April 25, 2018

KEJUTAN ! KONTREKTOR MENARIK DIRI DARI MENERUSKAN KONTREK



BBB, 08 Sha`ban 1439H. = 24 April 2018M. (Selasa):
Sedang kami Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm  membuat persediaan bagi Perasmian Masjid Al-Umm yang dijangka pada Sabtu 8 Ramadhan 1438H. bersamaan 3 Jun 2017 oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan bagi Negeri Selangor, di luar dugaan, maka pada 3 April 2017 bersamaan 6 Rajab 1438 kami menghadiri mesyuarat  mengejut kerana menerima surat dari Kontrektor Tekad Nusantara – Tuan Haji Marzuki bin  Hj. Che Omar, memaklumkan `Menarik Diri dari menjadi kontrektor bagi Masjid Al-Umm ! Ini merupakan satu pukulan kepada kami yang bersedia pada peringkat puncak bagi Perasmian Masjid Al-Umm.  Sebelum daripada ini melalui mesyuarat Teknikal yang biasa turut sama Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dan Tekad tiada sebarang perselisihan, misalnya kerana tuntutan tidak berbayar dan tiada sebarang pertikaian yang lain yang  dapat dijadikan bukti ke arah penarikan diri berkenaan, tetapi itulah pernyataan terkejut yang kami terima.
Kontrektor Tekad Nusantara yang berpejabat di Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi ialah salah satu daripada 9 kontrektor yang memasuki tender bagi  memohon jadi kontrektor membina Masjid Al-Umm yang pada masa itu kos bagi pembinaan adalah RM10 juta. Tekad Nusantara telah diinterview pada 19 November 2013 dan terpilih dari sejumlah 9 kontrektor  yang lain. Pemilihan dibuat kerana melihat prestasi kontrektor ini antaranya dapat membina bangunan Kompleks Pendidikan Islam Bangi di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi dan sejarah kejayaannya membina bangunan antaranya kompleks-kompleks kerajaan dan swasta dengan kos berpuluh milion ringgit dapat dilaksanakan - sebagaimana   profile yang disertakan. Sebelum dari interview kita mendapat maklumat dari Dr. Tajul Ariffin Noordin  YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga bertanggungjawab pada pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Bangi, bahawa prestasi Tekad Nusantara dari segi pembinaan adalah baik dan mudah berurusan dengannya.
Semasa diinterview Kontrektor Haji Marzuki bin Haji Che` Omar sanggup menanggung beban bayaran tertangguh hingga kepada dua juta ringgit ! Ini bererti kontrektor ini kukuh dan mempunyai modal berbayar yang meyakinkan.
Mengapa kontrektor menghantar surat menarik diri dari meneruskanb kontrek ?
Kami tidak menjangka ini sebagai percubaan menguji kami atau ugutan agar melunaskan hutang dan sebagainya. Kerana kedudukan kewangan kami bukan rahsia  bagi kontrektor dan sub-sub kontrektor yang lain. Kami bekerja adalah secara ikhlas. Semua tahu, kerja membina masjid, Rumah Allah dan seharusnya semua pihak ikhlas di dalam membina Rumah Allah ini.
Apakah sebabnya Tekad Nusantara menarik diri ?
Antara sebabnya, sebagaimana kami dalam tekanan untuk mengejar masa bagi melayakkan Masjid Al-Umm dirasmikan, maka demikianlah Tekad Nusantara juga tertekan, bahawa dia digesa menyiapkan segala yang belum siap bagi melayakkan untuk dirasmikan. Kontrektor juga  sama dalam kesempitan peruntukan bagi meneruskan pembinaan, sedangkan kami mendesak, tetapi tidaklah disertai dengan pembayaran yang memberangsangkan yang membolehkannya meneruskan pembinaan. Kontrektor juga menghadapi desakan dari sub-sub kontrektor yang diminta disegerakan kerja-kerja dan mereka juga menuntut bayaran.
Walau bagaimana dari segi sejarahnya, kami tidaklah berlonggak dengan hutang kepada Tekad Nusantara. Sehingga kepada tempoh makluman penarikan diri Tekad, kami telah menyelesaikan sebanyak RM15 juta bayaran. Kami di dalam proses menyelesaikan tuntutan bayaran bagi:
Interim 26 sebanyak RM200,000.00
Interim 27 sebanyak   RM654.000.00
Jumlah RM854,000.00 ini tidaklah banyak, sedangkan sebagaimana dijanji pihak kontrektor sanggup menanggung kelewatan bayaran hingga kepada jumlah RM2 juta.
Dari segi amalan kami yang diketahui oleh kontrektor, bahawa kami tidak memegang wang dan menyimpan apabila mendapat wang, sebaliknya kami segera membayar hutang dan mengagihkan bayaran sama rata kepada sub kontrektor yang menerima bayaran dari kontrektor. Biasanya baki yang tinggal sejumlah kewangan bagi operasi.
Antara sebab yang dijangka kontrektor menarik diri, kerana tempoh penyiapan bangunan mengambil masa terlalu lama. Perjanjian asal tempoh pembinaan ialah hanya 76 minggu - Setahun 20 bulan sahaja, tetapi kini sudah masuk empat tahun ! Dengan kepanjangan masa merugikan kontrektor dan banyak tanggungan dan bebaban kewangan, termasuk urusan maintenance bangunan dan pengawalan bangunan dan keselamatan, Ini berterusan menambahkan kos bagi kontrektor. Tempoh empat tahun sudah cukup lama. Adalah merugikannya, dibandingkan kiranya ia menumpukan kepada projek-projek yang baru. Di dalam pertimbangannya, tindakannya mencalar dan memburukkan rekod kerjayanya dan boleh menyebabkan berkurang orang akan berurus dengannya, tetapi nampaknya ia sanggup menerima risiko dan kemungkinan.
Saesungguhnya penarikan diri kontreltor ini amat merisaukan kami, kami bimbang ianya lebih melambatkan urusan, terpaksa mencari kontrektor yang baru dan tentulah meningkatkan kos dan memakan masa yang lebih lama.
Walau bagaimana ini adalah realiti dan kami perlu segera membincangkan hal ini lebih lanjut !
Sekian.

No comments:

Post a Comment