April 17, 2018

MENERUSKAN PEMBANGUNAN DI BAWAH TEKANAN



BBB, 29 Rajab 1439H. = 16 April 2018M. (Isnin):
Selepas pertemuan dengan PAID pada 16 Rabi`ul-Awwal 1348H. bersamaan 16 Disember 2016, tiga tahun selepas pembangunan fizikal Masjid Al-Umm dan siap 98%, tetapi mendapat  `Lampu Merah` dari PAID, bahawa penggunaan Masjid Al-Umm tidak boleh digunakan selagi tidak mendapat  CPC dan CCC, maka Ahli Jawatankuasa menumpukan perhatian pada perkara pembangunan seperti mengadakan Mesyuarat Teknikal setiap bulan, biasanya pada minggu kedua dan mesyuarat Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang biasanya diadakan pada setiap selasa pada minggu ketiga antaranya membincangkan.
Misalnya pada mesyuarat Teknikal  kali ke 37 pada 11 Rabi`ul-Akhir 1438H. bersamaan 19 Januari 2017, antara perkara yang dibincangkan, rasa tidak puashati terhadap Kontrektor yang  lama tidak datang mesyuarat, banyak perkara yang tidak siap.  Tindakan ini ialah kerana tuntutan-tuntutan bayaran dibuat tidak dapat dilunaskan dengan sepenuhnya.
Manakala dengan kontrektor Majleza yang diketuai Tuan Haji Abdul Majid ditimbulkan tentang persoalan berhubung dengan mihrab, restrom,  penyiapan kubah (api) dan tulisan khat yang terlampau kecil dan tidak mengikut spesifikasi disetujui. Majleza pada asalnya terlibat dengan Masjid Al-Umm adalah berhubung dengan Kubah, tetapi kemudian terlibat dengan banyak perkara seperti menara, tulisan-tulisan khat pada dinding, pemasangan lampu thurayya, bahkan melibatkan diri dengan kerja-kerja tambahan seperti membina anjung pada bahagian masuk ke masjid kerana kononnya tempias, demikian juga dengan menutup dua ruang airwell yang asalnya sengaja terbuka untuk kemasukan angin dan dibiarkan hujan  turun ke bawah, kemudian konon didapati berlaku tempias (memang sedemikian), maka dicadangkan dua ruang yang luas ini ditutup. Penambahan ini dan kerja-kerja yang lain seperti jalan bertingkat dan landscaping  meningkatkan kos dan memaslahkan dari segi perubahan plan yang terpaksa diangkat kepada MPKj dan menjadi salah satu faktor yang melambatkan proses bagi mendapat CCC.
Di samping menumpukan kepada soal pembangunan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm juga perlu membuat pertemuan lagi dengan pengerusi-pengerusi atau wakil-wakil bagi menerangkan kepada mereka rancangan membahagikan surau-surau di bawah Masjid Al-Hasanah dan di bawah Masjid Alk-Umm yang terlebih dahulu dibincangkan dengan Masjid Al-Hasanah dan dikemukan kepada pihak PAID sebagaimana telah disebutkan. Pertemuan ini telah diadakan pada 18 Rabi`ul-Akhir 1438H. bersamaan 17 Januari 2017M. bertempat di Masjid  Al-Umm.
Antara perkara yang dibincangkan bahawa,
Pihak Pengerusi Masjid Al-Umm dan Jawatankuasa meminta maaf kepada pengerusi-pengerusi surau (15 surau), kerana tidak memberitahu terlebih dahulu kepada pengerusi-pengerusi tentang perbincangan membahagikan zon dan surau-surau di bawah Masjid Al-Hasanah dan surau-surau di bawah Masjid Al-Umm yang diadakan dengan Masjid Al-Hasanah pada 10 Muharram 1438H. bersamaan 11 Oktober 2016. Dan seterusnya dengan pihak PAID antaranya membincangkan pembahagian zon dan surau-surau di bawah kedua-dua masjid di PAID pada 16 Rabi`ul-Awwal 14328H. bersamaan 16 Disember 2016. Makluman tidak diberitahu, kerana kami tidak berhak memanggil pengerusi-pengerusi sebelum perkara berkenaan dimaklumkan kepada PAID. Mereka juga dijelaskan, bahawa walaupun pembahagian dibuat, ianya bukanlah satu penetapan yang mutlak, pihak PAID tidak semestinya menerima cadangan persempadanan dan jumlah surau-surau yang dicadangkan di bawah kedua-dua masjid berkenaan.
Seterusnya pengerusi-pengerusi surau dan wakil-wakil dimaklumkan bahawa pihak Masjid Al-Umm tidak mempunyai tarikh pasti bila Masjid Al-Umm akan dapat digunakan. Ianya bergantung kepada usaha  bahagian Teknikal bagi mendapat kelulusan dari MPKj.  Walau bagaimana usaha ke arah mendapat kelulusan CPC dan CCC sedang dijalankan.
Perkara biasa juga dimaklumkan kepada pengerusi-pengerusi surau tentang kekurangan dana yang dihadapi Masjid Al-Umm bagi meneruskan pembangunan. Dalam mesyuarat ini pihak Masjid Al-Umm bersetuju  dengan pengerusi-pengerusi surau akan memgadakan pertemuan dan mesyuarat tidak berkala mengenai masalah dan kepentingan masjid dan surau-surau, seterusnya bekerjasama antara masjid dan surau-surau bagi kepentingan bersama. Misalnya dari segi pengajian dan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan.
Bertemuan adalah berjalan dengan baik dan tidak ada bantahan mengenai persempadanan (zon) dan pembahagian surau-surau di bawah Masjid Al-Hasaanah dan Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment