BBB, 28 Rejab 1439H. = 15 April 2018M. (Ahad):
Pertemuan adalah dengan hasrat untuk
menggunakan Masjid Al-Umm dengan kadar segera
selepas tiga tahun pembinaan. Menyedari tugas ahli jawatankuasa selama
ini adalah membina masjid (Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm), maka
disedari, jika tiba tempoh penggunaan masjid, maka fungsi pembinaan akan
berakhir dan sebelum berlakunya penyerahan bangunan kepada pihak JAIS dan diadakan
pemilihan Jawatankuasa Pentadbiran dan pengimarahan, maka sebagai persediaan ke
arah pengimarahan, maka Ahli Jawatankuasa Pembangunan mulai dari bulan Muharram 1437H = November
2015M. maka pihak Jawatankuasa
Pembangunan Masjid Al-Umm dikenali sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan
Pengimarahan Masjid Al-Umm, bahkan bengkel bagi pengisian pengimarahan telah
diadakan sejak 26 Zulkaedah 1435H. = 21 September 2014 dan diikuti bengkel kedua pada 3 Rabi`ul-Akhir 1436
bersamaan 24 Januari 2015. Bahkan pemilihan imam dan pegawai-pegawai masjid
telah dibuat sebagai persediaan.
Pertemuan dengan Pentadbir PAID diatur bagi
membincangkan persediaan ke arah mengimarahkan masjid Al-Umm. Temu janji telah
dibuat ialah pada 16 Rabi`ul-Awwal 1438H. bersamaan 16 Disember 2016. Pada
pertemuan tersebut Jawatankuasa
Pembinaan dan Pengimarahan di ketuai Dr. Shafie Abu Bakar, sebagai Pengerusi, Ir. Haji Ishak bin Arshad Timbalan Pengerusi,
Bendahari Tuan Haji Muhammad Nor bin Yasin, Setiausaha Tuan Haji Suib Maulud
dan Ahli-ahli Jawatankuasa menemui Tuan Pegawai Tadbir Pejabat Agama Daerah
Hulu Langat, Tuan Haji Hanifuddin bin Haji Roslan dan Ketua Bahagian Masjid
Ustaz Nazri.
Dalam pertemuan itu pihak Jawatankuasa
Pembinaan dan Pengimarahan Masjid memaklumkan kepada pihak PAID bahawa sehingga
ke hari pertemuan itu (16.12.2016) usia pembinaan fizikal Masjid Al-Umm adalah
sudah tiga tahum (mulai dibina
10.12.2013). Kos yang dijangka adalah sebanyak RM20 juta dengan RM4 juta dari
Kerajaan Negeri Selangor, manakala dari Zakat Selangor adalah sebanyak RM1.8
juta. Hingga kini pembinaan sudah 98%, yang dengan persiapan ini sepatutnya
Masjid Al-Umm sudah wajar dapat digunakan.
Antara perkara yang dimaklumkan kapada PAID,
bahawa pihak Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm telah
berbincang dengan pihak Masjid Al-Hasanah dan bersetuju agar hanya 15 buah surau
berdekatan dengan Masjid Al-Umm saja berada di bawah Masjid Al-Umm sebagaimana
yang telah dibicarakan. Walau bagaimana pihak PAID tidaklah terikat dengan apa
yang diputuskan antara Masjid Al-Umm dengan Masjid Al-Hasanah, lagi pula Masjid
Al-Umm belum berfungsi sebagai sebuah masjid. Penentuan akhir akan dibuat oleh
Paid APABILA Masjid Al-Umm berfungsi sebagai masjid sepenuhnya.
Antara perkara yang dibincangkan ialah status Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan
Pengimarahan Masjid Al-Umm apabila sudah siap kelak. Pada dasarnya bila
pembangunan telah siap dan penyerahan di buat terhadap JAIS, maka Jawatankuasa
Pembinaan akan terbubar dengan sendiri. Tetapi menurut Tuan Haji Hanifuddin
dari segi kebiasaan, mereka ini dibenarkan meneruskan pentadbiran dan bila
masjid sudah dibenarkan beroperasi, maka sebuah ahli jawatankuasa sementara
akan dilantik meneruskan pentadbiran sehingga tiba proses pemilihan
pegawai-pegawai masjid diadakan setiap tiga tahun sekali itu. Tuan Hanifuddin
diberitahu, bahawa Jawatankuasa sekarang dikenali dengan Jawatankuasa
Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm sebagai persediaan bagi melaksanakan
tugas pengimarahan secara sementara.
Antara tujuan utama kunjungan pada hari ini
ialah bagi membincangkan kemungkinan dengan pembinaan Masjid Al-Umm sebanyak
98% siap, maka adalah dipohon dari pihak PAID kebenaran menggunakan Masjid
Al-Umm secara terhad. Walau bagaimana apabila perkara ini dikemukakan Tuan
Hanifuddin nampaknya beliau dengan tegas menjawab.
``Untuk menggunakan Masjid Al-Umm hendaklah
sesudah mendapat CPC dan CCC, seterusnya perlu mendaftar kepada JAIS dan mendapat
kelulusan dan keizinan.``
Beliau nampaknya memberi jawapan yang tegas
dan tidak ada ruang untuk dibincangkan kemungkinan penggunaan Masjid lebih awal. Pemergian nampaknya tidak mencapai
hasrat diharapkan dan Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan, terpaksa pulang
dan menunggu tarikh yang belum ada ketentuan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment