BUDAYA NILAI UNGGUL PERADABAN
(Fikrah Bangi: 311),
BBB:
08 Zulhijjah 1440H. = 09 Ogos 2019M.
(Juma`at):
Kita telah membicarakan kepentingan ilmu
sebagai faktor peningkatan peradaban. Peradaban lahir dari budaya
masyarakat. Budaya ialah keadaan dan cara hidup individu dan masyarakat di
dalam ruang tempat dan masa. Ianya melibatkan perkara nyata di dalam kehidupan
harian dan yang bersifat tidak nyata seperti, pandangan wujud, kepercayaan,
adab, akhlak, bahasa, keilmuan, falsafah
pemikiran, sentuhan seni dan rohani terluah. Kebakuan semua aspek
berkenaan pada diri, kelompok dan masyarakat membentuk imej, nilai, identiti
dan jati diri masyarakat.
Budaya pada hakikatnya adalah wajah,
pakaian lahir dan potret batin individu dan masyarakat yang tidak terpisahkan. Ibarat zat dan sifat. Zat tidak
mungkin kosong dari sifat dan sifat adalah berlaku dan berdiri pada zat.
Budaya
ada yang bersifat rendah dan tinggi (juga ada yang sederhana), atau juga
dilihat sebagai mundur dan maju.
Dilihat kepada individu, kita dapat menilai
budaya yang terbina pada dirinya. Katakan dirinya seorang anak.
Katakan dia anak satu keluarga sederhana. Perkara yang membudayakan
dirinya, misalnya dia dididik oleh keluarganya sebagai anak yang patuh kepada
perintah agama, taat kepada kedua-dua orang tuanya, hormat kepada orang tua dan
jiran tetangga. Kasih sayang antara adik beradik. Dididik melalui peresekolahan
dan meningkat dari segi pengajian dari peringkat rendah, menengah dan tinggi.
Akhirnya dia menjadi seorang perperibadi tinggi dan berkelayakan misalnya menjadi seorang guru.
Dia berada pada kelas sederhana di dalam kehidupan sosial, tetapi tidak tinggi
dalam masyarakat.
Nilai budaya yang dapat dilihat pada
individu berkenaan misalnya berperwatakan baik, menampilkan diri sebagai
seorang yang kemas berpakaian, bertutur dengan bahasa yang lembut dan teratur
serta bersopan santun. Dengan bekerjaya sebagai seorang guru, dia adalah
dianggap seorang yang berpelajaran dan bekemampuan mendidik dan dikasihi dan
dihormati oleh murid-murid dan pandai bergaul degan guru-guru dan masyarakat.
Dari segi kedukannya yang sederhana mungkin
dapat dilihat dari segi pandangan
hidupnya yang mungkin tidak tinggi, tetapi sebagai seorang individu, dia
mementingkan keilmuan dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan menggalakkan
anak-anak yang dididik mementingkan ilmu dan menggalakkan mereka belajar
setinggi yang mungkin.
Dari segi kehidupan sosial, berbagai aspek
boleh dilihat yang dapat membudayakannya. Misalnya dari didikan agama yang
dterima dari ibu bapa dan guru dia sering bersama jamaah menunaikan ibadat dan
terkenal sebagai anak yang baik dan berbudi bahasa. Dia bergiat bersama
kalangan anak muda, misalnya giat di dalam bidang sukan bersama kalangan anak
muda yang sebaya dengannya. Selain daripada itu ia bergiat di dalam badan-badan
kebajikan membantu kalangan yang susah di dalam masyarakat seperti orang tua
dan anak-anak miskin dan anak yatim.
Jika wujud di kalangan anak-anak muda di
dalam suatu masyarakat yang mempunyai didikan yang baik seperti ini, bermakna
masyarakat mempunyai kelompok pemuda yang baik yang dapat membimbing dan mampu menjadi pelapis bagi masyarakat
berkenaan.
Nilai budaya yang terpupuk adalah dari segi
akhlak, pelajaran, pergaulan di dalam
kehidupan sosial, pegangan agama dan berkebajikan.
Dari
budaya sederhana boleh dilihat budaya rendah yang memasalahkan masyarakat dan
budaya tinggi yang meningkatkan kualiti masyarakat. Nilai budaya dapat dilihat
kepada tahap masyarakat dan bangsa dari segi identiti dan jati diri berbanding
dengan masyarakat dan bangsa lain. Seterusnya dapat dilihat maju mundurnya kita. Budaya juga dapat dimajukan dengan mempertingkatkan berbagai kualiti yang ada di
dalam masyarakat, iaitu satu tugas besar dan mencabar.
Sekian
No comments:
Post a Comment