BBB, 18
Rajab 1439H. = 05 April 2018M. (Khamis):
Sudah dibicarakan bahawa bagi pembinaan adalah
dicontohi dari bentuk sedia ada yang bentuk-bentuk berkenaan adalah bersifat masjid. Di sana
mungkin berlaku perubahan yang sengaja dilakukan yang difikir menjadi lebih
baik, tetapi seharusnya tidak menyimpang
secara total hingga merubah secara keseluruhan dan hilang identiti dan tidak
dikenali. Ruang perubahan ada, tetapi
dilakukan secara terkawal, lantaran apa yang ditiru adalah sesuatu yang baik
dan peniru mungkin mau yang lebih baik, maka digunakan kemahiran `meniru` dan
mengubah kepada yang lebih baik secara kreativiti dan inovasi yang melibatkan
bidang estetika.
Peniruan mungkin berlaku secara keseluruhan
bagi satu binaan. Tetapi ia juga berlaku secara komponan dan bahagian-bahagian
yang digunakan pada sebahagian dari masjid atau lebih banyak yang kemudian
melengkapkan bagi keseluruhan. Bahagian-bahagian ini pula adalah hasil dari
pemerhatian alamiah terhadap alam keliling.
Elemen-elemen alamiah yang indah dan dapat
dikatakan lumrah, termasuklah
dikeliling kawasan bagi kehidupan kita. Contoh:
Elemen Bulat
Adalah bentuk
yang banyak kedapatan di keliling kita,
seperti bulatnya matahari, kelihatan begitu indah. Bulatnya epal yang begitu indah pada pandangan dan
begitu enak bila di makan. Begitu
juga bulat sebiji telur yang licin dan
indah dipandang, bahkan sedap dimakan.
Bulat pada binaan dilihat sebagai sesuatu yang
indah. Misalnya ditiru untuk kubah yang terletak sebagai keindahan di puncak. Bukan saja kelihatan
indah tetapi menimbulkan rasa kekudusan
lantaran ia berada pada puncak yang tinggi dan sesuai sebagai lambang
kerohanian. Elemen bulat ini dapat dilihat pada tempat-tempat yang lain.
Misalnya mihrab, menara-menara, tiang-tiang, bentuk-bentuk pintu gerbang dan
pintu-pintu yang bersifat separuh bulat dan melengkung yang melambangkan
kelembutan dan kepatuhan.
Elemen Empat Segi
Sebagaimana bulat dilihat sebagai lambang
kesempurnaan, maka demikian juga empat segi juga dilihat sebagai sempurna. Dari
segi ketumpatan empat segi dan bulat sama dari segi kandungan iaitu 360 darjah.
Pada empat segi dilihat kekukuhan, kerana semua segi adalah sebagai pengukuh,
tetapi bagi tiap bahagian (90 darjah) ada ruang dan sempadan, tidak bagi bulat
adalah bagi keseluruhan. Empat segi juga
dapat dijadikan ukuran dari segi kesamaan , misalnya dalam barisan dan
susunan. Lantaran bentuk empat segi adalah bentuk yang popular digunakan di dalam binaan,
sebagi contohnya tiang, ruang, dinding, lantai dan berbagai-bagai lagi.
Semuanya adalah elemen alamiah yang ditiru dan dijadikan elemen di dalam
pembinaan. Pada kebiasaan juga elemen empat segi dan bulat sama-sama digunakan
di dalam pembinaan. Misalnya bagi tiang sering digunakan elemen bulat dan bagi
tiang-tiang sampingan di tepian misalnya digunakan empat segi dan
sebagainya. Kedua-dua elemen ini digunakan
di dalan plan arkitek bagi Masjid Al-Umm dan dapat dilihat pada realiti
pembinaannya.
Konsep Tinggi Rendah
Elemen yang lumrah terdapat di dalam kejadian
Tuhan yang alamiah sifatnya. Tinggi dilambang dengan langit dan rendah pula
dilambangkan dengan bumi. Yang tinggi naik memuncak ke atas, manakala yang
rendah adalah melebar dan merata dibumi. Lambang tinggi juga dilambangkan
dengan tiang yang meningkat ke atas. Kewujudan dari kedua-duanya adalah
takmilah alamiah. Pada plan arkitek, elemen tinggi yang bersifat tiang ialah
seperti menara yang jelas sifat tinggi dari bahagian bawah hingga ke atas.
Tetapi ada juga yang tinggi kerana berada, bahkan menumpang pada bahagian yang
lain seperti kubah. Elemen tinggi jua adalah digunakan bagi menjunjung
bahagian-bahagian yang lain. Misalnya untuk menunjukkan ketinggian digunakan
konsep tiang dan tiang-tiang yang
menjunjung bahagian-bahagian atas sehingga adalah perlapisan lantai dan
sebagainya. Maka dengan tiang-tiang menjadikan sesuatu binaan kukuh dan
berlapis-lapis.
Rendah pula yang dilambangkan dengan bumi yang
bersifat rata, melebar, memanjang dan sebagainya. Ianya digunakan menurut
kesesuaian. Rendah, lebar dan memanjang melambangkan kerendahan diri, tetapi
pada dasarnya ianya lebih kuat dari yang tinggi. Yang tinggi dan tidak kukuh,
boleh jatuh dan disambut oleh bumi yang rendah yang sebenar lebih kukuh dan
mantap. Elemen rendah ini digunakan misalnya bagi lantai, ruang terbuka dan
berbagai lagi.
Elemen-elemen alamiah di atas yang sebenarnya
dilihat dari segi ukuran sepeti bulat, empat segi, tinggi dan rendah adalah
elemen-elemen alamiah yang lumrah dan dilihat juga sebagai elemen-elemen bagi
pembinaan.
Kesedaran tentang berbagai-bagai elemen
alamiah menyedarkan tentang kebesaran
Allah yang menyediakan elemen-elemen berkenaan sebagai Takmilah di dalam
berbagai aspek dan bidang kehidupan.
Elemen-elemen ini jelas dalam pembinaan – termasuk pada plan arkitek Masjid
Al-Umm yang diterjemahkan ke dalam
bentuk secara realiti.
Sekian.
No comments:
Post a Comment