April 4, 2018

TAKMILAH FIZIKAL


BBB, 16 Rajab 1439H. = 03 April 2018M. (Selasa):
Maksud Takmilah Fizikal, ialah realiti bentuk, di dalam hal ini ialah Masjid Al-Umm sebagaimana dikehendaki. Sebenarnya ia bermula dari `Idea` yang tercetus di dalam minda gambaran bangunan yang diharapkan. Memanglah benih awal merupakan hasrat jawatankuasa yang mau membina sebuah masjid di atas tapak lot 51177, Jalan 1/4A, Seksyen Satu Bandar Baru Bangi. Iaitu bermula selepas mendapat kelulusan tapak (Warta September 2010) dan kelulusan JAIS (Jun 2011).
Maka bermula dari pertengahan 2011, jawatankuasa telah membincangkan bagaimana dari segi fizikal  seharusnya  bentuk masjid tersebut. Dari perbincangan yang ada, maka tugas bagi menterjemah dan merealisasikan  bentuk masjid ini terserah kepada arkitek yang dipersetujui. Sedari awal arkitek yang diamanahkan merangka, bahkan mengestetika masjid yang diidamkan diamanahkan kepada  Arkitek Urusbina dari Perlis. Sungguhpun dari Perlis, beliau  (arkitek ini)  seorang ahli kariah bagi Masjid Al-Umm dan ahli jamaah Surau Damai, iaitu sebuah surau yang paling rapat dengan Masjid Al-Umm. Memanglah plan arkitek seni bina bagi Masjid Al-Umm ini berkali-kali telah dibentang dan dibincangkan  di dalam mesyuarat-mesyuarat  ahli jawatankuasa Pembinaan sejak awal 2012 lagi, tetapi dapatlah dikira permulaan pendedahan plan arkitek ini bermula dari Pelancaran Derma bagi Masjid Al-Umm oleh ADUN Bangi pada masa itu, iaitu pada 19 Mei 2012. Pada hari itu bukan saja plan arkitek  dipamerkan kepada orang ramai, tetapi bentuk fizikal bagi masjid berkenaan juga dipamerkan dan menjadi hiasan bagi kulit luar buku cenderamata bagi  pelancaran derma berkenaan. Itulah gambaran yang dapat direalisasikan oleh plan arkitek yang mewakili Arkitek Urusbina yang diwakili oleh Tuan Raja Fuaddin bin Raja Ahmad. Dan itulah bentuk Masjid Al-Umm yang dijangka kos pada masa itu adalah RM10 juta.
Sebagaimana telah disebut, bahawasanya ciri dan identiti sesuatu jenis itu telah ada terlebih dahulu yang dilakukan oleh pihak yang terawal yang biasanya diciri dan menjadi identiti oleh tujuan, fungsi dan penggunaan secara praktikal sehingga ianya menjadi dikenali dengan identiti tersebut. Misalnya terbinanya apa yang diistilahkan dengan `rumah` adalah bertujuan sebagai tempat lindungan, maka rumah dibina menurut kepentingan dari segi fungsi seperti ada bahagian untuk rehat, tempat tidur, lebih detail ada bilik-bilik, ada ruang dapur untuk memasak, ada ruang tamu dan sebagainya. Fungsi dan praktik penggunaan ini pada dasarnya berterusan bagi sebarang rumah yang dibina untuk sebagai tempat duduk. Bentuk asal yang mula wujud ini menjadi identiti  dan rumah ini diikuti oleh yang lain, meskipun ada perubahan-perubahan yang berlaku. Perubahan disebabkan oleh kekurangan ruang, kedudukan dan cuaca. Rumah yang biasanya didirikan sebuah-sebuah yang biasanya mempunyai kawasan yang luas dan selesa, berubah oleh kerana kekurangan tanah dan kepadatan penduduk. Dari rumah sebuah, walaupun tidak besar seperti pondok, maka rumah dikecilkan ruang kepada rumah semi-D, teres hinggalah kepada rumah panga. Perubahan tidak merubahkan tujuan, tetapi perlu kepada penyesuaian oleh kerana kekurangan ruang, pertambahan penduduk, iklim  dan keperluan kepada penambahan kos dan sebagainya.
Sebuah masjid juga ditentukan oleh tujuan, keperluan, fungsi dan praktik amalan. Masjid dibina bagi tujuan tempat beribadat, bagi solat. Antaranya mesti menghadap kiblat. Jadi ia mencirikan masjid mesti mengadap kiblat ada ruang tempat solat dengan ruang yang agak luas bagi memuatkan jamaah bersolat, perlu ada tempat mengambil wudhu` dan tempat berhadath – perlu kepada tandas, perlu ada sistem bagi mendapat air  paip dan ada bekalan api, ada ruang untuk parking dan berbagai-bagai keperluan lagi. Tujuan, fungsi dan keperluan-keperluan bagi masjid ini sama sahaja, baik di mana-mana di tempat, negeri dan negara Islam. Perubahan dan perbezaan berlaku mungkin disebakna cuaca,  ruang, budaya setempat dan sebagainya, namun bagi masjid ciri dan identiti asasnya adalah bersifat ummah bagi memenuhi tuntutan asas sebagai sebuah bangunan tempat beribadat bagi umat Islam. Perbezaan mungkin dari pengaruh tempatan, misalnya material  digunakan. Misalnya dari kayu atau batu. Konsep atap sebagai lindungan ada yang bersifat bumbung berbentuk `V` terbalik kerana keadaan cuaca, manakala di negara yang tidak berhujan menggunakan tutupan atas sebagai sutuh dan sebagainya. Namun di mana saja `masjid` dibina, biasanya ianya dikenali dari segi ciri, identiti, fungsi dan praktikal penggunaan. Jika berlaku penyimpangan, tidak boleh berubah keseluruhannya sehingga hilang identitinya. Misalnya dengan membina masjid seluruhnya bulat 100%. Maka ianya boleh mengelirukan. Misalnya keliru dari arah kiblat. Keliru dari segi ruang masuk dan keluar dan banyak lagi kekeliruan yang timbul.
Sebab itu dikatakan dari identiti yang sudag dikenali, maka ianya menjadi tiruan, walaupun tidak sepenuhnya. Bererti ada ruang bagi perubahan bagi berkretiviti dan berinovasi. Pada dasarnya bangunan masjid  mempunyai identiti dan dikenali di seluruh dunia.
Untuk melihat Takmilah fizikal  Masjid Al-Umm, maka ianya tidak lari dari  elemen `pengambilan` dari identiti sebelumnya, bahkan dapat dikatakan ada elemen peniruan yang mungkin sepenuh dan mungkin sebahagian daripadanya. Juga berlaku perubahan, tokok tambah,  penambahan, penyesuaian dan sebagainya.
Inilah sebenarnya yang berlaku pada fizikal  Masjid Al-Umm. Ada elemen ikutan, pencarian, peyesuaian, penambahan  dan perubahan dalam menuju Takmilah Fizikal Pembinaan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment