April 8, 2018

FUNGSI MENCIRIKAN BENTUK DAN RUANG



BBB, 20 Rajab 1439H. = 07 April 2018M. (Sabtu):
Ciri-ciri  yang mengharmonikan seperti elemen bulat, bersamaan, bertentangan, berpasangan, berlawanan, berselang seli dan berpelbagaian sebenarnya tidak bererti, bahkan kosong tanpa berada tempatnya yang fungsional. Ianya ibarat sifat yang berdiri di atas zat. Sebenarnya tiada sifat atau ciri-ciri yang mengharmonikan tanpa berada pada tempatnya. Sifat berpasang, kerana dinisbahkan kepada dua yang fungsional, tiada pasangan tanpa ada dua yang berkenaan. Tiada bertentangan tanpa ada ruang sebelah menyebelah yang fungsional. Konsep pasangan itu datang apabila ada dua yang berpasangan.
Dari satu sudut pandangan yang lain lagi dapat dikatakan bahawa , ``Fungsi mencirikan bentuk.``
Sebagai contohnya ruang solat utama adalah tempat utama jama`ah menunaikan solat. Oleh kerana mereka yang berjama`ah ini, termasuklah mendirikan solat jumaat adalah dalam jumlah yang ramai. Dari fungsi ruang untuk menampung  jamaah, maka ianya ada ruang tengah dari binaan yang luas dan paling minimum dari tiang, agar ianya luas dan kelihatan ke hadapan, terutama pada khatib yang membaca khutbah dan imam yang memimpin solat. Juga guru yang mengajar di hadapan.
Bagi memenuhi fungsi bagi jama`ah ini juga ada ruang serambi (sayap) kanan dan kiri yang merupakan sebagai sayap yang agak luas yang tiap sebelah daripaanya dapat memuatkan lebih dari 500  jumlah jama`ah. Ruang ini disediakan bagi mereka yang tidak suka berada di dalam ruang berhawa dingin, kerana sejuk atau mengelak daripada penyakit. Penggunaan air-cond. pada ruang utama saja dapat mengekonomikan dari segi penggunaan tenaga letrik. Ruang minimum dari tiang ini juga dapat digunakan selepas ruang  utama ditutup selepas  isya`. Jadi ruang ini dapat diguna secara terus menerus sama ada pada siang hari dan malam hari. Pada ruang ini ada kipas-kipas siling dan tiang.
 Dari segi fungsi mencirikan bentuk ini bahawa sejak dari peringkat awal lagi Masjid Al-Umm diharap akan menjadi tempat kegiatan keilmuan – selain dari ibadat, antaranya bagi mendukung visi dan misi Bangi Bandar Ilmu. Lantaran itu bentuk dan ruang di dalam masjid selain dari ruang utama dan kedua-dua sayapnya  dan juga ruang muslimat pada tingkat satu untuk ibadat, maka sebahagian besar dari ruang-ruang  yang disediakan ialah untuk kegiatan keilmuan. Ianya juga merubahkan plan arkitek yang pada asalnya bersifat biasa, iaitu ada ruang utama untuk ibadat bagi muslimin dan ruang ibadat bagi muslimat pada tingkat pertama, ruang-ruang yang lain adalah untuk kegiatan-kegiatan keilmuan. Ruang-ruang berkenaan ialah:
·         Terdapatnya Dewan Seminar yang dapat disatukan dua bilik menjadi satu bila berlangsung seminar  yang memuatkan dalam lingkungan 100 peserta. Jika seminar bersifat kecil-kecilan, maka boleh digunakan satu daripadanya sebagai bilik seminar. Dewan Seminar ini terletak pada bahagian kiri tingkat satu.
·         Terdapatnya dua bilik kuliah untuk digunakan bagi pengajaran bagi berbagai-bagai  ilmu yang tiap satunya dapat memuatkan 50 peserta secara bermeja dan berkerusi. Bilik-bilik kuliah terletak pada bahagian belakang dari ruang solat muslimat.
·         Terdapat sebuah bilik IT dan perpustakaan yang juga terletak pada bahagian belakang bagi ruang solat bagi muslimat pada tingkat satu.
·         Sebuah lagi bilik seumpama bilik IT dan Perpustakaan adalah bilik tahfiz, iaitu bilik bagi mengajar dan melatih pelajar-pelajar tahfiz yang akan dibuka bila ada pelajar-pelajar dan guru-guru yang dapat mengendalikannya. Bilik ini juga pada tingkat satu.
·         Terdapat juga pada tingkat satu ini ialah bilik mesyuarat yang dapat  memuatkan ahli 50 orang  bermesyuarat. Tetapi bilik mesyuarat ini juga dapat digunakan bagi bengkel dan pebincangan-pebincangan ilmiah.
·         Manakala ruang di bawah tanah yang agak luas dapat diadakan konvensyen dan majlis-majlis ilmiah dalam skala lebih besar iaitu melibatkan  lebih tiga ratus orang secara bermeja dan kerusi. Ruang bawah tanah ini juga boleh digunakan bagi majlis jamuan perkahwinan, pertemuan-pertemuan dan sebagainya. Terdapat satu ruang `akad nikah` yang ruang ini juga boleh digunakan bagi bengkel pengajian dan sebagainya.
·         Perlu disebutkan sungguhpun ruang utama dan muslimat pada tingkat satu digunakan  bagi solat, tetapi kedua-duanya, terutama ruang solat utama juga digunakan bagi pengajaran, khususnya  antara solat maghrib dan isya` .  Dan juga boleh digunakan bagi pengajian-pengajian yang lain pada waktu-waktu yang lain.
·         Pada bahagian masuk ke masjid, terdapat ruang legar yang agak luas. Ruang ini dapat digunakan untuk solat. Misalnya pada hari Juma`at apabila ruang-ruang yang lain telah penuh. Selain daripada iti ianya dapat digunakan bagi kawasan berbuka pada bulan Ramadhan, juga jamuan-jamuan secara kecil  pada setiap malam Juma`at, khususnya selepas baca Yasin secara ramai-ramai.
Demikianlah, lantaran sejak dari awal dikenal pasti masjid Al-Umm mempunyai ruang ibadat dan ruang-ruang kegiatan-kegiatan ilmiah, maka  plan arkitek terpaksa diubah dan disediakan ruang ubadat dan ruang-ruang bagi kegiatan ilmiah yang agak banyak. Pada jangkaan kegiatan-kegiatan ilmiah akan terus ditambah menurut kesesuaian, iaitu ada konsep pengajian, guru-guru dan pelajar-pelajar yang mau mengikutinya. Adalah menjadi hasrat bahawa Masjid Al-Umm akan menjadi sebuah `Jami`ah` bertaraf universiti pada masa depan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment