August 14, 2019

MAKANAN SEBAGAI ASPEK BUDAYA


MAKANAN  SEBAGAI ASPEK BUDAYA
(Fikrah Bang:  316),
BBB: 1`3 Zulhijjah 1440H. = 14 Ogos 2019M. (Rabu).
Salah satu aspek  yang menjadi bahan budaya di dalam kehidupan manusia ialah makanan.. Untuk hidup manusia memerlukan makanan. Makanan pada asalnya didapatkan oleh manusia yang masih belum mempunyai hubungan dengan luar, ialah dengan mendapatkan atau menanamkan hasil tanaman makanan dari apa yang ada disekelilingnya. Misalnya dari berbagai jenis ubi yang ada disekeliling kawasan kehidupan. Menanamkannya  bila mereka lebih maju misalnya dengan menanam padi, jagung dan berbagai jenis bahan makanan – termasuklah berbagai-bagai buah-buahan yang boleh di dapati di sekeliling kawasan kehidupan. Mereka juga menangkap ikan dan bila bertambah maju mereka juga menternak seperti kambing, lembu dan berbagai-bagai lagi.. Cara mereka menghasilkan makanan dan memakannya adalah merupakan budaya permakanan mereka. Misalnya mereka mulai pandai memasak seperti ubi, beras dan lauk paut.  Antaranya dengan membakar ikan, menyalai daging yang mereka menternak dan berburu. Budaya makanan ini bukan saja jenis-jenis makanan yang mereka dapati dan hasilkan, termasuklah peralatan dan kaedah menghasilkan makanan dan tanaman.
Dalam era yang lebih maju dan berlaku perhubungan dengan luar dan berlaku pertukaran bahan makanan atau sudah ada kaedah berjual beli atau berniaga, maka cara hidup bertambah maju dan makanan yang tidak dapat dihasilkan setempat, dibawa dari luar, atau makanan dari sini dihantar ke luar bagi mendapat pertukaran bahan dan mungkin  wang untuk berjual beli dan berniaga. Barang-barang dari luar dibawa masuk misalnya gandum yang tidak dapat ditanam di Malaysia di bawa masuk dari luar dan beras pula dijual ke luar bagi yang mempunyai kelebihan beras.
Kini kehidupan bertambah moden. Pekerja-pekerja mendapat upah atau gaji dan  berbagai barang dibawa dari luar melalui pengangkutan yang lebih canggih dan cepat. Kini segala barang makanan dari luar dibawa ke sini dan sebaliknya. Kemampuan mendapat berbagai barangan terpulang kepada kemampuan seseorang untuk membeli. Kini limau yang ditanam di Australia atau di Mesir boleh didapat di pasaran. Demikian miusalnya seorang boleh membeli buah kurma dari Timuir Tengah dalam keadaan yang masih fresh. Demikian dengan anggur,  buah zaiton,  zabid dan sebagainya boleh didapati.
Selain dari pengaruh permakanan dari luar dan boleh didapati bagi mereka yang berkemampuan, makanan yang dianggap  baik dan mengenyangkan mempengaruhi cara makanan setempat. Misalnya nasi lemak yang asalnya adalah merupakan makanan asal Melayu, sudah diterima dan menjadi makanan umum, bahkan bukan lagi sebagai makanan waktu pagi, tetapi sepanjang hari. Roti canai yang dianggap dari India atau hasil dari  orang India, kini sudah menjadi makanan yang diterima umum bagi masyarakat dan tidak lagi dimakan waktu pagi. Demikian lagi dengan makanan yong tau foo yang asalnya makanan orang Cina sudah diterima menjadi makanan orang ramai.
Pengaruh makanan juga ada yang dibawa atau dari pengaruh luar negeri, Misalnya tom yam dari Thailand sudah menjadi sebahagaian menu makanan rakyat di Malaysia, Steak dari barat juga menjadi makanan setempat. Sate dulu berasal dari Jawa kini menjadi popular sebagai makanan rakyat.
Makanan setempat juga menjadi popular d tengah masyarakat. Misalnya nasi dagang dari Terengganu menjadi makanan popular bagi berbagai tempat, Nasi kandar dari Penang berkembang dan popular diberbagai tempat. Demikian dengan laksa Johor, dodol Kelantan,  Demikianlah dengan berbagai makanan yang lain. Mskanan juga dikaitkan dengan hariraya, misalnya lemang dan rendang bagi hariraya orang Islam. Demikian dengan perayaan kaum lain ada jenis makanan yang identik dengan perayaan mereka.
Makanan sesungguhnya menjadi sebahagian dari budaya  masyarakat. Kepelbagaian makanan adalah kepelbagaian cita rasa masyarakat. Makanan adalah daya tarikan masyarakat. Sebab itu sering diadakan pesta makanan, juadah Ramadhan yang dapat menarik masyarakat. Ia adalah warna budaya masyarakat.
Sekian.

No comments:

Post a Comment