denganNya. Melalui potensi akal
memungkin insan meneroka alam, membongkar rahsia-rahsia hakikat ciptaan Allah.
Menggunakan segala kemudahan bagi pergerakan dan kemudahan komunikasi. Mereka
jelas berbanding dengan kejadian-kejadian yang lain adalah Khalifah yang
dilantik Allah mentadbir bumi
(Al-Baqarah: 30). Dan Alam kejadian yang maha luas ialah wadah keilmuan
yang boleh diteroka insan, maka sebagaimana pernah dikatakan tidak mustahil
pada masa mendatang, ia adalah ruang pergerakan insan yang menjelajah antara planet
ke planet dan dari bintang ke bintang
setelah mereka mampu merekacipta peralatan yang dicabar Allah mencipta
peralatan bagi menguasainya (Al-Rahman:
33).
Kejadian semua inderawi yang lima, bukan
setakat kejadian biasa, tetapi melalui inderawi yang berpemerintahan di akal
dan berkawal dihati adalah sebagai
jendela yang melihat segala fenomena alam dan membacanya yang dihantar ke pusat
pemerintahan dan pusat kawalan bagi dinilai untuk memanfaatkan sesuatu yang
ditemui melalui penelitian akal. Demikian juga dengan pendengaran yang
menangkap segala gelombang bunyi yang dapat diteliti dan difahami. Telinga juga
adalah alat yang membaca segala melodi dan bunyi yang dapat dibaca secara pendengaran
dan bersekali menghantar rumusan kepada akal dan hati bagi menggunakan
kepentingan bagi potensi keinsanan. Keadaan yang sama berlaku kepada
penciuman, sentuhan dan rasaan yang
semuanya adalah sebagai medium maklumat yang disampaikan kepada akal dan hati
bagi simpanan maklumat dan kegunaan.
Sebenarnya
pada potensi akal, hati dan inderawi adalah sebagai pusat yang jika
diibaratkan diri sebagai sebuah negara,
maka pusat tamadunnya berada pada `Kota Akal` dan pusat peradaban berada
pada`Wadi Hati`. Proses pembinaan Kota
Akal dan Wadi Hati berlaku yang mencerminkan potensi insan berkembang maju dan
terus berlaku.
Walau bagaimana apa yang dibicarakan di atas
adalah dari aspek positif yang posisi berkenaan seharusnya diisi dan dipenuhi oleh insan. Tetapi dari
satu pihak ada aspek-aspek negatif sebagai
parasit yang menyerang dan merosakkan potensi dan kemajuan
insan. Kerosakan ini boleh berlaku dari
dalam dan dari luar insan itu sendiri.
Ini boleh berlaku:
1) Dalaman
a) Potensi diri insan yang sepatutnya berdaya maju
dari awal lagi tidak mempunyai ciri-ciri daya
maju dan tidsak menggerak kepada potensi maju dan
berkembang. Ia merupakan fenomena umum bagi kebanyakan manusia, tidak ada
padanya daya kemajuan apa lagi dari segi kepimpinan.
b) Diri insan yang mungkin dirosak oleh unsur dalaman
dari anggota-anggota diri misalnya anggota kelamin yang melambangkan nafsu yang
tidak dikawal dan boleh merosakkan, atau
dari anggota perut yang diibaratkan
kepada sifat haiwan yang tamak, dengki dan sebagainya. Begitu juga dengan
kerosakan darah yang diibaratkan sebagai syaitan yang bergerak
di dalam darah yang rosak seperti sifat marah dan bertindak di luar dari
rasional dan semuanya boleh merosakkan. Manakala bagi anggota tangan dan kaki
melambangkan perjalanan yang tidak betul, penyelewengan, korup dan sebagainya.
2)
Luaran
Sebagaimana diibaratkan diri sebuah negara
yang mempunyai pusat tamadun dan peradaban
di bawah pimpinan insan yang berwibawa. Maka sebagaimana dalam hubungan
antara negara secara realiti, maka ada masa oleh kerana bercanggah kepentingan,
perebututan kawasan dan mengawal atau
mau menguasai ekonomi, maka antara negara berlaku peperangan yang mengakibatkan
kalah perang yang melambangkan kerosakan tamadun dan peradaban manusia itu
sendiri dan bagi yang menang tidak semestinya mencapai hasrat yang diidamkan.
Permusuhan tidak semestinya hanya melalui
peperangan, ianya berlaku melalui sekatan, boikut dan sekatan.
Apa yang dibawa dari contoh di atas, insan di
samping mempunyai potensi berkembang maju di dalam membina tamadun dan
peradaban, tidak terkecuali dari menghadapi kerosakan dan kemusnahan dari dalam
dan lebih dari itu dari luaran. Persahabatan dan perseteruan adalah
episod-episod yang dilalui manusia di dalam kehidupan. Demikian bagi sebuah
negara di dalam membina tamadun dan peradaban. Kemajuan dan kerjasama di dalam
kehidupan melambangkan perkembangan dan
perjalanan yang baik bagi insan di dalam memperkembangkan potensi. Nilai yang
baik ini seharusnya dipupuk bagi perkembangan potensi diri tamadun dan peradaban. Sebaliknya musuh diri
dan manusia keseluruhan adalah nilai-nilai negatif yang disifatkan jahat yang
tidak terlepas dihadapi manusia dan keseluruhan. Bagi diri maka pertarungan
diri di dalam mencapai kemurnian dan kebersihan ialah musuh dalaman diri yang
dikenali dengan syahwat, kehewanan dan kesyaitanan. Bagi kelompok atau satu
negara juga menghadapi musuh dan seteru yang berbagai nama atas nama politik,
ekonomi dan kekuasaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment